Rabu, 15 Mac 2017

Kecederaan Muadzar beri rahmat pada Azrul



ARKIB : 03/02/2001
MUADZAR Mohamad sekadar mampu menjadi pemerhati di luar sesi latihan pramusim Liga Malaysia Pahang ketika ini apabila terpaksa menjalani proses pemulihan kecederaan lutut kanannya selama seminggu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus Alif berkata, musibah terbaru yang menimpa Muadzar itu sekali gus membuka peluang yang luas untuk Azrul Hisyam Yusof melonjak sebagai penjaga gol utama.

Kata Yunus, buat masa ini Azrul kian pasti diberi kepercayaan mengawal gawang Pahang sekalipun Muadzar memberitahunya sudah tidak terasa sakit lagi pada lututnya.

``Kita perlu tengok keadaan Muadzar itu dari semasa ke semasa sebelum mengambi sebarang keputusan,'' kata beliau di Kuantan selepas mengendalikan sesi latihan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), semalam.

Musibah yang menimpa Muadzar itu menjelma ketika dia bermain dalam tempoh 20 minit separuh masa kedua perlawanan persahabatan dengan skuad Piala Emas Raja-Raja Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu.

Dia bagaimanapun hampir pulih selepas menjalani rawatan di Hospital Pakar Glen Eagles di Subang Jaya, Selangor.

Kecederaan bekas pemain kebangsaan itu turut menggencatkan percaturan Yunus sesudah baru sahaja menemui penawar masalah gandingan penyerang Azizul Kamaluddin dengan kemunculan Azmani Abdul Kadir atau digelar `kembar A.'

Namun musibah buat Muadzar seperti satu rahmat kepada Azrul, bekas pemain skuad remaja Malaysia yang turut meraih pujian Yunus hasil persembahannya pada sesi latihan dan perlawanan Sabtu lalu.

``Tanpa Muadzar, Azrul kini menjadi penjaga gol utama. Malah hasil sesi latihan dan persahabatan lalu membuktikan prestasi Azrul berjaya menenuhi perancangan saya,'' akui Yunus.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bNnoRSHK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan