Rabu, 15 Mac 2017

Yunus panggil dua tenaga muda



ARKIB : 23/02/2001
YUNUS Alif mahu memanggil dua lagi tenaga muda skuad Liga Simpanan sebagai ikhtiar tambahan mempelbagaikan pilihan pemain Pahang menjelang persaingan bola sepak Piala FA, bulan depan.

Langkah menambah muka baru oleh ketua jurulatih Pahang itu tampak diambil ekoran pusingan pertama Piala FA dipercepatkan tarikhnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dua hari lalu.

Menurut pengerusi jawatankuasa pertandingan tempatan FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, tirai kejohanan kalah mati kebangsaan itu akan disingkap pada 10 Mac iaitu diawalkan tiga hari.

Jawatankuasa berkenaan pada 4 Februari lalu menetapkan 13 Mac sebagai tarikh permulaan pusingan pertama Piala FA yang melibatkan persaingan pasukan negeri dari Liga Perdana dan kelab peringkat Piala FAM.

``Saya bercadang mendapatkan khidmat dua lagi pemain Liga Simpanan untuk menambah kemantapan latihan persediaan pramusim Liga Malaysia ini.

``Nama mereka yang akan dipanggil itu sedang dipertimbangkan dan belum masanya untuk diumumkan lagi,'' kata Yunus ketika dihubungi Sukan Utusan di Kuantan, semalam.

Tindakan beliau menambah pemain itu menjadikan Pahang kini mempunyai 26 pelatih pasukan yang terdiri daripada adunan 10 pemain senior musim 2000 dan tonggak juara Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu serta Liga Simpanan.

Yunus juga memerlukan bantuan segera tambahan pemain ekoran pemergian dua tonggak Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Mohd. Ali Tahar bersama skuad negara ke Hong Kong dan Qatar untuk menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia, bulan depan.

Ia turut dikatakan sebagai langkah persediaan awal Pahang sekiranya sebarang musibah kecederaan menimpa Shaharuddin dan Ali sepanjang persaingan kumpulan tiga Asia pada 4 hingga 11 Mac dan 20 hingga 25 Mac nanti.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak dua lagi perlawanan persahabatan telah diatur sebagai ujian terbaru anak buahnya dalam mengukur persediaan Pahang selepas dua bulan berlatih.

``Kami akan menentang Terengganu pada Sabtu ini dan Johor FC pada 27 Februari. Kedua-dua perlawanan ini dilangsungkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bPPTkJ4b
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan