Jumaat, 17 Mac 2017

Skuad Pahang mampu bangkit

ARKIB : 27/04/2001
KEYAKINAN terhadap barisan muda Pahang tidak sedikit pun terpadam dari lubuk hati Ahmad Yunus Mohd. Aliff sekalipun hakikat dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh 10 hari memang pahit untuk diterimanya, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Malah untuk menjulang bendera putih kerana Tok Gajah sudah terdorong ke tangga ketujuh dari tangga kelima liga bola sepak Perdana Satu tidak sesekali terlintas pada hati ketua jurulatih ini.

Kesudahan seri yang ditagih dengan menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, Selasa lalu, berubah menjadi kalah 1-2 secara realiti tetapi Yunus telah lama menyimpannya dalam lipatan sejarah.

``Kedudukan liga milik Pahang kini bukanlah begitu teruk. Kami masih mampu mengejar dan memastikan tidak tertinggal jauh. Banyak lagi perlawanan yang menunggu dan inilah yang perlu kami manfaatkan,'' tegasnya.

Menurut Yunus yang dihubungi di Kuantan, kebangkitan Pahang itu diyakini bakal dapat disaksikan oleh ribuan peminatnya tatkala melayani kunjungan Melaka dan Johor di Stadium Darul Makmur pada Sabtu dan Selasa depan.

Namun keyakinan itu juga bukanlah bermakna Yunus memandang ringan dua pasukan terbawah Perdana Satu tersebut kerana sebarang lawan yang menghadapi anak buahnya tetap dilayan dengan penuh hormat.

Strategi yang tepat dan terancang dalam masa dua hari ini perlu digubah segera demi mengembalikan semangat barisan muda Tok Gajah yang satu ketika sempat mendahului liga sekalipun mulanya tidak meraih tumpuan sehebat Selangor dan Perak.

Yunus dalam pada itu dijangka mempertaruhkan sekali lagi aturan 4-4-2 yang cenderung agresif seperti menghadapi Pulau Pinang lalu apabila menentang Melaka yang tetap dianggapnya sebagai lawan yang sukar diramal.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4baUDePOH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan