Rabu, 15 Mac 2017

Yunus temui bayangan kesebelasan utama

ARKIB : 12/02/2001
TEMPOH sebulan latihan pramusim skuad Pahang sudah cukup memberikan bayangan kesebelasan utamanya menjelang aksi sulung persaingan bola sepak Liga Malaysia - Piala FA, bulan depan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Malah sebaik sahaja memulakan sesi latihan pada 8 Januari lalu, barisan pelatih Pahang kini boleh dianggap bersedia dalam kondisi terbaik untuk memuncak apabila tiba waktunya.

Sekalipun tanpa Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Mohd. Ali Tahar yang masih bersama skuad kebangsaan, langkahan pemain dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan ketika ini membuktikan kesungguhan mereka mengharungi Piala FA kali ini.

Ketua jurulatih, Yunus Alif mengakui telah menemui kesebelasan utama bayangan hasil bimbingan dan pemerhatiannya sepanjang sesi latihan dan ketika menentang skuad Piala Emas Raja-Raja Pahang dan Telekom Melaka lalu.

Biarpun agak terlalu awal untuk memutuskannya, Yunus tidak menolak andaian bahawa beliau akan mengekalkan kesebelasan utama bayangan ini sehingga tiba pusingan pertama Piala FA pada 13 Mac nanti.

``Yang pastinya, kesebelasan bayangan ini akan meletakkan Azrul Hisyam Yusof sebagai penjaga gol utama setelah pemain veteran, Muadzar Mohammad mengalami kecederaan ketika menentang skuad Piala Emas lalu,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan.

Seorang lagi penjaga gol muda Pahang, Irewan Sulaiman dijangka belum mampu menyaingi Azrul yang banyak menimba pengalaman beraksi dalam beberapa perlawanan penting Liga M musim lalu.

Musim lalu turut menyaksikan betapa tuah banyak menyebelahi Azrul, bekas penjaga gol sebuah skuad remaja negara ekoran masalah kecederaan yang membelenggu tiga lagi pemain - Muadzar, Zuraimi Hassan dan Azihan Kamaluddin.

Tok Gajah yang terkandas di kaki bekas anak buah Yunus - Terengganu pada suku akhir Piala FA musim lalu, akan melayani kedatangan NS Chempaka di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebelum bertandang ke Seremban pada 17 Mac.

Yunus yang dihubungi Sukan Utusan di sini, semalam, berkata, Pahang ketika ini turut berpeluang menggunakan khidmat pemain skuad Bawah 23 Tahun negara, Hairul Nizam Haniff untuk memperkuatkan barisan benteng Pahang.



sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bOT2z9OX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan