Khamis, 16 Mac 2017

Pahang bimbang berdepan Sabah



ARKIB : 20/03/2001
PAHANG kini lebih bimbangkan kemampuan pasukan underdog seperti kelab atau skuad Perdana Dua kerana tentangan habis-habisan mereka sentiasa memaksa para pemainnya mengerah segenap kudrat untuk bertahan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus Alif berkata, dalilnya ialah apabila kelab Perdana Dua, NS Chempaka sendiri tidak memberikan laluan yang mudah untuk anak buahnya mara ke pusingan kedua bola sepak Piala FA, Sabtu lalu.

Menurutnya, tentangan yang sedemikian juga pasti didatangkan oleh Sabah, pasukan Perdana Dua yang bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini pada pusingan kedua.

``Sekalipun Sabah sudah diturunkan ke Perdana Dua, bukan bermakna mereka lemah atau boleh dipandang ringan. Saya percaya, dengan lawan itu juga tiada laluan yang mudah bagi Pahang untuk mencapai kemenangan,'' katanya.

Turut membimbangkan Yunus ialah kemampuan pasukan seumpama Sabah ini melakukan kejutan apatah lagi sebagai underdog, mereka pastinya akan berasa tidak kerugian apa-apa sekalipun tumpas.

``Sebagai underdog juga dan tanpa sebarang tekanan, mereka tentu mahu mengambil peluang sekiranya ada kesempatan untuk membenam pasukan pilihan. Inilah yang perlu kami waspada,'' kata beliau ketika dihubungi di Kuantan.

Mengulas lanjut skuad Badak yang mara ke pusingan kedua dengan membenam KL Malay Mail secara agregat 4-0, beliau berkata: ``Saya yakin Pahang cukup memahami corak permainan beberapa pemain yang pernah bersama kami satu ketika dulu.

``Misalnya Shahrin Majid dan Khairul Azman Mohamad. Jika beberapa pemain senior Pahang masih mampu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka berdua, Sabah pasti mampu dijinakkan,'' kata Yunus.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bVA5QzRt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan