Rabu, 8 Mac 2017

Tewaskan Melaka United mampu pulih moral, semangat pemain - Dollah

Pahang bangkit
PENYERANG JDT Ahmad Hazwan Bakri menjerit kegembiraan apabila menjaringkan gol pada perlawanan menentang Pahang dalam Liga Super di Stadiujm Larkin, 3 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE/RAJA JAAFAR ALI
08 Mac 2017 12:59 PM
28
KUANTAN 8 Mac - Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, kemenangan ke atas Melaka United dalam saingan Piala FA pada Sabtu ini mampu memulihkan kembali semangat dan moral para pemainnya.

Beliau berkata, ia juga secara langsung akan memperbaiki imej skuad Tok Gajah yang tercalar selepas tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

"Saya tidak sabar untuk menunggu perlawanan ini berlangsung di Stadium Darul Makmur. Ini kerana aksi tersebut mampu memulihkan kembali imej pasukan, semangat dan moral pemain kami.

"Walaupun prestasi Melaka United sejak kebelakangan ini tidak begitu menjadi, kita tidak boleh menganggap mudah dengan cabaran mereka kerana mana-mana pasukan yang bermain dalam Liga Super adalah yang terbaik," katanya.

Dollah juga berkata, kesemua pemainnya bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama hingga menyebabkan beliau kadang kala berada dalam dilema untuk memilih pemain yang bakal diturunkan pada setiap perlawanan.

"Ramai yang boleh beraksi sehingga ada dalam kalangan pemain utama kami yang bimbang mendapat kecederaan kerana enggan tempat mereka diambil rakan lain. Cuma saya risau mereka rasa hampa jika tidak diturunkan dan ini boleh menjejaskan moral mereka.

"Nasihat saya adalah agar mereka tidak rasa kecil hati dan terus mempamerkan prestasi (cemerlang) kerana ruang untuk mereka beraksi sentiasa terbuka," katanya. - BERNAMA
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tewaskan-melaka-united-mampu-pulih-moral-semangat-pemain-dollah-1.453435#ixzz4aim7XEKT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan