Rabu, 15 Mac 2017

Azizul-Azmani bakal penggempur

ARKIB : 31/01/2001
GANDINGAN `kembar A' _ Azizul Kamaluddin dan Azmani Abdul Kadir bakal menjadi pertaruhan jentera serangan Pahang apabila menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia, Mac ini.

Sekalipun baru berusia kurang sebulan hasil sesi latihan pramusim, gandingan Azizul-Azmani sudah mula menampakkan petanda meyakinkan untuk terus diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Yunus Alif.

Malah Azizul pasti menarik nafas lega dengan kemampuan pantas kembarnya itu untuk mengisi kekosongan penyerang kedua Pahang ekoran pemergian Wan Rohaimi Ismail dan Shahrin Majid ke Terengganu dan Kuala Lumpur.

Keserasian gandingan mereka terbukti berjaya membawa skuad Liga Malaysia Pahang menang tipis 4-3 ke atas pasukan Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu.

Azizul merupakan pemenang bersama Kasut Emas Perdana Satu musim lalu bersama Shahrin manakala Azmani ialah antara tonggak juara Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya di Pulau Pinang itu, tahun lalu.

Ketika dihubungi Sukan Utusan di Kuantan, semalam, Yunus turut memberikan penilaian yang terpuji terhadap gandingan Azizul-Azmani walaupun anak buahnya baru menjalani latihan pramusim sejak 8 Januari lalu.

Yunus sebelum ini pernah membayangkan hasrat untuk mengalih posisi tetap Ahmad Shaharuddin Rosdi dari bahagian tengah sebagai penyerang kembar Azizul dalam formasi baru Pahang, 4-4-2.

Bagaimanapun Shaharuddin belum dapat diuji dengan peranan barunya itu kerana sedang mengikuti latihan persiapan skuad kebangsaan di Kelana Jaya, Selangor bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

``Bunga-bunga gandingan mereka sudah ada. Azizul berjaya memenuhi kehendak saya dengan peranan barunya sebagai pembuka ruang dan penarik perhatian lawan walaupun tidak menyumbat gol,'' kata Yunus.

Menurutnya, kemampuan Azizul membuka ruang itu turut mendorong Azmani memanfaatkan kelekaan barisan benteng lawan untuk menggegar gawang seperti aksinya pada perlawanan persahabatan itu, Sabtu lalu.

Selain jaringan Azmani, Tok Gajah memperoleh tiga lagi golnya masing-masing menerusi Azaruddin Aziz, Iskandar Zulkarnain dan Mohd. Al-Rafaie Ali.

Mengenai lawan yang sepatutnya ditentang Sabtu lalu, Arab Malaysian Bank, jelas beliau: ``Pasukan itu meminta perlawanan ditangguhkan kerana ramai pemainnya masih belum habis bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina.''

Begitupun Yunus tidak rela dirinya dibuai dengan kejayaan awal pasukan bimbingannya apatah lagi cuma selepas satu perlawanan persahabatan dengan pasukan senegeri.

Beliau turut mengakui anak buahnya agak perit untuk memenangi perlawanan tersebut tetapi bingkas menegaskan bahawa keputusan tipis itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur kemampuan sebenar Pahang musim ini.

``Lagipun saya cuma menggunakan kesebelasan utama bayangan pada separuh masa pertama dan menampilkan sebahagian besar tonggak Liga Simpanan dan pemain skuad Sukma dalam babak berikutnya.

``Kesemua pemain yang diberi peluang beraksi masih lagi di peringkat ujian, justeru tidak wajarlah jika dikatakan kemenangan 4-3 ini memberi gambaran sebenar pasukan Pahang,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bNRA538Z © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan