Jumaat, 17 Mac 2017

Pahang cekal mengharungi tekanan

ARKIB : 30/04/2001
RESAH hilang, lega berganti menemani Ahmad Yunus Mohd. Aliff selepas menyaksikan kebangkitan Pahang meraih tiga mata ke atas Melaka sekalipun satu ketika ketinggalan dua gol pada perlawanan bola sepak Perdana Satu, kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Reaksi ceria yang terukir di wajah ketua jurulatih Pahang ini menceritakan betapa puasnya hati beliau kerana anak buahnya ternyata tidak lagi diulit tekanan seperti kalah dalam dua perlawanan lalu.

Kembali bermain dengan penuh disiplin, mematuhi setiap arahan Yunus, tidak mudah patah semangat dan cekal mengharungi tekanan jelas terpapar dan banyak membantu Tok Gajah membenam Melaka 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dua gol pelawat daripada Mohd. Faizal Esahar cuma kejutan sementara sebaliknya amukan Tok Gajah dalam tempoh 15 minit terakhir menerusi Azizul Kamaluddin, Khairul Anuar Karim dan Azmani Kadir, terbukti segera menghantar lawan pulang berputih mata.

``Kerap kali saya beritahu pemain jangan letakkan diri anda tertekan. Selagi anda berkeadaan begitu, anda tidak boleh bermain, tak boleh mengawal bola.

``Alhamdulillah, mereka mematuhi arahan untuk bermain seperti biasa dengan kesungguhan dan tidak lagi memberi ruang kepada lawan yang boleh mereka manfaatkan,'' kata Yunus.

Menurutnya, kebimbangan beliau dengan sikap tertekan pemain seperti menentang Perlis dan Pulau Pinang lalu semakin terhakis sebaik sahaja menyaksikan kemunculan gol sulung Pahang menerusi tolakan kencang Azizul.

``Saya tak bimbang apabila tertinggal dua gol kerana kalau kita mampu menyumbat gol pertama, yang lain akan menyusul. Inilah yang dinamakan nafas baru untuk Pahang,'' kata beliau.

Kelegaan Yunus juga ada sebab lain. Prestasi meyakinkan Irewan Sulaiman di sebalik penampilan sulungnya dalam liga selain sumbangan gol Khairul Anuar Karim dan Azmani Kadir tidak syak lagi turut menceriakannya.

``Irewan saya turunkan kali pertama dalam Perdana Satu kerana khidmat dua penjaga gol senior terhalang oleh masalah penggantungan dan kecederaan.

``Muadzar sudah mengutip kad kuning kedua sekali gus dilarang beraksi manakala Azrul Hisyam Yusof mengalami kecederaan pada pinggangnya,'' kata Yunus.

Namun Irewan yang pernah beraksi dalam satu perlawanan Piala FA, jelas tidak berasa gementar sebaliknya tetap tenang menangkis dan menyekat asakan kilat Melaka terutama ketika situasi satu sama satu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bah1ussL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan