Sabtu, 9 September 2017

Shahdan Zahari meninggal dunia



ARKIB : 06/12/2006

PEKAN – Bekas penyerang berbisa Pahang, Shahdan Zahari yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 4 pagi semalam sempat meninggalkan pesan terima kasihnya kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di atas keprihatinan baginda terhadapnya.

Ibu Allahyarham, Sepiah Ali ketika ditemui, berkata Shahdan menyampaikan pesanan itu dua hari lepas untuk disampaikan kepada Tengku Abdullah.

‘‘Saya tidak menyangka Allahyarham akan meninggalkan kami sekeluarga kerana tiada petanda yang dia akan pergi, tapi tiga minggu sebelum ini dia ada masuk wad sebab menggigil selepas makan tetapi dibenarkan pulang selepas tiga hari,” katanya.

Sepiah berkata beliau belum pasti punca sebenar anaknya meninggal dunia.

Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarham, Mohd Ali Tahar menyifatkan rakannya itu seorang yang baik hati dan suka membantu.

Katanya, dia mengenali Shahdan sebelum mereka terlibat dalam arena bola sepak lagi dan selalu memancing bersama.

Allahyarham Shahdan, 33, mewakili Pahang dari 1993 hingga 1996, dan pernah bermain untuk skuad Olimpik Malaysia, yang bersaing untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Anak kelapan daripada 11 beradik itu menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 1996 yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Johar di sini pada 12.30 tengah hari semalam.

Antara rakan yang menziarahi keluarga Allahyarham termasuklah Azizul Kamaludin, Ahmad Yusof, Jalaludin Jaafar dan Mohd Ali Tahar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4sEtVy1vH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan