Jumaat, 24 Mac 2017

Pahang mampu benam Sarawak



ARKIB : 03/09/2002
PENYANDANG juara, Pahang berdepan laluan sukar dalam usaha mengekalkan pingat emas acara bola sepak Sukma apabila temasya kali kesembilan itu bermula di Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Pahang yang menewaskan Selangor dalam perlawanan akhir tahun lepas, diberi penghormatan memulakan persaingan setelah dijadualkan bertemu Melaka dalam Kumpulan A petang ini.

Berbanding tiga lagi kumpulan yang diisi oleh empat pasukan setiap satu, Kumpulan A hanya disertai oleh tiga pesaing termasuk Kedah yang dijangka menjadi seteru terkuat pasukan dari Pantai Timur itu.

``Pahang dihormati kerana gelaran penyandang juara yang dimilikinya, tetapi percayalah bahawa pasukan lain juga tidak boleh dipandang ringan terutama pada saingan peringkat awal ini,'' kata Pengurus Kedah, Mohd. Noor Isa semalam.

``Saya melihat bahawa pasukan pilihan kali ini ialah Negeri Sembilan setelah mereka muncul juara Piala Presiden tahun lepas dan menunjukkan prestasi yang baik dalam pertandingan tahun ini,'' jelas beliau.

``Selain itu, saya merasakan bahawa kami juga memiliki peluang dan begitu juga skuad tuan rumah yang akan dibantu oleh para penyokong mereka.''

Kedah memiliki kelebihan kerana akan berehat hari ini yang membuka peluang mereka untuk meneliti kelemahan dan kekuatan Pahang serta Melaka daripada pertemuan hari ini. Kedah hanya akan mula beraksi pada Khamis ini.

Bagaimanapun, Kedah tidak dapat menggunakan tiga tonggaknya - dua pemain JKR Kedah, Shafizam Hashim, Mohd. Khairul Othman dan penyerang utama, Mohd. Firdaus Hamid akibat cedera.

Sementara itu, Negeri Sembilan berada dalam Kumpulan C bersama-sama Perak yang merupakan pemenang pingat gangsa di Pulau Pinang pada 2000, Perlis dan Brunei.

Naib juara, Selangor, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Kuala Lumpur dan Sarawak bersaing dalam Kumpulan D. Tuan rumah temasya lepas, Pulau Pinang menerajui Kumpulan B bersama Johor, Labuan dan Sabah.

Jurulatih Perak, Mohd. Salim Wahab berkata, setiap pasukan memiliki peluang dan hanya yang mampu memanfaatkan peluang sebaiknya akan muncul juara.

Katanya lagi, Negeri Sembilan memiliki barisan pertahanan yang begitu mantap seperti yang telah dibuktikannya pada perlawanan dengan Perak dalam Piala Presiden tahun ini yang dimenangi oleh skuad Hoben Jang Hoben itu dengan keputusan 2-0.

``Pertahanan mereka cukup kental, tetapi punca kekalahana kami ketika itu ialah akibat kealpaan pertahanan kami sendiri. Ia tidak akan berulang lagi,'' tegas Mohd. Salim.

Perak akan berusaha untuk meraih mata pertama daripada perlawanan dengan Negeri Sembilan esok

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cI7mCxCA© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan