Rabu, 20 Disember 2017

Pahang lancar misi 'Mesti menang!'

ARKIB : 14/02/2009
Oleh YUSRI SAHAT
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - 'Mesti menang!'. Ungkapan itu merupakan kata dua daripada jurulatih Pahang, Tajuddin Nor (gambar) dalam menghadapi saingan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam ini.

Sebabnya mudah... jika ia tidak berlaku, Pahang bakal menjadi penghuni kedudukan tercorot Liga Super.

Misi 'mesti menang' itu diterapkan dalam jiwa setiap pemain supaya mereka memberi fokus dan bersungguh-sungguh mencapai kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Meskipun menentang pasukan tercorot, Pahang tidak seharusnya memandang ringan perlawanan tersebut kerana PDRM juga berazam tidak mahu dilabelkan pasukan paling lemah.

Berdasarkan perlawanan sebelum ini, Tajuddin telah mengenal pasti beberapa kelemahan terutama di jentera serangan yang menjadi punca kegagalan anak buahnya merobek gawang lawan.

Sehubungan itu, beliau memberi tumpuan kepada penajaman jentera serangan dalam usaha menerobos kubu pertahanan lawan.

''Berdasarkan pemerhatian saya, pemain Pahang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beraksi dengan baik pada permulaan saingan Liga Super musim ini.

''Bagaimanapun, saya dapati masih terdapat kelemahan terutama di bahagian serangan yang menghalang kami untuk mencatat kemenangan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Pada sesi latihan selepas pertemuan dengan Kuala Muda (KM) Naza baru-baru ini, beliau telah mengadakan ujian rapi bagi memantapkan bahagian serangan tanpa meminggirkan kepentingan jentera pertahanan untuk mengekang asakan lawan.

"Saya sudah memastikan mereka menerima latihan secukupnya sebelum perlawanan bertemu PDRM untuk merebut tiga mata penting.

''Ini kerana ketika Pahang tewas 1-2 kepada KM Naza dahulu, kita banyak memperoleh peluang tetapi gagal disempurnakan dengan sebaik-baiknya," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51oUAGxzc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 19 Disember 2017

Pahang tidak mahu jadi penghuni tercorot



ARKIB : 10/02/2009

KUANTAN - Di atas kertas, pasukan Kuala Muda (KM) Naza yang menduduki tangga ketujuh kelihatan lebih gah berbanding Pahang yang kini berada di tangga keempat tercorot dalam saingan Liga Super.

Namun, tempoh 90 minit malam ini akan menjadi penentu bahawa Tok Gajah semakin bersedia mengharungi kancah Liga Super apabila kedua-dua pasukan terbabit bertemu di Stadium Darul Makmur.

Pahang pastinya tidak mahu menjadi penghuni tangga tercorot kerana kemungkinan itu akan terjadi jika tewas di tangan KM Naza malam ini.

Kemenangan 1-0 ketika menentang UPB-MyTeam dalam saingan Liga Super 13 Januari lalu dan seri 1-1 dengan PKNS dalam kancah Piala FA pada 31 Januari lalu membuktikan anak-anak buah Tajuddin Nor kian matang dalam persembahan mereka.

Jurulatih Pahang itu bagaimanapun tetap menganggap KM Naza merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman berbanding Pahang.

Selepas berehat yang agak panjang, katanya, pelbagai persiapan diatur menjelang perlawanan malam ini bagi memastikan Pahang keluar daripada kelompok pasukan tercorot walaupun saingan masih di awal musim.

''Saya yakin para pemain mampu memberi tentangan memandangkan pelbagai persiapan telah dilakukan menjelang perlawanan malam ini.

''Bermain di depan penyokong sendiri diharap dapat meningkatkan keyakinan pemain dalam pertemuan kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Beliau turut mengharapkan sokongan penyokong supaya terus memberi semangat kepada para pemain muda Pahang bagi memastikan tiga mata penuh adalah milik skuad Tok Gajah.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51hwOTpLT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 18 Disember 2017

Pahang enggan dibuai mimpi

ARKIB : 31/01/2009
KUANTAN - Meskipun mempamerkan persembahan 'yo-yo' pada awal musim ini, Pahang tidak mahu terus dilabelkan sebagai pasukan belasahan apabila melayan Selangor PKNS pada perlawanan Piala FA, malam ini.

Kemenangan 1-0 ketika menentang UPB-MyTeam dalam saingan Liga Super 13 Januari lalu mungkin boleh dijadikan penyuntik semangat untuk anak-anak buah Tajuddin Nor melakar kemenangan.

''Kita akan bermain bersungguh-sungguh. Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pada perlawanan kali ini tetapi kita akan cuba sedaya upaya.

''Kita akan mempamerkan aksi terbaik sempena bermain di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51bHfiOS0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 17 Disember 2017

FAM lepaskan Pahang?

Sabtu, 16 Disember 2017 | 5:00pm
Oleh Devinder Singh
devinder@nst.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas Pahang mencetuskan kekecohan susulan keengganan mereka menyertai Piala AFC 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya masih menunggu untuk mengenakan hukuman ke atas pasukan Liga Super itu.

Ini berikutan sudah masuk lebih dua minggu selepas Pahang menolak tawaran memenuhi slot kedua ke saingan terbabit, namun sekretariat FAM dilihat masih belum mengambil apa-apa tindakan.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memberi amaran bahawa skuad Tok Gajah itu akan berdepan hukuman seandainya mereka enggan beraksi dalam saingan tahap kedua benua Asia berkenaan.

Namun, Pahang dilihat mampu terlepas daripada sebarang hukuman selepas tiada langsung tindakan yang diambil atas kedegilan mereka sebelum ini.

Sumber menyatakan FAM bercadang untuk mengenakan hukuman berdasarkan peruntukan Artikel 67 dan Artikel 69 membabitkan 'kegagalan mematuhi' arahan dan keputusan yang ditetapkan.

Artikel terbabit pernah digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pemain yang enggan beraksi buat skuad kebangsaan, terhadap pegawai, kelab ataupun ahli gabungan yang terbabit dalam acara yang tidak mendapat kelulusan badan induk itu serta mereka yang tidak mematuhi keputusan disiplin yang ditetapkan oleh FAM.

"FAM boleh mengambil tindakan ke atas Pahang, namun isunya di sini adalah bentuk hukuman yang akan dikenakan," kata sumber ketika dihubungi hari ini.

"Jika dahulu, denda dan penggantungan tidak melebihi setahun akan dikenakan kepada pemain atau pegawai mengikut kod disiplin yang ditetapkan.

"Namun, agak rumit jika kita hendak menghukum ahli gabungan. Bagaimana anda hendak menghukum persatuan negeri?"

Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas mengenai isu terbabit

SUMBER BERITA HARIAN ONLINE 16 Disember 2017 

Khamis, 14 Disember 2017

Pahang intai kemenangan pertama

ARKIB : 03/01/2009
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Walaupun dilabelkan sebagai pendatang baru Liga Super musim ini, Pahang tetap mengimpikan kemenangan pertama walaupun hampir 100 peratus pemain yang beraksi musim ini merupakan muka baru.

Malah di atas kertas, perbandingan antara pasukan Pahang dengan Johor FC tampak bagaikan tidak seimbang ekoran kurang pengalaman dalam kancah Liga Super.

Bagaimanapun, aksi di atas padang selama 90 minit pada perlawanan pembuka tirai Liga Super ketika menentang Johor FC di Stadium Darul Makmur malam ini bakal menentukan sejauh mana kekuatan bakat muda skuad Tok Gajah itu.

Bagi jurulatih Pahang, Tajuddin Nor, segalanya terserah kepada anak-anak buahnya untuk membuktikan kehadiran mereka dalam saingan Liga Super bukan untuk 'suka-suka' atau melengkapkan jadual perlawanan.

Bertemu Johor FC yang dibarisi pemain berpengalaman mungkin merupakan tugas berat buat anak buah Tajuddin untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Tegasnya, beliau telah melakukan yang termampu dengan menyenaraikan pemain terbaik untuk menjadikan Pahang sebuah pasukan mantap pada musim ini.

''Kini, terserah kepada pemain untuk meraih kejayaan pada musim pertama mereka beraksi dalam Liga Super berbanding pemain Johor FC yang sudah beraksi sejak beberapa musim.

''Namun, jika dilihat prestasi, saya percaya mereka mampu memberi tentangan kepada lawan atau sekurang-kurangnya meraih mata sebagai penyuntik semangat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Musim ini, Pahang hanya menyenaraikan dua pemain luar iaitu dari Kuala Lumpur manakala selebihnya merupakan anak tempatan.

Sebahagian pemain terbabit pernah menyarung jersi Shahzan Muda pada musim lalu.

Sementara itu, pengurus pasukan, Che Nasir Salleh meminta penyokong Pahang datang beramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Tok Gajah walaupun dibarisi pemain muda.

''Sokongan penyokong amat diperlukan untuk memberi semangat kepada pemain dalam usaha mengembalikan kegemilangan Pahang yang pernah muncul sebagai pasukan digeruni.

''Jika dilihat komitmen di kalangan pemain, saya percaya mereka akan mempamerkan permainan mantap untuk meraih kemenangan pertama sebagai penyuntik semangat dalam saingan Liga Super," katanya



SUMBEEArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51H3W31dk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang mahu tampil selaku bukan pilihan

ARKIB : 02/01/2009
KUANTAN - Pahang akan membuka tirai Liga Super dengan melayan pasukan Johor FC di Stadium Darul Makmur, esok dengan mengambil sikap menghormati pasukan lawan, lapor YULPISMAN ASLI.

Meskipun telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim baru ini, skuad Tok Gajah tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang dalam perlawanan pembukaan itu nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, walaupun tetap mengharapkan tiga mata penuh, harapan yang tinggi untuk menang tidak disandarkan kepada pemain yang rata-ratanya masih muda dan kurang berpengalaman.

''Kita (Pahang) merupakan pasukan underdog. Jika menang, ia merupakan satu bonus," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Muhammad Safian, semua pemain Pahang menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadapi saingan pada musim kali ini menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini.

''Walaupun Pahang dibarisi pemain muda, kita akan cuba mencipta kejutan dalam semua pertemuan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penyokong turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu ketika Pahang menentang Johor FC, Sabtu ini.

Menerusi barisan pemain muda, Muhammad Safian menambah, pihaknya berazam untuk mengembalikan kegemilangan skuad Tok Gajah dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Justeru katanya, pembentukan satu pasukan yang mantap dengan dianggotai sepenuhnya pemain tempatan harus dimulakan dari sekarang.

Mengulas peraturan yang tidak lagi membenarkan pemain import beraksi dalam liga tempatan pada musim ini, katanya, perkara itu perlu dilihat dari sudut positif.

Menurut Safian, PBNP banyak belajar daripada pengalaman lalu apabila terpaksa berbelanja besar membawa masuk pemain import.

''Bagaimanapun, hasil yang kita peroleh tidak seberapa. Maka, lebih baik kita gunakan wang yang ada untuk membentuk pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya," jelasnya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51GxB7mUm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang mahu terus kekal dalam Liga Super

ARKIB : 31/12/2008
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
KUANTAN - Menjelang Liga Super musim depan, Pahang meletakkan harapan untuk terus berada dalam saingan liga itu walaupun mengakui kekuatan pasukan tersebut masih belum mencapai 100 peratus.

Jurulatih Pahang, Tajuddin Nor berkata, bukan tidak yakin dengan barisan pemain yang ada, sebaliknya hampir 95 peratus barisan pemain yang ditampilkan rata-ratanya masih belum mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super.

''Mereka memang kurang dari segi pengalaman, namun saya kira mereka masih boleh beri tentangan hebat kepada lawan yang lebih berpengalaman.

''Jika kita peroleh kejayaan bagi musim akan datang, saya anggap ia sebagai bonus kepada pasukan kami," katanya di Kuantan semalam.

Bagi musim baru ini, Pahang menyenaraikan dua pemain luar dan selebihnya adalah pemain tempatan dengan sebahagiannya pernah menyarung jersi Shahzan Muda musim lalu.

Katanya lagi, walaupun skuad Tok Gajah itu dibarisi pemain kurang berpengalaman, itu bukanlah satu cabaran besar baginya untuk mengendalikan skuad itu.

Mengenai persiapan Pahang menjelang perlawanan pembukaan Liga Malaysia 3 Januari ini, Tajuddin berkata, pasukannya telah bersedia dari segi fizikal dan mental.

''Sebelum ini kita dah adakan tujuh perlawanan persahabatan, tiga daripadanya kita menang, masing-masing dua seri dan satu tewas.

''Berdasarkan keputusan itu, saya berpuas hati dengan prestasi pemain, saya percaya mereka juga sudah bersedia menghadapi cabaran getir," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51FRY9kUH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

Pahang dapatkan khidmat pemain luar

ARKIB : 03/11/2008
KUANTAN - Pahang akan mendapatkan khidmat beberapa pemain luar untuk skuad Tok Gajah walaupun sebelum ini menetapkan 90 peratus daripada pemain perlu terdiri daripada anak jati negeri itu. lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Pengurus Pahang, Che Nasir Salleh bagaimanapun berkata, semuanya bergantung kepada sesi pemilihan yang dikendalikan jurulatih pasukan itu, Tajuddin Nor.

''Memang sebelum ini kita menetapkan bahawa 90 peratus pemain perlu berasal dari Pahang, namun itu tidak bermakna kita tidak terima pemain luar.

''Peluang masih terbuka buat yang berminat beraksi dengan Pahang, dengan syarat mereka harus hadir sesi pemilihan yang kita buat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut beliau, bagi menghadapi musim depan, skuad yang pernah dibimbing pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hasan pada musim lalu itu telah pun mula berlatih sejak pertengahan bulan lepas.

Katanya, para pemain yang menyarung jersi Pahang perlu lebih bersedia di samping tidak mudah mengalah walaupun rata-rata mereka terdiri daripada bekas pemain kelab Shahzan Muda yang mungkin kurang pengalaman beraksi di liga utama.

''Sebelum ini kebanyakan mereka beraksi di Liga Perdana, jadi peluang pertama menyertai Liga Super mungkin merupakan pengalaman baru.

''Namun itu bukan alasannya, mereka perlu lebih komited dan bersungguh-sungguh bagi membuktikan pemain muda seperti mereka mampu menggalas tanggungjawab yang diberi," ujarnya.

Untuk musim depan, skuad Tok Gajah bakal dibimbing bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin, bagi menggantikan Zainal Abidin yang dipilih sebagai pengurus baru Shahzan Muda.

Bagi musim 2007-2008, Pahang sekadar berada di tangga kelapan daripada 13 pasukan dengan kutipan 30 mata sekali gus dan hanya layak ke suku akhir Piala FA.

Sementara bagi saingan Piala Malaysia, skuad itu hanya melengkapkan saingan Kumpulan C selepas impian ke suku akhir piala itu gagal kerana hanya menduduki tangga keempat daripada enam pasukan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz512cSWHNj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Liga Malaysia: Tajuddin jadi pilihan Tok Gajah

ARKIB : 29/10/2008
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengumumkan bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin Nor (gambar) sebagai jurulatih skuad Pahang yang baru.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Tengku Muda dan Tengku Puan Muda di Temerloh, semalam.

Menurut Tengku Abdul Rahman, Zainal Abidin Hassan yang membimbing Pahang musim lalu dilantik sebagai Pengurus kelab Shahzan Muda manakala Nasir Salleh akan mengurus pasukan Pahang.

''Jurulatih Shahzan Muda pula akan digalas oleh bekas jurulatih Selangor, Dollah Salleh," katanya.

Tajuddin sebelum ini pernah meneraju pasukan Pahang pada awal era 1990-an.

Tengku Abdul Rahman memberitahu, skuad Pahang musim akan datang bakal dibarisi gandingan muka baru dan lama.

Menurut beliau, beberapa pemain kelab Shahzan Muda akan diserap kepada skuad Pahang pada musim akan datang berikutan penghijrahan beberapa pemain utamanya.

Antara pemain Shahzan Muda yang akan diserapkan dalam pasukan Pahang termasuk pemain tengahnya, Shahrizan Salleh, P. Suthazon dan Badrul Sani dan penjaga gol, Rosfaizul Annuar serta pertahanannya, Wan Azhari Wan Noor.

''Hanya beberapa pemain lama yang berpengalaman seperti Azizul Kamaluddin dan Jalaluddin Hassan akan dikekalkan supaya mereka dapat membantu pemain baru yang bakal bermain untuk pasukan Pahang.

''Bakal pemain baru diharapkan dapat bermain bersungguh-sungguh sekali gus mencorakkan permainan yang bagus berbanding sebelum ini," ujarnya.

Tengku Abdul Rahman berkata, beberapa pemain lama Pahang pula perlu sentiasa bersedia jika kedudukan mereka bakal diganti dengan muka-muka baru.

Beliau menambah, bakat-bakat baru untuk kelab Shahzan Muda Pahang akan dicungkil menerusi liga daerah yang bakal berlangsung awal tahun depan.

PBNP juga, tambah Tengku Abdul Rahman, akan menukar corak pengurusan kedua-dua pasukan tersebut bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Pahang.

Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi berkata, beliau gembira kerana diterima kembali sebagai jurulatih Pahang setelah sekian lama menguruskan pasukan bola sepak lain.

''Misi utama saya sekarang ialah menjuarai beberapa kejuaraan terutama Liga Super dan Piala Malaysia pada musim depan," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5125XJp00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Pahang minat dapatkan Yunus Alif

ARKIB : 16/10/2008
KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengesahkan bekas jurulatih Terengganu, Yunus Alif antara calon yang disenaraikan untuk membimbing skuad Pahang pada kempen Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang perbincangan antara PBNP dengan Yunus yang telah tamat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung perkara tersebut.

Timbalan Presiden PBNP, Datuk Muhammad Safian Ismail ketika dihubungi mengesahkan, bahawa Pahang berminat untuk mendapat semula khidmat Yunus yang sebelum ini pernah membimbing skuad Tok Gajah.

PBNP juga, kata beliau, belum mengadakan mesyuarat berhubung kedudukan jurulatih yang dikosongkan Zainal Abidin Hassan yang dilantik sebagai pengurus kelab Shahzan Muda bagi musim depan.

Menurut beliau, Yunus merupakan antara tiga calon yang bakal mengisi kekosongan itu selain bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin Nor yang turut disebut-sebut menjadi jurulatih Pahang.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan seorang lagi calon yang disenaraikan sebagai calon jurulatih Pahang.

''Kita belum membuat sebarang keputusan mengenai calon jurulatih Pahang tetapi kita ada tiga nama termasuk Yunus dan Tajuddin," katanya.

Utusan Malaysia dalam ruangan sukannya hari ini menyebut Tajuddin dan Yunus merupakan dua calon disebut-sebut sebagai jurulatih Pahang walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara tersebut.

Kontrak Yunus selama dua tahun dengan PBSNT sebagai jurulatih tamat pada pertengahan musim lalu dan sehingga kini pengurusan persatuan itu belum memperbaharui kontraknya.

Berhubung kedudukan pemain, Muhammad Safian memberitahu, PBNP tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pemain-pemain tonggaknya jika ada pasukan lain yang berminat.

''Kalau kena dengan syaratnya, kita sedia menimbang untuk melepaskan pemain-pemain kita ke negeri lain," ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya belum menerima sebarang tawaran dari pasukan lain untuk mendapatkan khidmat pemain Pahang walaupun ada laporan mengatakan Terengganu berminat memanggil semula anak-anak negerinya pada musim akan datang.

Enam pemain utama Pahang berasal dari Terengganu ialah Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Wan Iqbal Suhaimi, Shamsuri Mustaffa, Subri Sulong dan Nurfazli Alias.

PBNP juga, katanya, belum membuat sebarang keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain dari negeri lain sebaliknya lebih mengutamakan pemain sedia ada pada musim depan.

Namun, jelas beliau, segalanya bergantung kepada keputusan mesyuarat PBNP yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50wSI8SmH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah berteka-teki jurulatih baru

ARKIB : 15/10/2008
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Prestasi suram Pahang dalam kempen Liga Malaysia musim lalu memerlukan pengurusan bola sepak negeri mengambil beberapa tindakan drastik untuk mengembalikan semula kegemilangan pada tahun depan.

Namun, sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masih membisu terutama tentang kedudukan jurulatih pasukan yang sebelum ini disandang oleh Zainal Abidin Hassan.

Difahamkan, Zainal Abidin bakal diserapkan ke dalam pasukan kelab Shahzan Muda sebagai pengurus manakala rakan seperjuangannya, Dollah Salleh yang sebelum ini menjadi jurulatih Selangor dilantik sebagai jurulatih baru kelab itu.

Sebelum ini, Shahzan Muda dilatih oleh Tajuddin Nor yang kini dikaitkan akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Zainal Abidin.

Sumber-sumber lain turut menyebut Yunus Alif yang kini menjadi jurulatih Terengganu mungkin dipanggil balik ke Pahang.

Bagaimanapun, sumber-sumber PBNP tidak dapat mengesahkan spekulasi tersebut.

Setiausaha PBNP, Ahmad Nazri Mohd. Noor baru-baru ini memberitahu bahawa satu mesyuarat berhubung kedudukan jurulatih dan barisan pemain Pahang akan diumumkan Presiden, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan prestasi yang kurang memberangsangkan itu juga, beberapa pemain tonggak Pahang dikatakan bakal berhijrah ke negeri lain.

Beberapa negeri lain juga dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain Pahang terutama Terengganu yang dikatakan cuba memancing anak negerinya untuk kembali ke skuad Penyu.

Dalam skuad Pahang sahaja, terdapat lima pemain yang berasal dari Terengganu iaitu Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Wan Iqbal Suhaimi, Shamsuri Mustaffa, Subri Sulong dan Nurfazli Alias.

Dalam kancah Liga Super musim lalu, Pahang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan apabila menduduki tangga kelapan daripada 13 pasukan.

Dalam persaingan Piala FA pula, Pahang hanya menamatkan saingan di peringkat suku akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50wF6x4Jb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Pahang umum skuad dalam

ARKIB : 11/10/2008
masa terdekat
KUANTAN - Senarai barisan skuad Tok Gajah pada saingan Liga Super musim baru akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha PBNP, Ahmad Nazri Mat Nor berkata, semua senarai pemain akan diumumkan sebaik sahaja kepimpinan tertinggi PBNP mengadakan perbincangan bersama Tengku Abdul Rahman.

"Kepimpinan tertinggi PBNP menunggu tarikh sesuai daripada Tengku Abdul Rahman selaku presiden bagi membincang jentera baru skuad Pahang bagi mengharungi musim depan.

"Kontrak para pemain untuk musim 2007/2008 telah berakhir dan jika mereka berhasrat meninjau peluang dengan pasukan lain musim depan, mereka kini boleh berbuat demikian," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, PBNP akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat iaitu sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain yang perlu diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 1 Disember ini.

Pencapaian Pahang untuk musim lepas hanya menduduki tangga kelapan daripada 13 pasukan dengan mengutip 30 mata manakala Piala FA, Pahang tersingkir di peringkat suku akhir.

- Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50sJjd4Se

© Utusan Melayu (M) Bhd