Isnin, 25 Januari 2021

Gandingan mantap Dooley, Dollah


MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Gandingan dua legenda, Thomas Dooley dan Dollah Salleh diharap memacu Sri Pahang FC pada prestasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurusan Sri Pahang melantik Dooley selaku ketua jurulatih manakala Dollah pula sebagai pengurus pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, gandingan dua legenda itu diyakini memberi sentuhan terbaik buat pasukan berkenaan.

Katanya, pengalaman yang dimiliki Dooley dan Dollah akan meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik terutama sepanjang menghadapi saingan Liga Super.

"Mereka memiliki pengalaman yang luas di pentas antarabangsa dan selaku bekas pemain, mereka adalah legenda dan mampu memberi impak buat Sri Pahang musim ini.

"Saya percaya gabungan dua lagenda ini juga akan menyaksikan barisan pemain termasuk import sentiasa berada pada prestasi terbaik," katanya.

Berdasarkan pengalaman, Dooley pernah bermain dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04.

Jurulatih import berumur 60 tahun itu pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat pada 2011 hingga 2012 dan Filipina (2014-2018).

Manakala, pengalaman luas Dollah, 58 selaku bekas jurulatih kebangsaan dan melatih beberapa pasukan akan meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 11:07 PM


Jumaat, 8 Januari 2021

Zarif lega dapat sarung jersi Pahang

 SUKAN



ZARIF mengakui perlu bekerja keras untuk membuktikannya layak berada dalam kesebelasan utama pasukan Tok Gajah.

Zarif lega dapat sarung jersi Pahang

Oleh KOSMO!

8 Januari 2021, 10:50 am

BEKAS penjaga gol Felda Uni­ted, Zarif Irfan Hashimuddin mengakui lega selepas masa depannya terjamin apabila mene­rima tawaran untuk menyarung jersi Pahang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kata Zarif, terdapat beberapa tawaran yang diterima daripada pasukan Liga M yang lain tetapi kesempatan diberikan oleh skuad Tok Gajah sesuatu yang sukar ditolak.

Selepas Felda United memilih untuk tidak lagi beraksi (dalam Liga M), saya ada berbincang dengan tiga pasukan lain sebelum menerima tawaran daripada Pahang.

Mereka beri keyakinan mempunyai perancangan jangka panjang untuk saya, kerana saya masih muda dan optimis terhadap kemampuan saya.

Bagi saya, ini peluang tidak boleh dilepaskan kerana Pahang adalah satu nama begitu besar dalam liga dan saya rasa ini peluang terbaik buat diri saya, kembali menaikkan karier,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebagai rekod, nama Zarif mula dikenali ketika mewakili pasukan Selangor selama dua musim bermula 2016 sebelum berhijrah ke kelab Perbada­nan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada 2018.

Namun, kelibat pemain berusia 26 tahun itu semakin me­nyerlah ketika menjadi penjaga gol No. 1 buat skuad The ­Fighters yang dibimbing Nidzam Jamil pada saingan tahun lalu.

Kini, Zarif berharap dapat mencabar posisi kesebelasan utama skuad Pahang meskipun sedar kehadiran penjaga gol berpengalaman Helmi Eliza Elias sukar digugat.

Saya amat hormati Helmi tetapi saya tidak boleh berpuas hati jika hanya diletakkan dalam bangku simpanan dan saya akui perlu bekerja keras untuk buktikan tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.SUMBER-KOSMO ONLINE


Sabtu, 2 Januari 2021

Bekas pemain Pahang meninggal dunia

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

BEKAS pemain Pahang era 70-an, Mohd Najib Mohd Ariffin meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Taman Pelindung, Kampung Pelindung, Beserah di sini, malam tadi.

Allahyarham Mohd Najib atau Mike, 68 dikatakan mengalami serangan jantung ketika mengambil wuduk pada jam 9.30 malam.

Setiausaha Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Pahang (PBPBNP), Nazeri Hussain berkata, Allahyarham Mohd Najib pernah menjalani pembedahan pintasan jantung awal tahun lalu serta menghidap penyakit tiroid.

Katanya, Allahyarham meninggalkan dua isteri dan 10 anak berumur antara lapan hingga 36 tahun.

"Bagi pihak PBPBNP, kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mohd Najib yang pernah menyarung jersi skuad Pahang dan Kuantan FA pada tahun 70-an.

"Allahyarham sememangnya terkenal dengan aksi lincahnya dan antara pemain tengah terbaik skuad Pahang," katanya.

Mohd Najib yang beraksi sebagai pemain sayap kanan skuad Tok Gajah itu dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pelindung pada 11 pagi ini.

Sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak Pahang, Allahyarham Mohd Najib pernah menyarung jersi skuad Pahang dan Kuantan FA.

Allahyarham seangkatan dengan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, Abdullah Akil, Kamaruddin Ali, Abdullah Sukor, Rosmani Mohd Shah.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 12:44 PM

'Cotang' teruja bersama Pahang

MyMetroArena



Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli atau 'Cotang' mengakui teruja untuk mempamerkan prestasi terbaik bersama skuad Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Shahrul Aizad berkata, kepercayaan yang diberikan skuad Tok Gajah terutama mempertaruhkan lebih ramai anak jati Pahang diyakini mampu memperkasakan skuad itu.

"Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan dan berazam untuk bersama rakan lain meletakkan Pahang melakar kejayaan membanggakan musim depan.

"Diharapkan beraksi bersama pasukan negeri kelahiran akan meningkatkan lagi motivasi untuk kembali melonjakkan imej Pahang," kata pemain kelahiran Felda Bukit Goh, Kuantan.

Musim ini, Shahrul Aizad menyarung jersi Felda United FC selepas dua musim bersama Terengganu FC (TFC) pada 2018 dan 2019.

Ditanya kembali bersama dua lagi pemain iaitu Abdul Malik Mat Ariff dan Baqiuddin Shamsudin ketika mewakili Kuantan FA, dia gembira selepas lama terpisah.

Katanya, pengalaman bersama itu diharap dapat diterjemahkan dengan kualiti yang lebih baik terutama menyarung jersi skuad kelahiran Pahang.

"Oleh itu saya harap dapat beraksi pada tahap terbaik dengan sokongan pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain lain," kata pemain berumur 27 tahun itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 2:26 PM