Selasa, 14 Mac 2017

Azizul: PBNP minta adakan pertemuan tiga penjuru

ARKIB : 06/01/2001
Setiausaha PBNP, Ahmad Fuad Daud berkata, cara tersebut lebih berkesan daripada memanjangkan isu Azizul itu dengan terus bertikam lidah di akhbar.

"Kalau betul Perak berminat dengan khidmat Azizul, kami mempelawa kedua-dua pihak berjumpa terus atau mengemukakan permohonan secara rasmi kepada PBNP.

"Mungkin dengan itu, kita dapat mencari kata sepakat sekali gus menyelesaikan isu ini,'' kata Fuad di Kuantan, semalam.

Menurutnya, sehingga hari ini Penjaring Terbanyak Perdana Satu musim lalu itu dan PAFA sendiri tidak pernah menghubungi PBNP mengenai isu tersebut sebaliknya beliau hanya mengetahui sebarang perkembangan melalui akhbar.

Fuad menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan pengurus pasukan Perak, Jamal Nasir Rasdi di Ipoh, kelmarin, yang menyifatkan PBNP sebagai keterlaluan apabila mengenakan yuran perpindahan RM100,000 ke bawah bagi mendapatkan khidmat Azizul.

Jamal yang juga Timbalan Presiden PAFA, memberi alasan, yuran di bawah peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu masih belum dilaksanakan oleh mana-mana negeri.

"Belum tiba masanya yuran perpindahan sebanyak itu dikenakan dan setakat ini tiada persatuan yang pernah membayarnya. Bagaimanapun kami masih sedia berunding dengan Pahang berhubung isu ini,'' kata beliau.

Kontroversi penghijrahan Azizul timbul setelah bekas penyerang kebangsaan itu tidak menghadiri majlis menandatangani kontrak dengan Pahang pada 18 Disember lalu bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Beberapa hari menjelang Aidilfitri, Azizul sendiri mengakui 'jodohnya' dengan Pahang sudah berakhir ekoran masalah kewangan yang melanda PBNP terutama mengenai tunggakan gaji hampir setengah tahun.

Bagaimanapun Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail pada 25 Disember lalu berkata, Azizul hanya akan dilepaskan kepada mana-mana negeri lain dengan yuran perpindahan kurang daripada RM100,000.

Sementara itu, Fuad menambah, sekiranya perbincangan tiga pihak dapat dilangsungkan, PBNP dijangka membawanya sebagai agenda dalam satu mesyuarat khas secepat mungkin sejurus selepas itu.

"Hasil perbincangan tersebut akan kita bawa ke mesyuarat PBNP yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden sendiri, Tengku Abdul Rahman Sultan Shah. Keputusan mesyuarat inilah bakal menjadi penentu nasib Azizul,'' katanya.

Menurut Fuad, PBNP sendiri kalau boleh tidak berminat untuk memanjang-manjangkan isu yuran atau surat pelepasan itu hanya kerana masing-masing berebutkan Azizul seorang.

Sementara itu, Azizul ketika dimaklumkan mengenai isu tersebut, berkata, beliau akan memohon pelepasan rasmi daripada PBNP dalam tempoh seminggu dua lagi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4bInaMH3N © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan