Jumaat, 17 Mac 2017

4 penjuru: Pahang tanpa empat tonggak

ARKIB : 02/06/2001
PAHANG akan berkunjung ke Surathani, selatan Thailand untuk menyertai kejohanan empat penjuru, pertengahan bulan ini tanpa empat tonggaknya yang terpaksa dikecualikan bagi menjalani latihan menghadapi Pestabola Merdeka ke-37.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Ahmad Yunus Mohd. Aliff berkata, mereka berempat ialah Ahmad Shaharuddin Rosdi, Mohd. Ali Tahar, Azmani Abdul Kadir dan Hairul Nizam Haniff yang masing-masing dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan dan bawah 23 tahun.

Menurut Yunus, tanpa empat tonggak itu, beliau bercadang membawa cuma 20 pemain skuad Liga Malaysia Pahang yang bergelar keempat terbaik dalam pusingan pertama bola sepak Liga Perdana Satu yang berakhir 26 Mei lalu.

``Saya tidak bimbang kerana merelakan pemergian mereka (bersama skuad pelatih negara dan bawah 23). Lagipun kami ke Surathani cuma bertujuan mengekalkan tahap kecergasan dan memberi pendedahan buat pemain muda.

``Bagi barisan yang sebahagian besarnya muka baru Liga M, mereka dituntut menimba sebanyak mungkin pendedahan dalam medan pertandingan sebelum kembali beraksi pada pusingan kedua liga,'' katanya di Kuantan.

Ini merupakan kunjungan sulung Pahang keluar negara pada luar musim setelah sekadar bermain dalam perlawanan persahabatan di Kuantan dan sebuah kejohanan di Pulau Pinang, Februari lalu sebagai persediaan menghadapi Liga M.

Yunus memberitahu: ``Di Surathani, kami akan bermain menentang sebuah kelab yang muncul juara Liga Thailand, sebuah kelab juara peringkat umur kebangsaan dan pasukan wilayah berkenaan.''

Dalam tempoh rehat liga selama sebulan, Pahang bagaimanapun akan kembali menyambung sesi latihannya di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mulai hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4be0MgnVz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan