Selasa, 14 Mac 2017

'Mati hidup semula'



ARKIB : 24/01/2001
'MATI hidup semula' menjadi ungkapan paling cocok untuk menggambarkan untung nasib benteng veteran Pahang, Azhar Kamaluddin apabila dia diterima semula menyertai skuad Tok Gajah bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia, musim ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Ini disahkan oleh ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan, Yunus Aliff di Kuantan, semalam.

Azhar yang baru-baru ini kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengetepikan khidmatnya musim ini, disahkan kembali bersama Tok Gajah sejak minggu lalu oleh Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malah khabar gembira bagi mengembalikan Azhar itu sekali gus menghidupkan semula peluangnya untuk mendapat ganjaran tertentu dalam skim khas PBNP sebagai membalas jasa bakti dan kesetiaannya hampir sedekad terhadap Pahang.

"Azhar sudah kembali bersama untuk menjalani latihan dengan Pahang sejak Rabu minggu lalu,'' kata Yunus yang kini mempunyai 23 pemain hasil adunan 10 tonggak senior dan majoriti pemain Liga Simpanan dan skuad Sukan Malaysia (Sukma) dalam sesi latihan pramusim.

Cuma Mohd. Ali Tahar, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Hairul Nizam Hanif dikecualikan daripada latihan yang bermula sejak 8 Januari lalu kerana mengikuti persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Kelana Jaya, Selangor.

Azhar yang berusia lewat 30-an sebelum ini dikatakan mahu menyertai NS Chempaka sekalipun kelab dari Negeri Sembilan itu cuma beraksi dalam Perdana Dua bagi menyambung sisa-sisa perjuangan dan kerjaya bola sepak profesionalnya.

Sementara itu bekas penyerang berbisa import Pahang, Viatcheslav Melnikov dijangka kembali bersama Tok Gajah ekoran penarikan semula larangan khidmat pemain asing mulai tahun depan.

Menurut Tengku Abdullah: "Melnikov kini dipinjamkan kepada sebuah kelab di Israel. Kita akan tengok sama ada dia boleh kembali beraksi di Pahang apabila larangan khidmat pemain asing ditarik balik mulai 2002.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bMq56P1J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan