Jumaat, 24 Mac 2017

Pahang hanya mampu seri



ARKIB : 04/09/2002
  PENYANDANG juara, Pahang hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Melaka pada perlawanan pembuka tirai pertandingan bola sepak Sukma IX di Sabah, semalam.

Kedua-dua pasukan gagal menunjukkan mutu permainan yang baik, sebaliknya perlawanan di Padang Likas 1 itu lebih banyak diwarnai oleh aksi kasar kedua-dua pasukan.

Ini menyebabkan tiga pemain Melaka - Azmi Che Ngah, Md. Shahril Md. Saad dan Mohd. Munir Amran menerima kad kuning sementara Muhamad Najib Abd. Rani dari Pahang turut menerima amaran serupa.

Sementara itu, naib juara, Pulau Pinang melepaskan peluang untuk meraih mata penuh apabila membenarkan Johor menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk mencatat seri 2-2 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Universiti Malaysia Sabah.

Pulau Pinang memerlukan enam minit minit untuk mendahului pasukan lawan menerusi jaringan gol Zulhissyam Jamaluddin sebelum Mior Khairul Rizal Mior Ahmad meletakkan pasukannya berada pada landasan kemenangan.

Namun, babak kedua menyaksikan Johor bangkit dengan corak permainan berbeza dan hasilnya Mohammad Rashiddi Mahfodz berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol minit ke-60.

Ketika penonton menyangkakan perlawanan akan memihak kepada Pualau Pinang, pemain Johor, Norizam Sulaman menafikan jangkaan itu apabila menolak masuk gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 14 minit.

Dalam perlawanan lain, Sabah menundukkan pasukan jiran, Labuan dengan keputusan 1-0 di menerusi jaringan Nizzamuddin Abdul Hamid pada minit ke-71 di Stadium Penampang.

Kemenangan itu meletakkan Sabah sebagai pendahulu Kumpulan B di atas Pulau Pinang dan Johor.

Hari ini, dua perlawanan dalam Kumpulan C akan berlangsung iaitu Perak menentang pasukan pilihan, Negeri Sembilan manakala Perlis bertemu Brunei. Selangor yang menjadi pilihan dalam Kumpulan D pula akan bertemu MSSM manakala Kuala Lumpur berdepan dengan Sarawak

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cIAdTwIo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan