Ahad, 12 Mac 2017

Tok Gajah tanpa kelibat Azizul - 9 pemain lain setuju wakili semula Pahang bagi Liga Malaysia musim depan

ARKIB : 19/12/2000
KECUALI Azizul Kamaluddin, sembilan pemain musim lalu Pahang mengesahkan persetujuan mereka untuk memikul cabaran skuad Tok Gajah sekali lagi bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Sembilan pemain senior itu termasuk dua pemain kebangsaan, Mohd. Ali Tahar dan Ahmad Shaharuddin Rosdi serta Azaruddin Aziz, Muadzar Mohamad, Suhaimi Mohd. Noor, Jalaluddin Jaafar, Hairul Nizam Hanif, Azrul Hisyam Yusof dan Mohd. Al-Rafaie Ali.

Menuruti mereka dalam majlis menandatangani kontrak setahun Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam ialah sebahagian besar tonggak skuad juara Sukan Malaysia (Sukma) di Pulau Pinang, Mei lalu dan pemain Liga Simpanan musim ini.

Mereka menerima gaji bulanan sekitar RM1,400 hingga RM4,500 berdasarkan label pemain negara, pengalaman dalam skuad Pahang serta penyertaan perlawanan pada Liga M.

Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail, berkata, sekalipun majlis semalam tidak dihadiri Azizul, bekas penyerang kebangsaan itu masih lagi diberi peluang kedua untuk menandatangani kontrak dengan Pahang selepas ini.

''Dia mungkin masih berbulan madu selepas melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Sudah tentu kalau dia mahu, dia masih boleh tandatangani kontrak tapi lepas ini dia perlu menemui sendiri Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah atau Timbalannya,'' kata Jamal.

Menurut Jamal, Azizul mesti memberitahu Tengku Abdullah dalam pertemuan itu, mengapa dia tidak hadir pada majlis menandatangani kontrak semalam.

''Hari ini semua kontrak pemain kita buat secara rasmi. PBNP berpegang teguh kepada keputusan sebelum ini untuk menawarkan gaji yang lebih rendah berbanding musim depan kepada pemain,'' katanya.

Mengenai apakah tawaran PBNP kurang memuaskan hati Azizul sehingga dia diberitakan mahu berhijrah ke negeri lain, beliau berkata: ''Jika dia tidak setuju (dengan skim gaji terbaru Pahang), sulitlah baginya.''

Jamal berkata, pada musim depan, tiada lagi bonus atau insentif bagi setiap kemenangan diberi oleh PBNP kepada pemain sebaliknya sebarang ganjaran hanya akan diperoleh menerusi hadiah wang tunai jika memenangi sesuatu piala.

''Sebagai contoh, jika pasukan memenangi Piala Liga, hadiah wang tunainya akan menjadi milik pemain 100 peratus dan bukan lagi secara 60-40 yang diagihkan dengan persatuan seperti musim ini,'' katanya.

Malah sekiranya Pahang memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia dan cuma bergelar naib juara, wang kutipan masuk penonton juga dijanjikan sebagai habuan pemain.

''Hasil kutipan tiket pada perlawanan akhir itu terpulang kepada pengurus pasukan untuk dibahagi-bahagikan kepada pemain,'' kata Jamal.

Berhubung gaji di luar musim, Jamal berkata, sekiranya seseorang pemain itu digaji RM1,500, dia akan mendapat RM1,000 sepanjang tempoh tersebut iaitu sekiranya saingan Pahang berakhir di peringkat liga atau gagal ke peringkat seterusnya kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala FA.

''Bagi pemain yang digaji melebihi RM2,000, PBNP hanya akan membayar sebahagian sahaja daripada pendapatan bulanannya sepanjang luar musim itu,'' kata beliau sambil menambah, belanjawan Pahang menghadapi Liga M musim depan berkurangan kepada cuma RM1.5 juta.

Majlis semalam turut mengesahkan kepulangan Yunus Aliff sebagai ketua jurulatih Pahang untuk menggantikan Fuzzeimi Ibrahim di samping pelantikan Ahmad Yusuf sebagai penolong jurulatih.

''Yunus akan memegang dua tugas serentak _ ketua jurulatih dan pengurus pasukan yang diberi kebebasan dan kuasa penuh dalam pemilihan pemain serta kebajikan pasukan,'' katanya.

Menyedari PBNP perlu realistik dengan kemampuan sendiri apabila cuma dibarisi sembilan pemain senior, Jamal memberitahu, PBNP tidak mahu meletakkan sebarang sasaran kepada pasukan bimbingan Yunus ini pada Liga M musim depan.

Mengenai gaji pemain musim lalu yang masih tertunggak sehingga lima bulan, beliau berkata: ''Ia masih diusahakan oleh PBNP dan kita janji akan melunaskannya sebelum mereka menyambut Hari Raya.''

BARISAN PEMAIN PAHANG

Azaruddin Aziz, Ahmad Shaharuddin Rosdi, Mohd. Ali Tahar, Muadzar Mohammad, Suhaimi Mohd. Noor, Jalaluddin Jaafar, Khairul Anuar Karim, Hairul Nizam Hanif, Azrul Hisyam Yusof, Hairul Nizam Man, Azmani Kadir, Rafeek Moidony, Shahril Faizal Sharifudin, Safri Mokhtar, Zaharul Aiman Tahar, Mohd. Al-Rafaie Ali, Suhaizi Sulaiman, Iskandar Zulkarnain, Zulkafli Hamid.

SIMPANAN: Irewan Sulaiman, Ahmad Wahid, Shahrizan Salleh, Ahmad Izwan Maarup dan Zulkifli Yusoff.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b7lbxxWc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan