Isnin, 27 November 2017

Peluang Pahang masih terbuka



ARKIB : 05/07/2008
Zainal Abidin Hassan mengakui 'sesak nafas' dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan anak buahnya sebelum ini namun agak lega berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja keras mereka kelmarin.

KUANTAN - Masih ada peluang buat Pahang untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang tipis ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Darul Makmur kelmarin, lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Namun tegas jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan, untuk melayakkan diri merebut piala berprestij itu, skuad kendaliannya tidak boleh lagi mengalami kekalahan dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.

Mengakui 'sesak nafas' dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan skuad Tok Gajah dalam saingan merebut piala tersebut sebelum ini, Zainal Abidin kini boleh menarik nafas lega berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja keras anak-anak buahnya.

''Perlawanan kelmarin adalah penentu hidup dan mati, namun kesungguhan pemain akhirnya berbalas melalui tiga mata berharga yang memang dicari.

''Dengan kemenangan itu, impian Pahang untuk layak ke suku akhir masih terbuka," katanya ketika ditemui sejurus perlawanan baru-baru ini.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, beliau berkata, pemain-pemainnya bermain dengan agak baik pada separuh masa pertama terutamanya di posisi tengah dan pertahanan.

Bagaimanapun katanya, masalah yang sama iaitu jentera serangan seolah-olah hilang taring kerana dua gol kemenangan Pahang disumbat pemain-pemain bahagian pertahanan iaitu Keita Boubacar dan Nor Fazly Alias.

''Kita dapat banyak peluang, namun gagal disempurnakan, jika terlepas satu atau dua peluang tidak mengapa, tapi tiga hingga empat peluang adalah sesuatu yang tak sepatutnya berlaku," katanya.

Mengenai gol tunggal ATM pada minit ke-84 oleh Mohd. Nazri Akui, faktor jadual perlawanan yang terlalu padat menyebabkan pemainnya letih kerana tidak mendapat rehat yang cukup selain perlu bermain di tempat lawan, ujarnya.

Ditanya apakah beliau merancang untuk mengubah semula posisi di bahagian serangan, Zainal Abidin berkata, beliau akan mengkaji semula kedudukan kesebelasan pemain utama Pahang.

Bagaimanapun katanya, dua pemain yang terpaksa direhatkan kerana kecederaan sebelum ini iaitu Rosdi Talib dan Redouane Barkaoui mungkin akan diturunkan bagi menentang Johor Pasir Gudang di Stadium Darul Makmur, esok.

''Tapi kita akan lihat sejauh mana keadaan mereka, jika sembuh seratus peratus, kehadiran mereka boleh memperkuat barisan pemain Pahang," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdVnyTEo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

'Sayang tolak slot AFC...'

PAHANG tidak mahu isi slot Piala AFC.
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) digesa mempertimbangkan semula keputusan menolak tawaran mewakili Malaysia ke pertandingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), musim depan.

Gesaan itu dibuat bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad yang berharap PBNP menerima tawaran keemasan berkenaan yang diyakini mampu memberi manfaat besar kepada skuad Tok Gajah.

“Sayanglah kerana ini peluang keemasan dan secara tidak langsung boleh dapat pendedahan di peringkat tertinggi. Main bermati-matian (saingan domestik merebut slot Piala AFC) tetapi bila sudah dapat peluang tidak mahu pergi. Kalau begitu lebih baik tidak payah beraksi daripada awal.

“Kalau saya, saya akan ambil peluang ini, jadi saya harap Pahang cuba pertimbangkan balik dan ambil peluang keemasan ini. Tidak boleh cakap yang kita belum bersedia sebab mana-mana pasukan pun perlu sentiasa bersedia.

“Kalau kita cakap belum sampai tahap terbaik, tetapi kalau dengan situasi sekarang, sampai bila pun kita tidak akan sampai tahap itu. Soal keputusan, itu nombor dua. Belum cuba belum tahu dan sekurang-kurangnya selepas itu kita boleh nilai sejauh mana kemampuan pasukan,” katanya hari ini.

Terdahulu, FAM mengemukakan tawaran kepada Pahang selaku naib juara Liga Super dan Piala FA beraksi pada Piala AFC musim depan bagi menggantikan juara Piala FA, Kedah yang gagal menghantar penyata kewangan beraudit kelab kepada FAM sebelum tarikh tutup.

Bagaimanapun, PBNP membuat keputusan mengejut menolak tawaran itu dengan memberi alasan mahu memberi fokus kepada liga tempatan.

Keputusan itu mengundang rasa kurang senang Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam yang menempelak PBNP dan menyifatkan keputusan yang diambil sebagai menghantar ‘isyarat salah’ kepada pasukan lain.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 10:50 PM

Sabtu, 25 November 2017

Pahang, Perak bersih dari gejala rasuah

ARKIB : 02/05/2008
KUANTAN - Siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang mendapati tiada kes membabitkan pasukan bola sepak negeri itu dengan isu rasuah, lapor SITI MARIAM MD. ZAIN.

Pengarahnya, Sutinah Sutan ketika dihubungi berkata, sehingga kini, pihaknya belum menjumpai sebarang petanda menunjukkan pasukan Tok Gajah itu boleh disabitkan dengan sebarang kes.

''Hasil risikan yang dijalankan termasuk berjumpa dengan beberapa individu yang kita rasa boleh membantu, mendapati setakat ini tiada kes," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, jurulatih pasukan bola sepak Pahang, Zainal Abidin Hassan ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa skuad di bawah bimbingannya itu bersih dan tidak terlibat dengan unsur-unsur rasuah.

''Berita itu (rasuah) hanya khabar angin, setakat ini (pasukan bola sepak) Pahang bersih," katanya.

Kelmarin, bekas pemain bola sepak Sarawak Liga Super, Ramos Sari yang direman bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya mengatur perlawanan bola sepak di negara ini, dibebaskan dengan jaminan BPR.

Pengarah BPR Sarawak, Mohamad Yusoff Akope berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, di Ipoh, BPR Perak tetap memberi perhatian kepada isu rasuah bola sepak negeri itu walaupun ia kurang diperkatakan oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Presiden Kelab Peminat Bolasepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman memberitahu, dia telah dipanggil oleh BPR Perak minggu lalu bagi membantu siasatan pihak berkuasa itu mengenai kemungkinan ada timbulnya isu rasuah di kalangan pemain Perak.

''Seorang pegawai BPR bertanya sama ada kami mengetahui atau mendengar mengenai desas-desus rasuah bola sepak di kalangan pemain negeri ini dan saya menjelaskan bahwa setakat ini isu itu tidak pernah dikatakan," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar berkata, beliau juga tidak mendengar sebarang khabar angin bahawa rakan-rakannya terlibat dalam perkara tersebut.

''Saya percaya skuad Seladang bersih daripada gejala berkenaan," kata Shahrul ketika ditemui di Ipoh.

Dia memberitahu, bahawa pemain yang terlibat dalam rasuah bola sepak tidak mendapat sebarang keuntungan sebaliknya hanya akan menjatuhkan maruah diri, keluarga dan negeri sahaja.

Sebelum ini, bekas pemain Perak tahun 1960-an dan 1970-an, Baharin Khamis mencadangkan supaya pemain-pemain yang terlibat dalam gejala rasuah supaya digantung seumur hidup.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zRQCk8iU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 November 2017

Pahang masih mengharap



ARKIB : 21/04/2008 
KUANTAN - Persembahan meyakinkan ketika menewaskan Perlis 1-0 dalam saingan Liga Super semalam memberi harapan buat Pahang yang bakal berhadapan dengan Sabah dalam pusingan kedua Piala FA di Likas esok, lapor YUSRI SAHAT.

Kemenangan ke atas Sabah dianggap misi penting bagi meneruskan sisa perjuangan Juara Piala FA 2006 itu yang kini kempunan untuk muncul antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun, menurut Zainal Abidin, bekalan 3-1 ketika menang di sini pada pusingan pertama Piala FA 8 April lalu, bukan jaminan untuk Pahang melangkah ke peringkat seterusnya.

''Kita masih ada 90 minit lagi untuk menghadapi Sabah dan pasukan itu pasti akan bermati-matian untuk menewaskan Pahang.

''Perlawanan Liga Super malam ini (kelmarin) merupakan persediaan Pahang untuk berdepan dengan Sabah dalam saingan Piala FA," jelasnya.

Beliau turut berpuas hati dengan persembahan V. Saravanan yang buat pertama kali diturunkan selepas direhatkan dalam banyak perlawanan sebelum ini.

Dengan corak permainan yang ditunjukkan Saravanan itu, beliau tidak menolak kemungkinan pemain itu akan diturunkan untuk bertemu Sabah nanti.

Zainal turut lega apabila pemain pertahanan importnya, Keita Baubacar akan dapat diturunkan semula pada pertemuan itu nanti selepas hukuman gantung tiga perlawanan tamat.

Bagaimanapun, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya mungkin akan membuat sedikit rombakan terutama pada bahagian pertahanan dan tengah sebelum bertemu Sabah.

Mengulas persembahan Pahang sepanjang saingan Liga Super musim ini, katanya, pasukannya disifatkan lambat panas apabila menunjukkan persembahan yang kurang memberangsangkan.

''Namun sejak akhir-akhir ini, Pahang mula menunjukkan peningkatan tetapi itu semua sudah terlambat," katanya.

Pahang yang kini menduduki tempat kelapan dalam Liga Super masih mempunyai peluang untuk meraih dua lagi kejuaraan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4z9hZdL82
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang tolak aksi Piala AFC



Asrol Awang dan TN Alagesh
sukanteam@nstp.com.my
 
PAHANG menolak tawaran untuk beraksi pada kejohanan Piala AFC tahun depan, memilih untuk fokus sepenuhnya terhadap liga termpatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Norlia Abdul Manaf berkata, mereka ditawarkan menyertai Piala AFC menggantikan Kedah menerusi surat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lalu.

Bagaimanapun katanya, tawaran itu ditolak menerusi surat balasan bertarikh 14 November lalu.

“Keputusan itu adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada Liga Malaysia musim 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengesahan PBNP itu menamatkan spekulasi skuad Tok Gajah menggantikan juara Piala FA, Kedah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.
ADVERTISING

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan bersama Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menawarkan Pahang beraksi pada Piala AFC 2018.

“Keputusan itu dilakukan selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit,” menurut Hamidin.

Berdasarkan pencapaian musim ini, Pahang menduduki tempat kedua Liga Super dan naib juara Piala FA.

Pahang kali terakhir tampil pada Piala AFC 2015 sebelum tersingkir pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 2:54 PM

Terima kritikan dengan hati terbuka
12 November 2017 12:43 AM
Description: su_02 : FADHLI (kiri) bersama rakan sepasukan enggan patah semangat untuk
FADHLI (kiri) bersama rakan sepasukan enggan patah semangat untuk memburu kemenangan ke atas Korea Utara pada aksi timbal balik kedua kelayakan Piala Asia di Stadium I-Mobile, Buriram esok.
BURIRAM, Thailand - Tonggak pertahanan negara, Fadhli Shas mengakui kritikan sebilangan besar penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand adalah wajar memandangkan mereka tewas 1-4 kelmarin.
Fadhli yang menjadi kapten negara pada aksi itu berkata, rakan sepasukan mengambil perkara tersebut dengan positif kerana ia adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain profesional.
"Saya akui kami tidak beraksi dengan baik dan memahami perasaan penyokong yang hadir dari tanah air. Kami akan jadikan ia sebagai pengajaran selain bekerja keras untuk bangkit pada perlawanan seterusnya Isnin ini (esok).
"Apa yang penting, aksi kedua menentang Korea Utara adalah misi untuk menebus maruah selain menghidupkan sedikit api peluang kita untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala Asia 2019," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Buriram semalam.
Sebagai rekod, kekalahan kelmarin menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada itu perlu meraih mata maksimum selepas sekadar mengutip satu mata dalam empat perlawanan aksi Kumpulan B ketika ini.
Sementara itu, penjaga gol skuad negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy percaya nasib tidak menyebelahi pasukan kebangsaan apabila Korea Utara dihadiahkan sepakan penalti pada awal perlawanan yang menjejaskan momentum rakan sepasukan.
"Saya akui pasukan tidak beraksi dengan baik dan tanggungjawab atas kekalahan ini akan dipikul oleh kesemua pemain. Secara jujur, saya turut tidak menyangka dibolosi empat gol tetapi segalanya sudah terjadi.
"Mungkin kelebihan dari segi fizikal yang dimiliki mereka menjadi salah satu punca kami tewas semalam (kelmarin). Namun, ia bukan alasan kerana kami tidak boleh menafikan bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik sepanjang 90 minit perlawanan," kata penjaga gol Perak itu.
  

Ahad, 19 November 2017

Kemenangan ubat luka Tok Gajah



ARKIB : 10/04/2008

Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN - Kemenangan Pahang ke atas Sabah 3-1 dalam suku akhir pertama Piala FA, kelmarin diibaratkan membalut luka skuad Tok Gajah yang menunjukkan prestasi kurang meyakinkan dalam Liga Super sepanjang musim ini.

Kemenangan itu memberi sedikit pengharapan buat Pahang untuk menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada musim ini.

Meski pun masih awal untuk membuat rumusan, peluang ke separuh akhir Piala FA dilihat cerah jika persembahan malam kelmarin dijadikan sandaran apabila bertemu Sabah pada suku akhir kedua di Likas pada 22 April ini.

Perkara itu diakui Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menerusi riak wajahnya yang terpampang kelegaan selepas anak buahnya menunjukkan persembahan meyakinkan ketika membenam Sabah kelmarin.

Zainal yang ditemui selepas perlawanan bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hatinya terhadap persembahan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa pertama.

Persembahan kurang konsisten menyebabkan Sabah berjaya mencuri satu gol menerusi Bobby Gonzales, ujarnya.

''Corak permainan kembali teratur dan berdisiplin pada separuh masa kedua sehingga Pahang berjaya membolos gawang lawan sebanyak tiga kali sehingga tiupan wisel terakhir.

''Pun begitu, kita terlepas beberapa peluang keemasan yang membolehkan Pahang menambah jaringan," katanya.

Berbekal dua gol di tangan, Zainal mengingatkan anak-anak buahnya bahawa kedudukan Pahang masih belum selamat apabila bertandang ke tempat lawan selepas ini.

''Sabah pastinya akan menggandakan usaha untuk memastikan hasrat Pahang ke separuh akhir berkecai," tegasnya.

Kali terakhir Pahang menjulang Piala FA ialah pada 2006 ketika menewaskan Perlis.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yrpnTM1B
© Utusan Melayu (M) Bhd