Ahad, 19 Mac 2017

`Lapan angkat kaki'

ARKIB : 14/11/2001
KETUA pasukan, Azaruddin Aziz dan benteng kebangsaan, Mohd. Ali Tahar merupakan antara lapan tonggak Pahang musim lalu yang digugurkan daripada senarai 20 pemain bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Turut senasib mereka ialah penjaga gol dan benteng veteran, Muadzar Mohamad dan Azhar Kamaluddin selain Suresh Santaran, Zulkifli Hamid, Mohd. Al Rafaie Ali serta adik Ali, Mohd. Zaharul Aiman Tahar.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Ahmad Yunus Mohd. Aliff berkata, mereka berlapan digugurkan atas sebab kecederaan dan mutu persembahan yang hambar sepanjang aksi Liga M musim lalu.

``Mereka berlapan tidak dipanggil untuk menghadiri sesi aku janji untuk mewakili Pahang musim depan yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, hari ini (semalam),'' katanya.

Menurut beliau, empat lagi tonggak musim lalu, Azizul Kamaluddin, Ahmad Shaharuddin Rosdi, Hairul Nizam Haniff dan Jalaluddin Jaafar bagaimanapun tidak hadir pada sesi itu selepas ujian pemilihan Liga M dilakukan selama tiga hari.

``Khidmat mereka masih diperlukan oleh Pahang untuk mengisi antara kuota 20 pemain yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mereka mungkin datang (untuk aku janji) pada hari lain,'' kata Yunus.

Mengetuai senarai pemain tempatan untuk cabaran liga seawal Januari depan ialah Juzaili Samion dan Fadzli Shaari yang pernah menimba pengalaman berlatih dan bermain di Strasbourg, Perancis dan SV Wehen, Jerman.

Pemain lain termasuk Azrul Hisyam Yusof, Irewan Sulaiman, Shahril Faizal Sharifuddin, Hairul Nizam Man, Mohd. Rafeek Moidony, Azmani Abdul Kadir, Suhaizi Sulaiman, Ahmad Shahrizan Salleh, Ahmad Izwan Maarup, Khairul Anuar Karim, Suhaimi Mohd. Noor, Safri Mokhtar dan Iskandar Zulkarnain.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bpK70GAv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan