Ahad, 26 Mac 2017

Misi penting di Singapura



ARKIB : 09/12/2002
ILMU dan pengalaman ketika mewakili negara sepanjang Piala Tiger Keempat di Singapura diharap mampu mematangkan lima pemain Pahang sekali gus memantapkan Tok Gajah dalam menghadapi bola sepak Liga Malaysia, Februari depan.

Kemunculan Juzaili Samion, Fadzli Shaari, Hairuddin Omar, Rosdi Talib dan Subri Sulong pada kejohanan dari 15 hingga 29 Disember itu turut dijangka memudahkan tugas Pahang dalam membuat persediaan pramusim.

Penampilan mereka menentang Singapura, Thailand dan Laos dalam persaingan Kumpulan A itu dianggap cukup menguntungkan Pahang yang bakal memulakan sesi latihan Liga M mulai esok selepas berehat untuk cuti Aidilfitri.

Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Yunus Mohd. Aliff mengakui, penampilan lima tonggak Pahang itu banyak memberi faedah kepada Tok Gajah apatah lagi mereka sudah lebih awal menjalani latihan pada bulan Ramadan untuk ke Piala Tiger.

``Kami berharap dengan pengalaman antarabangsa mereka itu, Pahang lebih mantap menghadapi Liga M musim depan dan merangsangkan pemain lain untuk turut mempamer prestasi terbaik mereka,'' katanya.

Ahmad Yunus menambah, Tok Gajah selain itu turut bertuah kerana memiliki beberapa bekas pemain negara seperti Azizul Kamaluddin, Jalaluddin Abu Jaafar, Hairul Nizam Haniff, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin.

``Berdasarkan kepada pengalaman mereka yang sedang dan pernah mewakili negara, kami menjangkakan Pahang mampu mencapai peningkatan pada musim depan,'' kata beliau di Kuantan, semalam.

Tok Gajah tampak kurang menyerlah dengan hanya menduduki tempat kesembilan dengan dibolosi hampir 40 gol dalam persaingan Perdana Satu musim ini selain sekadar mencecah peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Namun esok bakal menyaksikan titik tolak perubahan Pahang seperti yang dihajatkan oleh Ahmad Yunus itu terutama dengan kemunculan Ralf Borges Seireia dari Brazil sebagai ketua jurulatih Liga M mereka.

Menurutnya, tanpa lima tonggak negara tersebut, Tok Gajah sehingga kini sudah memiliki 16 pemain untuk menjalani latihan pramusim liga dan tinggal empat slot sahaja untuk diisi oleh muka baru.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cPfkL71e© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan