Isnin, 30 Januari 2017

Pahang mula mengorak langkah

 
MATHEUS Alves Leandro (tengah) menjadi taruhan Pahang untuk memusnahkan gawang pasukan lawan pada kempen Liga Super musim ini.

SAINGAN Liga Super musim ini baru mengharungi dua perlawanan dengan Pahang sudah memperlihatkan kebangkitan yang luar biasa.

Musim lalu, skuad Tok Gajah tersebut hampir tersingkir ke saingan Liga Premier, namun berjaya menyelamatkan diri pada saat akhir untuk terus kekal bersaing pada liga utama negara itu.

Kejatuhan juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu pada musim lalu berpunca daripada masalah dalaman yang menyaksikan mereka membuat pertukaran jurulatih selepas Shaharuddin Rosdi digantikan dengan Razif Ismail.

Pergolakan tersebut ternyata telah menjejaskan rentak Pahang yang sekadar menamatkan kempen musim 2016 di tempat ke-12 liga dengan 24 mata.

Tahun ini, persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuat keputusan untuk mem­beri kepercayaan kepada bekas jurulatih skuad Harimau Malaysia, Dollah Salleh untuk memimpin Tok Gajah dan setakat ini ia mula memperlihatkan perubahan dalam skuad tersebut.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan kemam­puan Pahang musim ini tetapi berdasarkan rentak permainan yang diperagakan dalam dua perlawanan terdahulu, mereka sudah mula mendapat keyakinan dan mungkin menjadi antara pasukan pencabar tahun ini.

Pada perlawanan pembuka tirai menentang Perak di Ipoh, 21 Januari lalu, skuad kendalian Dollah itu mencatat keputusan seri 1-1 sebelum membelasah T-Team 5-0 pada aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu.

Ia membuktikan bahawa barisan pemain Pahang sudah memulihkan keyakinan dan bersedia untuk memberi cabaran pada saingan lima musim ini.

Namun, Dollah tidak mahu skuad kendaliannya dianggap sebagai sebuah pasukan yang mantap kerana baginya, Pahang masih belum diuji sepenuhnya.

Menurut Dollah, buat masa ini kekuatan skuad Pahang belum dapat dinilai sepenuhnya kerana saingan liga musim ini baru me­lalui dua perlawanan.

“Kami dalam proses penyusu­nan semula dengan harapan dapat memberi cabaran kepada pasukan lain, terutamanya gergasi bola sepak selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Apa pun kami akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum agar terus meraih keputusan yang positif dalam perlawanan selepas ini. Kami juga belum diuji sepenuhnya kerana masih belum berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT, Kedah mahupun Selangor.

“Kita akan tengok macam mana respons para pemain apabila berdepan dengan tiga pasukan gergasi itu nanti dan dari situ baru kita mendapat gambaran sebenar berkenaan prestasi skuad Pahang musim ini.

“Namun, saya tetap berharap agar barisan pemain Pahang dapat mempamerkan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang mereka harungi selepas ini,” jelas Dollah ketika ditemui selepas aksi menentang T-Team di Kuantan, Jumaat lalu.

Selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini, Pahang berada di puncak liga dengan me­ngumpul empat mata, manakala JDT dan Selangor yang turut mengumpul empat mata, ma­sing-masing menghuni tangga kedua dan ketiga.

Mereka hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan de­ngan Pahang telah menghasilkan enam jaringan dan bolos sekali.

Ia membuktikan bahawa skuad Dollah itu boleh dikatakan agak mantap di bahagian pertahanan dan serangan.

JDT pula masih dilihat pencabar utama walaupun mereka kini bertukar jurulatih pada saat akhir selepas Mario Gomez menamatkan kontraknya dengan pasukan Harimau Selatan itu.

Tugas Gomez diambil alih oleh jurulatih JDT II, Benjamin Mora yang sudah mula memperlihatkan magisnya pada perlawanan kedua menentang Felda United, Jumaat lalu.

Menurut Mora, beliau memerlukan masa bagi memastikan JDT tetap unggul seperti mana yang dibuktikan ketika di bawah kendalian Gomez musim lalu.

Turut menjadi perhatian mu­sim ini sudah pastinya Kedah, yang sudah menggenggam satu piala musim ini selepas berjaya menewaskan JDT untuk mere­but Piala Sumbangsih 2017.

Begitupun, juara Piala Malaysia 2016 itu menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas JDT selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi pembuka tirai, 20 Januari lalu di Larkin.

Selangor yang dilanda pelba­gai masalah dalaman ketika me­lakukan persiapan musim ini ternyata kental kerana barisan pemainnya tidak terjejas de­ngan ‘tsunami’ dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Mereka kekal fokus dan setakat ini sudah mula menunjukkan hasil yang membanggakan.

Selangor juga kehilangan beberapa pemain tonggak musim ini dan jurulatih, P. Maniam terpaksa meneruskan misi dengan mempertaruhkan pemain muda yang masih cetek pengalaman.

Perak juga antara pasukan yang perlu diawasi termasuk dua muka baharu pada kempen Liga Super iaitu Melaka United dan PKNS FC.

Apa pun, pasukan yang berjaya mengekalkan rentak konsisten, pastinya bakal diangkat sebagai juara liga bagi musim 2017.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4XEhBopM6 Hakcipta terpelihara


Tok Gajah enggan selesa dengan kemenangan besar

28 JANUARI 2017
Tok Gajah (pahang)
KEJAYAAN Pahang menumbangkan T-Team dengan jaringan besar di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi bukan tiket buat skuad Tok Gajah untuk berasa selesa dan mendabik dada dalam mengharungi perlawanan Liga Super musim ini.

Pengendalinya Dollah Salleh berkata, meskipun para pemain telah mempamerkan prestasi amat baik 5-0 ke atas T-Team, namun keupayaan anak buahnya masih belum teruji sepenuhnya selagi tidak bertemu pasukan elit.

"Persembahan Pahang adalah membanggakan dan ia lebih baik berbanding pertemuan dengan Perak sebelum ini.

"Namun, selagi Pahang tidak bertemu pasukan hebat seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah dan Selangor, kita tidak dapat menilai kekuatan kita yang sebenar," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan berkenaan.

Dollah berkata beliau secara keseluruhannya gembira kerana lima jaringan itu melangkaui tiga gol yang disasarkan, yang menurutnya ia hasil keserasian dicapai antara pemain import dengan pemain tempatan. –Bernama

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 28 JANUARI 2017

Dollah: Kekuatan Pahang belum diuji sepenuhnya

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

PEMAIN Pahang, Wan Zaharulnizam (depan) berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin yang menyaksikan Pahang menang 5-0.

KEKUATAN pasukan Pahang masih belum diuji sepenuhnya kerana saingan Liga Super kini masih berada pada peringkat awal.

Demikian tegas jurulatih Pahang, Dollah Salleh kelmarin selepas menyaksikan skuad kendaliannya itu mencatat kemenangan besar, 5-0 ke atas T-Team di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dollah menyifatkan kekuatan skuad Tok Gajah masih belum boleh dibanggakan selagi mereka tidak membuat perhitungan dengan tiga pasukan yang dianggap terkuat pada kempen Liga Super musim ini.

Menurutnya, meskipun Pahang mencetak kemenangan bergaya selepas membelasah T-Team 5-0, namun kekuatan sebenar pasukan itu hanya akan teruji sepenuhnya apabila mereka bertemu Kedah, Selangor serta Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

“Malam ini (kelmarin), pemain-pemain telah menunjukkan segala yang diharapkan (ketika membelasah T-Team) dan pasukan juga nampak mantap. “Tapi, selagi tidak berdepan tiga pasukan terkuat pada kempen liga, saya tidak dapat menilai kekuatan Pahang dengan sepenuhnya.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik. Perjalanan masih jauh dan apa yang penting, para pemain dapat mengekalkan prestasi,” ujar Dollah ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan menentang T-Team, malam kelmarin.

Ujian sebenar yang pertama buat Pahang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 11 Februari ini, diikuti cabaran perlawanan kedua menentang JDT (3 Mac) di Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul Makmur untuk melayan kunjungan Selangor pada 15 April depan.

Mengulas prestasi ditunjukkan pemain Pahang ketika menundukkan T-Team, Dollah berkata, beberapa tonggak import seperti Mohammadou Sumareh serta Matheu Alves Leandro telah mempamerkan prestasi yang diharapkannya.

“Pemain-pemain import banyak membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu, pemain tempatan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan terbaik ketika memporak-perandakan T-Team.

“Sebenarnya, telah banyak pertukaran untuk senarai kesebelasan utama dibuat sebelum ini. Semasa menentang Perak pun kita masih dalam keadaan menilai pemain terbaik untuk berada dalam skuad utama.

“Dengan gandingan pemain-pemain terbaik yang ada dalam pasukan ketika ini, saya harap pemain-pemain lain juga terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing,” ujar Dollah lagi.

Pada perlawanan malam kelmarin, Pahang meraih gol menerusi Mohammadou pada minit ke-13, diikuti dua gol menerusi Matheu (m-54 dan m-73), Jae-won Heo (m-64) dan Chinedu Bright Ezendu (m-84).

Pahang yang mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan liga setakat ini telah meletakkan skuad tersebut berada di puncak liga manakala JDT yang turut mengutip empat mata berada di tempat kedua atas perbezaan jumlah jaringan gol.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4X8Mkt9E8 Hakcipta terpelihara

Sabtu, 28 Januari 2017

Tok Gajah belum 
tempuh ujian sebenar

ZAMZURINA AHMAD  |  29 Januari 2017 12:15 AM
 Pemain Pahang, Matheus Alves Leandro (tengah) cuba mengawal bola
Pemain Pahang, Matheus Alves Leandro (tengah) cuba mengawal bola ketika diasak pemain pertahanan T-Team, Abdoulaye Maiga dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. Pahang menang 5-0. bernama
KUANTAN 28 Jan. - Meskipun menang de­ngan jaringan besar ke atas T-Team malam tadi, pasukan Pahang masih belum boleh mendabik dada kerana ujian sebenar belum mereka tempuhi, kata bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.
Dollah, yang kembali me­latih skuad Tok Gajah musim ini, berkata kekuatan sebenar pasukannya belum dapat dipastikan selagi tidak berdepan dengan tiga pasukan hebat iaitu Kedah, Sela­ngor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Selagi belum membuat perhitungan dengan tiga pasukan itu, kekuatan Pahang masih belum teruji dan saya tidak dapat menilai sepenuhnya.

“Pemain-pemain dilihat me­nunjukkan segala yang diharapkan (dalam perlawanan malam tadi) dan pasukan juga nampak mantap.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik. Perjalanan masih jauh dan yang penting pemain-pemain dapat mengekalkan pres­tasi,” katanya kepada pemberita selepas pasukannya membelasah T-Team 5-0 di Stadium Darul Makmur.
Menurut Dollah, ujian sebenar pertama untuk Pahang ialah di Stadium Darul Aman pada 11 Februari ini, diikuti pertemuan dengan JDT (3 Mac) di Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul Makmur untuk berdepan Selangor (15 April).
Mengulas prestasi anak buahnya, Dollah berkata beberapa pemain import seperti Mohamadou Sumareh serta Matheu Alves Leandro telah mempamerkan segala yang diharapkannya.
“Pemain-pemain import banyak membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu, pemain tempatan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan dengan baik yang memporak-perandakan T-Team.
“Sebenarnya, telah banyak pertukaran (kesebelasan) pemain dibuat. Semasa menentang Perak (seri 1-1) pun kita masih dalam keadaan terpaksa menukar pemain pada saat akhir.
“Dengan gandingan pemain-pemain terbaik yang ada dalam pasukan sekarang ini, saya harap pemain lain juga dapat menyerlahkan prestasi masing-masing,” jelasnya.
Pahang membuka tirai ja­ringan seawal minit ke-13 menerusi Mohamadou manakala Matheu menjaringkan dua gol (minit 54 dan 73) manakala Heo Jae Won Heo dan Chinedu Ezendu masing-masing me­nyumbat satu gol pada minit ke-64 dan 84.
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-belum-8232-tempuh-ujian-sebenar-1.437549#sthash.c9685dwH.dpuf








Khamis, 26 Januari 2017

Dollah puas hati prestasi pemain Tok Gajah

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 JANUARI 2017
 Dollah puas hati prestasi pemain Tok Gajah
Dollah puas hati prestasi pemain Tok Gajah Pemain Pahang, Faisal Rosli diasak pemain Perak ketika perlawanan Liga Super di Stadium Perak, kelmarin.
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh tetap berpuas hati prestasi dipamerkan anak buahnya meskipun sekadar seri 1-1 ketika berkunjung ke Ipoh menentang Perak aksi pertama Liga Super, kelmarin.

Bagi Dollah, keputusan itu tetap dianggap istimewa dan mahu dijadikan pencetus semangat untuk mereka beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang,

"Pertama kali, Alhamdulillah. Satu permulaan yang baik di sini. Walaupun mereka gagal pertahan gol awal tetapi yang penting mereka berusaha sehingga ke saat akhir permainan.

"Saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya menjalankan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Pada aksi di Stadium Perak  itu, Pahang mendahului skuad bimbingan Karl-Heinz Weigang apabila Ahmad Shamim Yahya meledak gol pembukaan selepas menyempurnakan hantaran Mohamadou Sumareh.

Bagaimanapun, tuan rumah bangkit apabila Thiago menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-68 untuk membolehkan tuan rumah berkongsi mata


SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 JANUARI 2017

Selasa, 24 Januari 2017

Gol jadi inspirasi

 
BENTENG Pahang berjaya menyekat asakan pemain Perak Thiago Junior (jersi kuning).
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Syamim Yahya gembira kerana jaringannya ketika skuad itu seri 1-1 dengan Perak Sabtu lalu membantu Pahang membawa pulang satu mata.

Pemain berasal dari Raub itu berkata, kerjasama rakan sepasukan juga menjadi faktor kejayaan skuad Tok Gajah untuk mencuri satu mata pada aksi pembukaan Liga Super.

Tiada yang lebih bermakna kerana keutamaan adalah memastikan skuad itu tidak terlepas sebarang mata pada setiap perlawanan, katanya.

“Bukan pencapaian individu saya mahukan termasuk pemain mana yang menjaringkan gol kerana keutamaan adalah memastikan kejayaan buat pasukan.

“Apapun kami gembira kerana aksi pertama liga di tempat lawan, Pahang berjaya mencuri satu mata sebagai penyuntik semangat untuk beraksi lebih baik pada perlawanan kedua nanti,” katanya semalam.

Mengulas perpindahan ke Pahang musim ini, Syamim yang juga bekas pemain FELDA United mengharapkan keputusan itu akan membantunya meraih kejayaan bersama pasukan baru.

Selepas tiga musim bersama The Fighters sejak 2014 tanpa sebarang kejuaraan, kehadirannya dalam skuad Tok Gajah diharap mendapat keputusan positif.

“Bukan semata-mata saya anak Pahang tapi ia lebih kepada mengembalikan kegemilangan skuad itu yang suram musim lalu, perubahan dilakukan musim ini diharap membantu menaikkan kembali Pahang.

“Sebagai pemain, saya akan berusaha untuk beraksi pada tahap terbaik dan dengan sokongan padu rakan sepasukan, Pahang akan menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” ujarnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 11:11 AM

Sabtu, 7 Januari 2017

Dollah buru 3 import lagi perkuat Tok Gajah

SABTU, 7 JANUARI 2017 @ 2:41 PM
 
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my KUANTAN: Selepas mengikat Mohamadou Sumareh dari Gambia untuk memantapkan skuad Pahang, misi Dollah Salleh kini adalah untuk mendapatkan tiga lagi pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

      Pengendali Pahang itu berkata, setakat ini, beliau tidak mahu terburu-buru menyenaraikan tenaga import kerana masih lagi dalam proses menguji pemain yang berminat menyarung jersi skuad itu.

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Goh Thean Howe Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, setakat ini hanya Sumareh yang sah bersama Pahang untuk musim baharu ini.

"Pengalaman yang dimiliki Sumareh bersama pasukan diwakili sebelum ini diharapkan dapat membantu Pahang musim ini," katanya kepada BH Online. Musim lalu, Sumareh, 25, menyarung jersi Perlis dan tampil bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi musim 2013 hingga 2015.

Sementara itu, pemeriksaan pada akaun Facebook Pahang FA, mendapati skuad Tok Gajah bakal menguji pasukan Liga Perdana Kuala Lumpur dalam aksi persahabatan di Stadium Mini Temerloh pada jam 8.45 malam ini.

Dollah juga dijadualkan menguji anak buahnya dalam aksi pra musim terakhir menentang kelab Singapura, Tampines Rovers di negara Seberang Tambak itu minggu depan.

SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/231431

Khamis, 5 Januari 2017

Pahang uji Tampines Rovers


Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: Selepas memilih Thailand sebagai persediaan pramusim bulan lalu, Pahang kini beralih ke Singapura sebagai persediaan terakhir bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Jurulatih Dollah Salleh (gambar) berkata, mengikut perancangan skuadnya akan bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers minggu depan untuk menilai prestasi semasa kerana saingan Liga Super akan bermula pada 21 Januari ini.


Aksi persahabatan itu diharap membantu mempertingkatkan lagi persembahan pasukan terutama dari segi persefahaman dan prestasi sekali gus memberi saingan bermakna dalam liga, ujarnya.

“Setakat ini, keserasian dalam kalangan pemain belum mencapai tahap diinginkan tapi saya percaya dengan sesi latihan serta aksi persahabatan akan membantu meningkatkan persefahaman.

“Sejak bulan lalu, mereka masih lagi memerlukan masa untuk mewujudkan keserasian dan aksi persahabatan akan membantu memantapkan pasukan sebelum bertemu Perak pada aksi pembuka tirai liga,” katanya semalam.

Pada aksi persahabatan pramusim di Thailand bulan lalu, Pahang seri dua kali dengan Rayong FC (1-1) dan Fort FC (1-1) dan tewas dua kali kepada PTT Rayong (0-2) dan Royal Navy FC (0-2).

Sumbe-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:33 AM

Selasa, 3 Januari 2017

Pahang mahu kembali digeruni

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
 
SKUAD Pahang bertekad untuk kembali menjadi pasukan digeruni pada kempen Liga M musim 2017.

PAHANG kini sudah berada pada fasa terakhir untuk membentuk skuad mantap menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Keutamaan adalah untuk memastikan setiap posisi seimbang, terutamanya jentera pertahanan.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, beliau mahu pasti­kan skuad Pa­hang mantap di semua posisi dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Tok Gajah pada kancah Liga M seperti mana yang telah dibuktikan dua tahun lalu.

Menurutnya, jika semua posisi seimbang, maka ia akan memudahkan tugas mereka untuk merencanakan taktikal agar Pahang kembali digeruni pada saingan liga tempatan.

Kata Dollah lagi, beliau bertekad untuk memenuhi impian Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada musim 2017 nanti.

Sebagai langkah untuk merea­lisasikan harapan itu skuad tersebut dikatakan ber­belanja agar besar untuk mendapat beberapa pemain import dan tempatan.

Setakat ini, lapan pemain tempatan yang sudah berada dalam perancangan mereka termasuk Christie Jayaseelan, Ashari Shamsuddin, Muslim Ahmad, Jopsep Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Zubir Azmi, Ahmad Syamim Yahya serta Nurridzuan Abu Hassan.

“Kami masih lagi mencari pemain untuk mengisi kekosongan pada posisi pertahanan dan dua pemain yang diuji dalam aksi persahabatan menentang Kuantan FA baru-baru ini tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Pada perlawanan tersebut Pahang tewas 3-4,” jelas Dollah.

Menurutnya, beliau tidak bimbang dengan kekalahan tersebut kerana ia merupakan medan buatnya menilai pemain berkemampuan untuk diserapkan dalam skuad Pahang nanti.

Selain itu katanya, beberapa pemain daripada pasukan lain telah menawarkan diri untuk menyertai Pahang termasuk dua pemain import yang beraksi pada posisi serangan.

“Pemain-pemain ini mungkin akan menjalani sesi ujian bersama Pahang pada 4 dan 5 Januari ini,” jelas Dollah.

Beliau menambah, skuad Tok Gajah juga sedang mencari pemain dari negara Asia sama ada dari Indonesia, Thailand, Myanmar atau negara Asia lain bagi memenuhi kuota Asia.

Mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan bekas pemain Pahang iaitu Damion Stewart dan Matias Conti yang berminat kembali ke pangkuan pasukan tersebut, Dollah menjelaskan bahawa perkara berke­naan terpulang kepada pemain itu sendiri.

“Perkara itu saya serahkan kepada pemain itu sendiri tetapi buat masa ini pihak PBNP tidak menerima sebarang permintaan daripada pemain terbabit. Jika betul, mereka perlu melalui sesi ujian dan tiada tempat secara automatik buat mereka dalam pasukan,” jelas Dollah

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4UiaChIGk Hakcipta terpelihara