Sabtu, 14 Mac 2020

Nwakaeme bantu Pahang atasi Melaka


SUKAN»Bola
Sabtu, 14 March 2020 | 11:30pm
AKSI pemain Melaka, Romel Morales (kiri) melepasi kawalan pertahanan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi. - Foto Nazri Abu Bakar
Nwakaeme bantu Pahang atasi Melaka
Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Jaringan tunggal Dickson Nwakaeme membantu Pahang mengatasi Melaka 1-0 pada aksi Liga Super  di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Bagaimanapun,  keazaman tinggi barisan tuan rumah untuk meraih tiga mata terserlah menerusi usaha gigih mereka merobek gawang pelawat sebaik sepak mula.

Namun percubaan penyerang importnya Uche Agba berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Sarbinee Allawee pada minit kelapan sementara pemain kelahiran Nigeria itu pula gagal menolak mudah bola kedalam jaring selepas menerima hantaran lintang Sony Norde pada minit ke-19.

Peluang terbaik pelawat mendahului Melaka hadir pada minit ke-33 namun rembatan kencang Faizal Halim tersasar ke kiri gawang tuan rumah.

Pahang yang lebih banyak menguasai babak pertama bagaimanapun gagal menembusi kubu Hang Tuah yang kukuh dikawal bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Babak kedua memperlihatkan perubahan drastik skuad Hijau Putih namun dua percubaan Norde pada minir ke-46 dan 47 gagal diterjemah dengan jaringan.


AKSI Melaka (hijau) ketika berdepan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. - Foto Nazri Abu Bakar
Akhirnya, Pahang berjaya menjaringkan gol kemenangan mereka menerusi rembatan pemain gantian Nwakaeme pada minit ke-67 untuk kemenangan kedua berturut-turut.

Gol tunggal hasil hantaran Ivan Carlos itu cukup buat skuad kendalian Dollah Salleh pulang ceria walaupun Carlos yang turut memiliki peluang menambah jaringan kedua hanya merembat tinggi peluang terhidang pada minit ke-78 perlawanan.

Kekalahan kedua Hijau Putih selepas kecundang di tangan FELDA United Rabu lalu memberi gambaran skuad terbabit perlu bangkit selepas ini.

Keterangan gambar

Pix1- Aksi pemain Melaka, Romel Morales (hijau) melepasi kawalan  pertahanan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Pix 2- Aksi Melaka (hijau) ketika berdepan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.FOTO NAZRI ABU BAKAR.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/03/665423/nwakaeme-bantu-pahang-atasi-melaka

Jumaat, 13 Mac 2020

Tok Gajah sasar tiga mata

MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
PAHANG yang mendapat tonik kemenangan pertama dalam saingan Liga Super Selasa lalu, mahu meneruskan momentum itu apabila berdepan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, hari ini.

Biarpun beraksi tanpa penonton susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19, skuad kendalian Dollah Salleh itu menggangap ia satu kelebihan untuk melakar kemenangan kedua.

Bagi pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad itu tidak boleh lagi ketinggalan dalam mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Dua kekalahan bertutur-turut sebelum bangkit meraih kemenangan memerlukan komitmen tinggi semua pemain untuk kekal konsisten biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi.

“Lebih-lebih lagi, Melaka dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada FELDA United FC dan sudah pasti mereka mahu menebus kekecewan itu di laman sendiri.

“Mahu atau tidak Pahang tidak boleh terlepas mata kerana saingan daripada pasukan teratas semakin getir biarpun bermain tanpa kehadiran penonton,” katanya.

Justeru, beliau mahu kesebelasan utama yang diturunkan dapat bermain dengan lebih baik terutama memastikan bahagian pertahanan lebih kental. Katanya, kemenangan 2-0 ke atas Sabah Selasa lalu, diharap menjadi sumber inspirasi untuk tampil lebih yakin dan menggentarkan lawan.

“Sentuhan jaringan Ivan Carlos yang sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terus ditagih sambil dibantu pemain lain.

“Saya percaya jika prestasi konsisten dan kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan, tiga mata akan menjadi milik skuad Tok Gajah,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 1:04 AM.[1]


[1hmetro.com.my/arena/032020//554311/tga-mataok-gajah-sasar-ti

Khamis, 12 Mac 2020

Sentuhan Carlos terus ditagih Tok Gajah

MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

BIARPUN prestasi Ivan Carlos tidak menentu, pengendali Pahang, Dollah Salleh tetap bangga dengan pencapaian penyerang import itu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tiga gol, masing-masing satu dalam setiap perlawanan membuktikan bahawa sentuhan berbisa pemain dari Brazil itu.

“Saya tak boleh cakap apa mengenai Carlos kerana prestasinya tidak konsisten kerana pada satu ketika dia dapat bermain dengan baik atau sebaliknya.

“Tapi, tiga gol yang dijaringkan setakat ini iaitu satu gol pada setiap perlawanan sudah cukup membantu dan pencapaian terbaik. Prestasi Carlos masih turun naik dan ada ketikanya seperti hilang punca.

“Tapi saya tidak nafikan sumbangannya amat besar buat pasukan seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan Sabah 2-0, kelmarin,” katanya.

Mengulas kecederaan yang dialami kapten pasukan, Dickson Nwakaeme yang tidak diturunkan ketika Tok Gajah menewaskan Sabah, Dollah berkata, penyerang Nigeria itu pada awalnya disenaraikan dalam kesebelasan utama Namun, katanya, pada sesi pemanas badan, Nwakaeme mengalami sedikit kecederaan dan diletakkan selaku pemain simpanan.

“Disebabkan Pahang sudah mendahului Sabah 2-0, saya membuat keputusan untuk tidak menurunkan dia sebagai pemain gantian bagi mengelak kecederaan lebih serius.

“Khidmat Nwakaeme diperlukan pada perlawanan berdepan Melaka United Sabtu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:01 PM.[1]


[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/03/553901/sentuhan-carlos-terus-ditagih-tok-gajah

Kemenangan cukup bermakna - Dollah

SUKAN»Bola
Rabu, 11 March 2020 | 10:59am

Pemain Pahang, Herold Goulan diraikan rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Sabah, Wan Muhammad Azraie pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - BERNAMA
Kemenangan cukup bermakna - Dollah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh lega kerana anak buahnya berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Sabah 2-0, malam tadi.
                      
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tewas dua perlawanan berturut-turut sudah dipadam untuk kembali meletakkan skuad Tok Gajah pada landasan terbaik.

"Saya amat bersyukur kerana kami akhirnya mengutip tiga mata selepas dikecewakan dengan dua kekalahan sebelum ini. Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat buat semua pemain yang diharap tampil dengan lebih yakin pada perlawanan keempat nanti.

"Secara keseluruhannya saya gembira kerana pemain begitu bersemangat untuk mengutip tiga mata dan misi itu berjaya dilakukan," katanya.

Mengulas serangan yang dilakukan Sabah di penghujung perlawanan, Dollah berkata, ia bukannya isu seperti dialami ketika tewas kepada Selangor dan PJ City FC.

Sebaliknya, katanya selepas mendahului 2-0, skuad kendaliannya itu bermain lebih berhati-hati untuk memastikan kemenangan.

"Walaupun sedikit goyah, kita turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi ia gagal diterjemahkan. Tapi saya berterima kasih kepada pemain kerana menamatkan perlawanan dengan tiga mata di laman sendiri," katanya.

Sementara itu pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto tidak menyangka skuadnya akan pulang tanpa mata kerana kunjungan skuad itu dengan misi sekurang-kurangnya mengutip satu mata selepas empat mata diraih dalam dua perlawanan.

"Saya tidak jangkakan kami tewas di sini selepas skuad ini bermain dengan begitu bagus dalam dua perlawanan. Namun, saya akur kami tidak dapat memberi saingan kepada Pahang terutama berdepan dua pertahanan yang tinggi lampai iaitu Herold Goulon dan Khalil Khamis.

"Corak permainan yang dipersembahkan bukannya karektor sebenar pasukan Sabah dan sudah pasti kekalahan ini cukup mengecewakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak buahnya perlu bangkit untuk membentuk kembali persefahaman lebih mantap jika mahu terus bersaing.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/03/664176/kemenangan-cukup-bermakna-dollah

Jumaat, 6 Mac 2020

Tok Gajah tumbang lagi

MyMetroArena
 
PAHANG mencatat kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini selepas dikejutkan PJ City, 2-3 di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh sebelum ini tewas 1-2 ketika berdepan Selangor pada perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu lalu.

PJ City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Demba Camara pada minit ke-11 sebelum tonggak import Tok Gajah, Dickson Nwakaeme menyempurnakan penalti beberapa minit kemudian untuk menyamakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, Pahang pula di depan menerusi jaringan Ivan Carlos sebelum PJ City kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-59 apabila R Barathkumar mudah merembat masuk bola hantaran Camara.

Ketika perlawanan seakan bakal berakhir dengan keputusan seri, Kogileswaran muncul wira PJ City selepas bijak memanfaatkan peluang menjaringkan gol kemenangan pasukannya hasil sepakan percuma pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 11:54 P.[1]



[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/03/551867/tok-gajah-tumbang-lagi

Ahad, 1 Mac 2020

Percaturan Dollah tak menjadi

SUKAN»Bola
Ahad, 1 March 2020 | 1:54pm
Pengendali Tok Gajah Dollah Salleh. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Percaturan Dollah tak menjadi

KUANTAN: Segalanya serba tidak menjadi selepas 25 minit perlawanan yang menyebabkan skuad Pahang tewas 2-1 di tangan Selangor, malam tadi.

Pengendali Tok Gajah Dollah Salleh berkata, selepas menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20, prestasi anak buahnya mulai menurun.

"Dengan prestasi tidak konsisten itu dan kelekaan, lawan bijak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan dua gol, masing-masing satu pada setiap babak,” kata Dollah.

"Kami cuba menggandakan serangan dan mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi dipersiakan. Sebaliknya, Selangor mengambil peluang itu di penghujung perlawanan yang menyebabkan pasukan akur tewas di tempat sendiri."

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, dia sudah mengingatkan anak buahnya supaya lebih fokus terutama berdepan Selangor.

Namun katanya, percaturan yang dirancang tidak menjadi hingga memberi banyak peluang Selangor melakukan serangan balas.
"Lebih-lebih lagi aksi dua pemain iaitu Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan. Tapi secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati dan anggap nasib tidak menyebelahi Pahang malam ini," katanya.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/03/660945/percaturan-dollah-tak-menjadi