Isnin, 6 Mac 2017

Pahang tunai misi jurulatih

ARKIB : 26/07/2000
PAHANG melengkapkan persaingan bola sepak Liga Perdana Satu di gelanggang sendiri dengan catatan kejayaan apabila membenam Negeri Sembilan 3-1, semalam.

Gol-gol sumbangan Shahrin Majid, Azizul Kamaluddin dan Anuar Jusoh ternyata berjaya menunaikan misi jurulatih Fuzzeimi Ibrahim untuk memelihara reputasi tuan rumah di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tanda-tanda awal amukan Tok Gajah terpapar sebaik sahaja permainan berusia kira-kira lima minit.

Minit kesembilan menyaksikan penyerang tuan rumah, Azizul Kamaluddin nyaris menembusi gawang Negeri Sembilan, sayangnya sepakan rendah kaki kirinya tersasar sedikit dari tiang gol.

Cubaan solo dari Anuar Jusoh yang muncul dua minit kemudian sekadar melewati palang biarpun berada pada posisi terbaik untuk menumpaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Hamsani Ahmad.

Pada minit ke-22, Anuar bagaimanapun menghidu ruang kosong di tengah kotak penalti untuk membuka laluan gol sulung tuan rumah.

Umpanannya ke kawasan itu nyata bersambut di kaki Shahrin Majid sekali gus menghampakan Hamsani.

Azizul yang kerap kempunan dalam beberapa percubaan di babak pertama dan kedua akhirnya melepaskan geram untuk mencipta gol kedua Pahang.

Tepat minit ke-74 gara-gara sepakan gol Hamsani yang kurang kemas kepada rakan sepasukan, Azizul bingkas mencuri bola sebelum menceroboh kubu Negeri Sembilan. Dengan larian solo derasnya, Azizul meledakkan sepakan kaki kanan untuk memimpin Pahang mendahului 2-0.

Tanpa berasa selesa dengan kelebihan dua gol, tuan rumah terus meraih gol ketiga pula dan ia terhasil menerusi gerakan solo Anuar pada minit ke-78.

Namun, dalam keghairahan Tok Gajah memburu gol tambahan, pasukan pelawat sempat merapatkan kedudukan 1-3 menerusi jaringan bekas penyerang negara, Azman Adnan seminit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menghidupkan peluang di saat akhir untuk kekal dalam Perdana Satu musim depan dengan kejayaan mengatasi Johor 3-1.

Pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pembukaan menerusi Rezuan Aman Khan pada minit keenam dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Fareed Shah Hassan menggandakan jaringan buat Sabah sebaik babak kedua bermula seminit untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, Johor bangkit kemudian dan Rezal Zamberi Yahya merapatkan kedudukan pada minit ke-67.

Fareed sekali lagi menggegarkan gawang Johor pada minit ke-80 untuk Sabah mencatat kemenangan keempat mereka.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4aYYmFGLs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan