Khamis, 2 April 2020

'Bukan berehat dan makan je'


MyMetroArena
 PEMAIN Pahang Ivan Carlos Franca Coelho (tengah) berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur bulan lalu. FOTO Bernama
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

BARISAN pemain Pahang diminta mengekalkan tahap kecergasan sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, sebagai pemain profesional, mereka perlu mengambil inisiatif sendiri dalam mengekalkan tahap kecergasan.

“Pemain perlu berada di tahap kecergasan tinggi dan bukannya berehat dan makan sepanjang tempoh larangan PKP kerana kesannya tidak bagus sebaik kembali bersama pasukan.

“Sebaiknya mereka melakukan latihan harian terutama daripada segi meningkatkan kecergasan walaupun berada di rumah.

“Pada masa sama, barisan kejurulatihan akan memberikan panduan dalam usaha membantu pemain mengekalkan prestasi mereka.

“Tapi pemain perlu mematuhi arahan yang ditetapkan iaitu tidak berada di luar rumah bagi memastikan terhindar daripada wabak Covid-19,” katanya.

Mohammed Suffian berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan komitmen semua pemain kerana saling berhubung antara satu sama lain.

Justeru, katanya, skuad Pahang dinasihatkan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 6:54 PM.[1]


[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/03/556999/bukan-berehat-dan-makan-je