Selasa, 14 Mac 2017

PBNP kurangkan yuran Azizul

ARKIB : 26/12/2000
Katanya, yuran perpindahan sebanyak RM250,000 terhadap Perak dalam mendapatkan khidmat Azizul Kamaluddin seperti yang dilaporkan baru-baru ini ialah had maksimum yang telah termaktub dalam peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ia tidak sampai RM250,000. Kita bukan seperti kelab Eropah. Yuran yang PBNP fikirkan wajar bagi Azizul pun kurang daripada RM100,000,'' kata Jamal.

Beliau memberitahu, penetapan yuran oleh PBNP itu turut mengambil kira tempoh pengalaman pemain terbabit dan sejauh mana sumbangannya sejak mewakili Pahang.

"PBNP tidak berniat mahu membuat tuntutan yang tidak munasabah atau sengaja mencipta halangan buat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebaliknya sekadar melaksanakan apa yang FAM tetapkan.

"Semua persatuan negeri telah maklum tentang peraturan yuran perpindahan ini. Ia tetapkan oleh FAM kerana banyak negeri selepas pemainnya berhijrah, tidak mendapat apa-apa sedangkan telah banyak bersusah payah memajukan kariernya dari peringkat awal,'' kata Jamal.

Jumaat lalu, beliau dipetik sebagai berkata, Perak perlu membayar sejumlah yuran perpindahan kepada PBNP bagi mendapatkan khidmat Azizul yang enggan menerima tawaran gaji lebih rendah bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Sehari sebelumnya, penjaring terbanyak Perdana Satu 2000 yang mewakili Pahang sejak 1994 itu memberitahu Sukan Utusan, 'jodohnya' dengan skuad Tok Gajah sudah berakhir ekoran masalah kewangan yang meruncing melanda PBNP.

Jamal yang dihubungi Sukan Utusan semalam, menambah, banyak pihak tidak sedar bahawa Pahang sendiri pernah mengeluarkan sejumlah wang ketika mahu mendapatkan khidmat penyerang Wan Rohaimi Ismail dari Kelantan, dua tahun lalu.

"Ketika itu peraturan yuran perpindahan belum wujud lagi tetapi ia lebih berupa imbuhan PBNP untuk Kelantan untuk membawa Rohaimi menyertai Pahang,'' katanya.

Beliau berkata, kadar yuran tersebut yang dikenakan bagi khidmat Azizul itu bagaimanapun bukanlah muktamad dan ia masih lagi boleh dirunding antara PBNP dengan PAFA.

"Sudah tentu kita sedia berbincang dengan persatuan terbabit. Namun jika kedua belah pihak tidak mencapai kata sepakat mengenainya, terpaksalah kita rujuk kepada Lembaga Status Pemain FAM untuk keputusan muktamad,'' katanya.

Sementara itu Jamal mengesahkan Pahang kini sudah bebas daripada belenggu tanggungan gaji tertunggak semua pemain sepanjang Liga Malaysia musim ini.

"Kita mengeluarkan RM450,000 untuk melunaskan tunggakan tersebut hasil sumbangan kerajaan negeri dan menerusi geran tahunan daripada FAM,'' katanya.

Menurutnya, tunggakan tersebut meliputi gaji penuh pemain bagi bulan Julai, Ogos dan September serta gaji luar musim dari Oktober hingga bulan ini.

"Cuma bonus dan insentif kemenangan akan dilunaskan selepas Aidilfitri,'' katanya sambil menambah, kesemua bayaran telah dimasukkan ke akaun bank pemain pada Sabtu lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bHtMgfa6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan