Selasa, 12 Disember 2017

Liga Malaysia: Tajuddin jadi pilihan Tok Gajah

ARKIB : 29/10/2008
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengumumkan bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin Nor (gambar) sebagai jurulatih skuad Pahang yang baru.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Tengku Muda dan Tengku Puan Muda di Temerloh, semalam.

Menurut Tengku Abdul Rahman, Zainal Abidin Hassan yang membimbing Pahang musim lalu dilantik sebagai Pengurus kelab Shahzan Muda manakala Nasir Salleh akan mengurus pasukan Pahang.

''Jurulatih Shahzan Muda pula akan digalas oleh bekas jurulatih Selangor, Dollah Salleh," katanya.

Tajuddin sebelum ini pernah meneraju pasukan Pahang pada awal era 1990-an.

Tengku Abdul Rahman memberitahu, skuad Pahang musim akan datang bakal dibarisi gandingan muka baru dan lama.

Menurut beliau, beberapa pemain kelab Shahzan Muda akan diserap kepada skuad Pahang pada musim akan datang berikutan penghijrahan beberapa pemain utamanya.

Antara pemain Shahzan Muda yang akan diserapkan dalam pasukan Pahang termasuk pemain tengahnya, Shahrizan Salleh, P. Suthazon dan Badrul Sani dan penjaga gol, Rosfaizul Annuar serta pertahanannya, Wan Azhari Wan Noor.

''Hanya beberapa pemain lama yang berpengalaman seperti Azizul Kamaluddin dan Jalaluddin Hassan akan dikekalkan supaya mereka dapat membantu pemain baru yang bakal bermain untuk pasukan Pahang.

''Bakal pemain baru diharapkan dapat bermain bersungguh-sungguh sekali gus mencorakkan permainan yang bagus berbanding sebelum ini," ujarnya.

Tengku Abdul Rahman berkata, beberapa pemain lama Pahang pula perlu sentiasa bersedia jika kedudukan mereka bakal diganti dengan muka-muka baru.

Beliau menambah, bakat-bakat baru untuk kelab Shahzan Muda Pahang akan dicungkil menerusi liga daerah yang bakal berlangsung awal tahun depan.

PBNP juga, tambah Tengku Abdul Rahman, akan menukar corak pengurusan kedua-dua pasukan tersebut bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Pahang.

Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi berkata, beliau gembira kerana diterima kembali sebagai jurulatih Pahang setelah sekian lama menguruskan pasukan bola sepak lain.

''Misi utama saya sekarang ialah menjuarai beberapa kejuaraan terutama Liga Super dan Piala Malaysia pada musim depan," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5125XJp00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan