Rabu, 1 Mac 2017

Disiplin faktor Tok Gajah menang - Dollah

RABU, 1 MAC 2017 @ 10:05 AM
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my DOLLAH Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh menegaskan kemenangan 3-0 ke atas PKNS FC di Stadium Darul Makmur malam tadi, adalah disebabkan disiplin serta semangat juang tinggi semua pemain membantu skuad untuk meraih tiga mata.

      Walaupun pada separuh masa pertama perlawanan pemainnya gagal beraksi dengan baik, namun semuanya berubah sebaik bersambung babak kedua. Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, disiplin tinggi pemainnya berjaya membantu mereka untuk mempamerkan prestasi terbaik selepas mendapat gol kedua dan hasilnya tiga mata menjadi milik Tok Gajah.

      "Wan Azraie Wan Teh (penjaga gol) memainkan peranan penting kerana menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya pada separuh masa pertama hasil serangan pantas pasukan lawan.

      "Bagi saya, kemenangan ini bukannya senang kerana kami perlukan komitmen tinggi pemain yang agak keletihan akibat jadual (perlawanan) padat. "Saya gembira kerana kita tidak bolos dan perkara utama adalah mendapat tiga mata di tempat sendiri," katanya yang kembali mengemudi Pahang menjadi pasukan digeruni dalam saingan Liga Super musim ini dengan lima kemenangan daripada tujuh perlawanan setakat ini.

      Sementara itu, pengendali PKNS FC, Elavarasan akur dengan kekalahan dialami skuadnya dan mengakui benteng pertahanan gagal mematahkan asakan skuad Tok Gajah. Katanya, biar pun berusaha untuk bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol, tetapi peluang yang ada terutama pada separuh masa pertama gagal disempurnakan.

"Apabila Pahang menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti, pemain masih lagi (bersemangat) berusaha untuk mengasak kubu lawan... tetapi motivasi mereka menurun apabila Pahang memperoleh gol ketiga. "Kita kena akui Pahang bermain dengan baik, terutama bahagian serangan mereka bijak menyempurnakan setiap peluang yang ada," katanya. Beliau mengharapkan pemainnya segera bangkit untuk kembali mengutip mata pada perlawanan akan datang jika mahu terus memberi saingan kepada pasukan lain


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/254521

Tiada ulasan:

Catat Ulasan