Isnin, 20 Mac 2017

Pahang nyaris dihukum

ARKIB : 28/01/2002
KEGAGALAN membaca dengan tepat pergerakan bola baru dan hilangnya penguasaan di bahagian tengah nyaris menghukum Pahang ketika memulakan kempen bola sepak Liga Perdana Satu kelmarin.

Jika dua faktor ini tidak ditampung segera sebelum babak kedua, jurulatih Pahang, Ahmad Yunus Mohd. Aliff sendiri terpaksa menelan hakikat bahawa anak buahnya pasti tersungkur.

Mujurlah kesedaran pemain untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lalu cepat terpupuk sekali gus membantu Pahang bangkit sebelum melangkah bergaya dengan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak.

Ditemui di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin, katanya: ``Saya tak nafikan gol lawan itu akibat kesilapan benteng dan Zuraimi Hassan (penjaga gol) tetapi pergerakan bola turut memainkan peranan.

``Ia agak berbeza hinggakan sukar bagi pemain menjangka pergerakannya. Lantunannya juga tinggi tetapi mujurlah kami cepat belajar untuk menyesuaikan diri pada babak kedua,'' kata Yunus.

Selain itu beliau mengakui, Tok Gajah ternyata tempang pada babak pertama apabila barisan perantara mereka yang diketuai oleh Shahrulnizam Sahat mudah terikut-ikut dengan rentak lawan.

``Disebabkan lawan menghimpun sehingga lima pemain di tengah, Pahang gagal mengimbanginya. Kami terikut dengan corak terbuka lawan lalu muncul pula gol akibat kesilapan benteng dan penjaga gol,'' katanya.

Menurut Yunus, anak buahnya bagaimanapun tidak lagi memberikan banyak ruang kepada Bujang Senang untuk mengganas dalam babak kedua sebaik sahaja memadatkan bahagian tengah tersebut.

Tatkala yang lompang itu ditampung, amukan Tok Gajah kemudian tidak mampu dibendung lagi untuk memperoleh dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Azizul Kamaluddin dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Sambil menyifatkan aksi sulung Pahang berakhir dengan tiga mata itu sebagai satu permulaan yang baik, beliau berkata: ``Ia masih perlu diperbaiki dalam tempoh lima hari menjelang perlawanan kedua.

``Saya nampak tumpuan selepas ini akan lebih diberikan kepada pertahanan. Ada juga pemain yang didapati agak was-was dengan emosi mereka ketika bermain. Ini perlu kami atasi,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4br5OEAq8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan