Rabu, 15 Mac 2017

Azaruddin pikul tugas lama



ARKIB : 04/02/2001
DENGAN terhadnya aksi tonggak veteran Muadzar Mohamad dan Azhar Kamaluddin dalam sesi latihan pramusim bola sepak Liga Malaysia, peranan ketua pasukan Pahang ketika ini tampak lebih terarah kepada Azaruddin Aziz.

Azaruddin mendapat laluan mudah untuk menyarung lilit lengan Pahang itu ekoran kecederaan lutut Muadzar di samping kecergasan Azhar yang masih di tahap minimum sepanjang sesi latihan yang sudah hampir sebulan.

Azaruddin dijangka meneruskan tugas ketua pasukan seperti musim lalu, atas ciri-ciri kesetiaannya kepada Pahang serta bakat kepimpinan yang disegani rakan sepasukan.

Tanda-tanda peranan itu mampu menyebelahi Azaruddin kian terserlah dengan pelantikannya sebagai ketua pasukan ketika menghadapi skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri dalam perlawanan persahabatan, minggu lalu.

Ketua jurulatih, Yunus Alif berkata: ``Buat masa ini, Azaruddin menjadi calon terdekat untuk memegang peranan kapten. Dia tampak meyakinkan saya ketika perlawanan persahabatan itu.

``Mulanya saya turut menimbangkan beberapa pemain veteran lain termasuk Muadzar sendiri tetapi apabila penjaga gol itu tercedera, nampak gayanya Azaruddin lebih berhak menjadi ketua pasukan,'' katanya di Kuantan, semalam.

Muadzar yang juga bekas pemain kebangsaan, tercedera di lututnya ketika diturunkan selama 20 minit pada separuh masa kedua perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang berkesudahan anak didik Yunus menang 4-3.

Dia bagaimanapun kian pulih selepas menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Subang Jaya, Selangor tetapi memerlukan rehat sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

Aksi Muadzar musim lalu juga begitu terhad akibat kecederaan kaki. Pahang menjelang Liga M musim ini bagaimanapun masih mempunyai seorang lagi penjaga gol, Irewan Sulaiman yang diserapkan daripada skuad Liga Simpanan.

Mengenai keadaan benteng senior, Azhar Kamaluddin, Yunus berkata, abang Azizul itu cuma mengalami kekejangan otot kerana terpaksa bersaing dengan ramai pemain yang lebih muda kali ini dalam sesi latihan.

``Dia cuma kejang apabila terpaksa bekerja keras untuk menyaingi kepantasan pelatih pasukan yang lebih muda daripadanya,'' kata Yunus.

Sementara itu, Yunus tanpa berlengah turut menyediakan ujian kedua buat anak buahnya dengan memilih pasukan Perdana Dua, Telekom Melaka sebagai lawan persahabatan di Stadium Darul Makmur, Selasa ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bNzowqeF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan