Sabtu, 15 Oktober 2016

Razip enggan panik

Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: Jurulatih Pahang, Razip Ismail enggan menekan butang panik walaupun skuadnya sekadar mencatat keputusan seri 2-2 pada pertemuan persahabatan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Temerloh, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan berkenaan tetap menggembirakannya memandangkan ia adalah aksi pertama selepas skuad Tok Gajah hanya kembali menjalani latihan sejak aksi terakhir Liga Super bertemu Pulau Pinang pada 24 September lalu.

Katanya, segala-galanya dilihat positif terutama membabitkan gabungan pemain utama dan simpanan termasuk pemain daripada skuad Piala Presiden dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap.

“Pada masa sama, beberapa pemain tidak dapat diturunkan disebabkan masalah kecederaan dan demam tetapi pemain lain mampu melaksanakan tugas yang diberikan.

“Sebenarnya, peluang banyak dilepaskan pemain walaupun pintu gol terbuka luas dan mereka gagal melakukan penyudah tepat hingga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

“Tapi, saya percaya keputusan ini dapat memudahkan saya menilai keupayaan pemain bagi menghadapi T-Team pada perlawanan penutup tirai Liga Super pada 22 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Justeru, Razip berkata, satu lagi aksi persahabatan akan diadakan sebagai persediaan terakhir bertemu kelab dari Terengganu itu untuk memastikan Pahang mampu meraih kemenangan.

Menurutnya, kemenangan amat penting bagi mengesahkan sama ada skuad Tok Gajah kekal dalam saingan Liga Super musim 2017 atau tidak.

“Apa yang perlu dilakukan pemain adalah mempamerkan aksi terbaik dan komited untuk mengekalkan Pahang dalam saingan liga,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:49 AM