Rabu, 31 Mei 2017

Aksi Perak, Pahang jadi tumpuan



ARKIB : 09/07/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Saingan Liga Super akan menutup tirai malam ini dan tumpuan pastinya kepada pertemuan Pahang menentang Perak di Stadium Darul Makmur.

Ketika Perlis lebih awal dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005, pertembungan Pahang-Perak dianggap lebih menarik untuk menentukan pasukan yang akan ditabalkan selaku naib juara liga dan membawa pulang wang tunai RM300,000.

Pahang yang menduduki tangga kedua di belakang Perlis sekadar dipisahkan dengan dua mata dengan Perak di tangga ketiga.

Reputasi Perak tampak sukar disekat apabila mereka meneruskan aksi rentak kemenangan menewaskan Sabah 3-0 Sabtu lepas manakala Pahang pula tersentak tunduk 2-3 kepada Telekom.

Kelibat Perak yang pada satu ketika menduduki tangga terbawah di pertengahan aksi liga kini semakin mengugat dengan ledakan Frank Seator dan Keita Mandjou yang bakal mendatangkan masalah kepada benteng pertahanan Pahang.

Buat Pahang yang terpaksa menggigit jari terlepas genggaman kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu, kini mengharapkan kejayaan selaku naib juara buat mengubat rasa kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Perak pastinya tidak mahu kempunan untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan sebagai naib juara liga.

Walau apa pun, kedudukan Perlis, Pahang, Perak dan Telekom sudah terjamin beraksi dalam Liga Super musim 2006.

Bagaimanapun, nasib empat pasukan iaitu Sabah, MPPJ, Pulau Pinang dan Public Bank diambang paling getir.

Dua pasukan yang menduduki tangga terbawah liga bakal tersingkir daripada beraksi di Liga Super musim depan jika tewas dalam perlawanan terakhir malam ini.

Public Bank kini menduduki tangga kelima dengan 25 mata diikuti MPPJ (24), Pulau Pinang dan Sabah masing-masing dengan 22 mata.

Tidak ada banyak pilihan buat keempat-empat pasukan yang akan bertembung sesama sendiri bagi menentukan untung nasib sama kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kalah bermakna dua pasukan terbabit bakal turun beraksi ke Liga Perdana musim depan menggantikan tempat Selangor dan Negeri Sembilan yang telah layak ke Liga Super 2006.

Sabah akan berdepan dengan MPPJ di Stadium Likas manakala Pulau Pinang menanti kunjungan Public Bank.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iiRsCe55
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

Pahang, Perak gagal ke suku akhir



ARKIB : 26/05/2005

KUALA LUMPUR - Impian Pahang untuk mara ke suku akhir berkecai apabila sekadar mencatat keputusan keputusan seri 1-1 bertemu New Radiant dalam perlawanan Piala AFC Kumpulan E di Stadium Male Maldives, semalam.

Pahang yang sepatutnya perlu menang ke atas kelab dari Maldives dengan keputusan seri itu meletakkan mereka di tangga ketiga manakala New Radiant mara ke suku akhir mengiringi Home United dari Singapura yang menewaskan Happy Valley 5-0 dalam perlawanan lain.

Peluang Pahang untuk menang terbuka cerah apabila pemain kebangsaan Indra Putra Mahayuddin membuka tirai jaringan pada minit ke-78.

Bagaimanapun lima minit sebelum tamat perlawanan Abdullah Mohamad menjaringkan gol penyamaan 1-1 untuk mengikat keputusan seri 1-1.

Di Stadium Perak, Perak kecundang di gelanggang sendiri dengan jaringan 2-1 kepada kelab Valencia dari Maldives dalam perlawanan terakhirnya bagi Kumpulan D.

Namun begitu, kedua-dua pasukan gagal ke pusingan suku akhir yang mana kelab dari Singapura, Tampines Rover dan kelab Sun Hei yang terlebih dulu menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Pasukan tuan rumah memperoleh gol pertama melalui jaringan cantik pemain pertahanan, Mohd. Syamsol Saad pada minit ke-37.

Namun kegembiraan Perak hanya seketika apabila percubaan penyerang Valencia, Mukhtar Nazer pada minit ke-45 gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Zabri Azlen.

Pasukan pelawat memperoleh kemenangan melalui jaringan Umar Ali pada minit ke-85.

Perak sekadar menduduki tangga terakhir Kumpulan D.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iYNBY7Tn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 29 Mei 2017

Pahang terus lepas peluang



 
ARKIB : 08/05/2005
Pahang terus lepas peluang
Pemain Perak, Harizul Izuan Abd. Rani (kiri) cuba dihalang oleh pemain Sabah Mohd. Arsyahh Mohd. Ayob dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. Perak menang 2-0.

KUALA LUMPUR - Pahang terus dirundung malang apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Telekom Melaka dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Tuah, semalam.

Jika tidak kerana Pulau Pinang tewas 3-2 kepada MPPJ Selangor, Pahang sudah pasti tersingkir ke tangga ketiga liga.

Kemerosotan yang ditunjukkan Pahang sejak kebelakangan ini tampak berterusan tetapi bermula agak baik semalam dengan mendahului menerusi Rosdi Talib pada minit ke-17.

Bagaimanapun Telekom Melaka bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Njoh Njoh Mpondo Alain pada minit ke-63.

MPPJ pula menyekat hasrat Pulau Pinang untuk mengutip tiga mata penuh apabila menang 3-2 di Stadium Bandaraya.

Meskipun tuan rumah menguasai permainan pada babak pertama, namun kebuntuan mencari gol hanya diperoleh pada minit ke-41.

Itu pun hasil sepakan percuma yang diberikan pengadil, Ahmad Khalidi Supian setelah pertahanan pasukan pelawat menjatuhkan Mohd Faizal Eshar di luar kotak penalti.

Penjaga gol Selangor MPPJ, Mohd Yazid Mohd Yassin sekadar melihat sepakan cantik Jose Marcio Barreto yang mencecah penjuru pintu golnya.

Namun MPPJ tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, apabila Fabrico Rene Franecshi menceriakan pasukannya menerusi tandukan yang mencecah gawang Pulau Pinang tiga minit sebaik babak kedua bermula.

Bersemangat dengan gol penyamaan, pasukan kelab dari Lembah Klang itu sekali lagi menyentak sorakan penonton tuan rumah apabila jaringan Mohd Zaidi Zaing pada minit ke-60 meletakkan pasukannya di depan.

Anak buah Norizan Bakar yang tidak berputus asa kembali mengatur gerak dan akhirnya membuahkan hasil apabila sekali lagi sentuhan Baretto pada minit ke-63 mencecah gawang pelawat.

Kedudukan terikat 2-2 tidak bertahan lama apabila MPPJ kembali mendahului dua minit kemudian menerusi sentuhan pemain import mereka, Franecshi.

Di Stadium Perak, Ipoh, pemain tuan rumah yang terdesak kerana berdepan kemungkinan dipotong gaji 20 peratus jika kalah mencipta kemenangan ke atas Sabah 2-0.

Perak tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan seawal minit ke-4 menerusi Frank Seator yang menyambut bola muntah dalam kotak penalti.

Ini selepas sepakan kencang Chan Wing Hoong terkena palang gol.

Seorang lagi pemain import Perak, Troare Abdoul Aye kemudiannya menggandakan jaringan buat Perak pada minit ke-20.

Gol berpunca daripada bola hantaran K. Yoganathan yang disambut dengan tandukan Troare untuk menggegar jaring.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTbyPclW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang mula rasa panas



ARKIB : 07/05/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Perlis kini mampu mengukir senyum tetapi tidak dengan Pahang yang sedar kedudukan mereka kian tercabar dalam kancah saingan Liga Super.

Pahang tidak punya banyak pilihan melainkan memahatkan kemenangan ke atas Telekom di Stadium Hang Tuah malam ini jika tidak ia bakal menyaksikan Public Bank dan Pulau Pinang bakal memintas mereka untuk berada di tangga kedua liga.

Tiada sebab yang boleh menghalang Pahang daripada bangkit untuk merapatkan diri dengan Perlis kerana sebelum ini pemain beraksi pada tahap terbaik sebelum menerima kekalahan 1-5 kepada Perlis.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan pastinya akan mengadunkan barisan terbaiknya untuk menyekat Telekom daripada mengukir kemenangan yang bakal menyaksikan skuad Tok Gajah bakal tersisih di tangga kedua dipintas sama ada Pulau Pinang dan Public Bank.

Ketika Pahang mengatur strategi mantap, Perlis sedikit lega kerana akan beraksi malam esok berdepan dengan kekentalan Public Bank di Stadium Selayang.

Perlis pula cukup selesa berada di singgahsana tampuk Liga Super berbekalkan kelebihan enam mata mengatasi Pahang di tempat kedua bakal berdepan ujian getir berdepan dengan kekentalan Public Bank.

Begitu pun jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim mula resah dengan kedudukan `selesa' pasukannya, bimbang jika pemain mula dibuai mimpi indah berbangga dengan kedudukan berada di puncak Liga Super.

Kejayaan menumpaskan Pahang 5-1 dan Pulau Pinang 2-0 sebaliknya merangsang dan mengundang lawan untuk berusaha lebih menjinakkan Perlis.

Abdul Rahman sudah tentunya sedar betapa Public Bank bercita-cita tinggi untuk menyekat Perlis daripada terus mengukir kemenangan malam esok.

Dalam pada itu, Skuad Singa Utara kini menjadi `pemerhati' melihat sama ada Pahang dan Pulau Pinang bakal merapatkan diri untuk mencabar mereka.

Pulau Pinang pula akan menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri di Stadium Bandaraya untuk menanti kunjungan MPPJ.

Skuad Pulau Mutiara itu sudah tentu mahu memahatkan kemenangan selepas tunduk 0-2 kepada Perlis baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pulau Pinang menyedari halangan getir dengan kebangkitan MPPJ bekas juara Piala Malaysia 2003 selepas menewaskan Perak 3-1.

Peluang terbaik buat MPPJ perlu menewaskan Pulau Pinang untuk bangkit selepas persembahan muram di awal musim jika tidak mereka bakal tersisih ke Liga Perdana musim lalu.

Dalam perlawanan lain pula bakal menyaksikan pasukan tangga tercorot Perak melayani kedatangan Sabah di Stadium Perak.

Perak juara Piala FA musim lalu mengharungi saingan yang penuh ranjau terpaksa terjerumus di tangga terbawah liga.

Skuad Seladang kini dicemuh oleh seluruh peminat fanatik yang mahukan jurulatih Toni Netto disingkirkan kerana persembahan tidak menentu pasukan itu.

Sabah pula dilihat semakin menunjukkan peningkatan walaupun sekadar seri 1-1 dengan Telekom Rabu lalu dan mereka sudah tentu mahu mengambil peluang kelemahan Perak untuk mengutip tiga mata berharga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTApEudH
© Utusan Melayu (M) Bhd