Isnin, 13 Mac 2017

Azizul tawar hati dengan Pahang

ARKIB : 22/12/2000
Dia mengakui, keadaan semasa yang menyelubungi Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuatkan hatinya telah tawar untuk terus mewakili skuad Tok Gajah bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

"Mungkin dah tiada jodoh saya dengan Pahang. Melihatkan keadaan kini, susah saya nak kekal di sini,'' kata Azizul ketika dihubungi di Kuantan, semalam.

Bagaimanapun penyerang terbilang Pahang itu masih tidak dapat memberi kepastian tentang pasukan baru pilihannya walaupun sebelum ini dilaporkan mahu dipikat oleh juara Piala Malaysia, Perak.

Ketika ditanya, Azizul juga enggan menjawab mengapa dia tidak hadir di Ipoh untuk berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) walaupun mulanya dijadualkan berada di sana, semalam.

Mengenai laporan akhbar kelmarin yang memetik kenyataan Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Azizul perlu mendapatkan pelepasan rasmi Pahang sebelum berhijrah ke negeri lain, bekas penyerang kebangsaan itu berkata:

"Mengikut akhbar, saya kena dapatkan pelepasan. Itu perlu saya ambil kira juga. Bagaimanapun mungkin saya dapat buat keputusan tentang pasukan yang akan diwakili sebelum Hari Raya ini,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bDS3Wy1V

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan