Isnin, 13 Mac 2017

Azizul perlu pelepasan rasmi

ARKIB : 21/12/2000
BEKAS penyerang kebangsaan, Azizul Kamaluddin tidak boleh menandatangani kontrak dengan sebarang pasukan lain sekiranya mahu berhijrah selagi tidak mendapat pelepasan rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata, jika Azizul masih berkeras untuk meneruskan penghijrahan, kontraknya dengan pasukan terbabit akan dianggap tidak sah.

''Jika mengikut syarat-syaratnya, kontrak dengan pasukan baru itu tidak sah. Setiap pemain yang berhijrah mesti ambil pelepasan. Kita bukan boleh lepas sewenang-wenangnya,'' kata beliau.

Tengku Abdullah menyatakan demikian sebagai mengulas kedudukan ayam tambatan Pahang itu yang dilaporkan mahu mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Azizul tidak hadir pada majlis menandatangani kontrak pemain dengan PBNP, Isnin lalu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tawaran gaji lebih rendah dari musim lalu iaitu RM4,500 sebulan.

Dia bagaimanapun dilaporkan hanya akan berbincang sekali gus menandatangani kontrak dengan PAFA di Ipoh pada hari ini selepas menangguhkan kehadirannya semalam.

Tengku Abdullah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengingatkan persatuan negeri supaya mendapatkan pelepasan rasmi persatuan asal terlebih dulu jika mahu mendapatkan khidmat pemain terbabit.

''Setakat ini kita tidak pernah tutup pintu kepada Azizul dan tak mahu menekannya sangat. Bagaimanapun mungkin satu hari saya akan buat keputusan dengan nasihat Exco PBNP untuk tutup pintu.

''Itu haknya (mahu berhijrah dan tidak hadir menandatangani kontrak dengan PBNP) tapi kita juga punyai pilihan. Kalau difikirkan masa sudah cukup untuk memutuskan baik atau buruknya, terpaksalah kita buat,'' kata beliau.

Ditemui di Istana Mahkota, Kuantan selepas majlis penyampaian zakat Lembaga Tabung Haji dan Bank Rakyat, semalam, Tengku Abdullah menjelaskan, Azizul sehingga kini masih belum menemuinya untuk berbincang.

''Setakat ini dia tidak beri ketetapan mahu berhijrah atau kekal di sini tapi saya harap dia bertimbang rasa dari segi segala yang telah kita curahkan masa susah, masa senang,'' kata beliau.

Isnin lalu, Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail pernah berkata, Azizul perlu berjumpa sendiri dengan presiden atau timbalan presiden sekiranya masih lagi berminat mewakili Pahang selepas tidak menghadiri majlis menandatangani kontrak.

''Saya nak nasihat Azizul supaya fikir masak-masak. Kita bukan nak memberi kesusahan kepadanya tetapi kemampuan kita tidak mengizinkan. Dia perlu rasional dengan keadaan PBNP yang begitu tenat ini,'' kata beliau.

Tengku Abdullah turut mengakui, PBNP seboleh-bolehnya masih mahukan khidmat tonggak serangan berbisa seperti Azizul yang turut muncul sebagai penjaring terbanyak Perdana Satu 2000 bersama Shahrin Majid.

Apa pun menurut beliau, pemain patut sedar, PBNP bukan bersandiwara dalam hal gaji ini tetapi itulah hakikat keadaan yang persatuan hadapi ketika ini.

Katanya, keadaan PBNP kini sudah berbeza dengan masalah kewangan persatuan yang meruncing hingga memaksa persatuan tidak boleh menjanjikan satu harga yang begitu besar tetapi gagal melaksanakannya kelak.

''Dulu kita telah berlembut hati. Sentiasa bagi apa yang pemain kehendaki. Mereka juga mestilah tanam semangat berterima kasih dan setia kepada negeri yang telah menolong mencurahkan segalanya waktu senang dahulu,'' katanya.

Tengku Abdullah bagaimanapun mengakui, pihak pengurusan pasukan Pahang sepanjang persaingan Liga M musim ini tidak pernah mendengar nasihatnya ketika itu sehingga keadaan kewangan kian meruncing.

''Persatuan telah diberi mandat untuk memperkemaskan dan memperkecilkan perbelanjaan. Ini sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi,'' kata beliau.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bDRC6xne

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan