Rabu, 15 Mac 2017

Pahang hormati pasukan lawan



ARKIB : 06/02/2001
PEPATAH popular sukan bahawa apa saja boleh terjadi dalam bola sepak pantas menyedarkan Yunus Alif supaya sentiasa menganggap sebarang pasukan pada persaingan bola sepak Piala FA, bulan depan, mempunyai peluang yang seimbang.

Justeru ketua jurulatih Pahang ini bertegas, label pasukan Perdana Satu atau kelab Perdana Dua sebagai lawan anak buah beliau tidak boleh menjadikan Tok Gajah berasa lebih atau kurang daripada sesiapa.

Sambil akur dengan kehadiran majoriti muka baru Pahang yang belum begitu teruji, Yunus ternyata lebih gemar memilih untuk menghormati saja sebarang lawan termasuk kelab Perdana Dua, NS Chempaka pada pusingan pertama Piala FA, 13 dan 17 Mac nanti.

``Pahang tidak sesekali memandang rendah keupayaan mana-mana lawan pada Piala FA. Ini ialah persaingan kalah mati.

Apa saja boleh terjadi. Taraf setiap pasukan juga boleh dikatakan sudah tidak banyak bezanya.

``Pasukan kelab kali ini dilihat setaraf dengan skuad negeri kerana mereka sudah matang malah mengambil ramai pemain yang berpengalaman untuk memantapkan pasukan. Ini perlu diawasi,'' katanya di Kuantan, semalam.

Yunus mengambil sikap merendah diri ini ketika mengulas undian Piala FA kelmarin yang meletakkan Tok Gajah di laluan agak selesa dan terhindar daripada menentang juara bertahan, Terengganu sekurang-kurangnya dalam empat persaingan awal.

Sekiranya melepasi kelab Negeri Sembilan itu, Tok Gajah cuma bakal menghadapi pemenang perlawanan KL Malay Mail-Sabah yang turut menganggotai Liga Perdana Dua dalam pusingan seterusnya.

Musim lalu menyaksikan skuad Penyu yang secara kebetulan merupakan bekas anak buah Yunus hanya melepasi suku akhir dengan kemenangan tipis agregat 4-3 ke atas Pahang.

Tok Gajah bimbingan Fuzzeimi Ibrahim ketika itu kecundang 0-3 di Kuantan dan menang 3-1 apabila mengunjungi Kuala Terengganu tetapi ia tidak cukup dalam mengubah nasib mereka untuk mara ke separuh akhir.

Mengenai kemungkinan Yunus mampu menerapkan ramuan Terengganu bergelar juara Piala FA lalu terhadap Pahang pada musim ini, katanya: ``Itu belum tahu lagi kerana saya perlu berpijak di bumi nyata dengan barisan muda Pahang kali ini.''

Tidak seperti Piala Malaysia atau Liga Perdana, Pahang mempunyai rekod hambar sepanjang aksinya pada kejohanan kalah mati kebangsaan yang diperkenalkan sejak 1990 ini

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bO9wDJ4p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan