Khamis, 25 Februari 2021

Bokhashvili pelengkap kuota import Sri Pahang

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Sri Pahang FC mengesahkan Yevhen Bokhashvili dari Ukraine menyarung jersi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, penyerang berumur 28 tahun itu mengambil alih tempat Sergio Aguero yang akan dipinjamkan ke kelab lain.

Katanya, keputusan itu dalam usaha menajamkan jentera serangan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga M yang dijadualkan bermula 5 Mac ini.

"Sri Pahang membuat keputusan untuk menyenaraikan Bokhashvili sekali gus melengkapkan kuota lima import manakala Aguero akan dipinjamkan kepada kelab lain.

"Oleh itu, saya mengharapkan Bokhashvili bukan sahaja mengetuai jentera serangan, malah akan membantu pasukan melakar kejayaan musim ini," katanya.

Berdasarkan rekod, Bokhashvili bermain dengan PSS Sleman yang beraksi dalam Liga Satu Indonesia musim lalu.

Selain Bokhashvili, empat import yang menyertai Sri Pahang musim ini ialah Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Pedro Henrique.

Mengulas lanjut kedudukan Aguero dalam Sri Pahang, Mohammed Suffian berkata, rundingan bersama sebuah kelab sedang berjalan.

"Sri Pahang mengharapkan rundingan ini mencapai kata sepakat dan selesai dalam tempoh terdekat," katanya.

Sebelum ini, Sri Pahang mengumumkan Aguero antara lima pemain import yang akan memperkuatkan pasukan itu sebelum memutuskan khidmat penyerang import itu diganti Bokhashvili.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 5:47 PM

Selasa, 23 Februari 2021

Sri Pahang FC sudah bersedia sahut cabaran

MyMetroArena



Oleh Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Thomas Dooley menyifatkan pasukannya sudah 70 peratus bersedia untuk memulakan saingan Liga Super selepas membuat penilaian pemain dalam aksi persahabatan pertama mereka berdepan Terengganu FC II, kelmarin.

Melihat kepada perlawanan dalam kejohanan Shah Alam City Cup yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Dooley merasakan aksi yang ditampilkan anak buahnya adalah lebih baik berbanding yang ditonjolkan dalam sesi latihan di mana barisan pemain berusaha keras untuk mencari keserasian antara satu sama lain.

"Saya boleh nampak pemain-pemain begitu gembira dan teruja apabila berdepan aksi persahabatan menentang TFC II memandangkan kita semua tahu bagaimana mencabarnya latihan ketika ini."

"Pada separuh masa pertama, saya berpuas hati dengan apa yang dilakukan pemain untuk kami mendahului terlebih dahulu, tetapi selepas itu, kecergasan mereka sedikit menurun pada separuh masa kedua untuk lawan kemudiannya menyamakan kedudukan."

"Cuma secara keseluruhan, saya tidak mahu terlalu melihat kepada jaringan, tetapi bagaimana mereka dapat mengawal bola dan menyerang kembali, itu yang paling penting sekarang ini."

"Jadi, saya boleh katakan dalam 70 peratus pemain-pemain sudah bersedia dan serasi, cuma lagi 30 peratus masih ada yang perlu dipertingkatkan kerana kita semua tahu macam mana singkat aksi pramusim ketika ini, dan yang penting adalah fokus sehingga ke perlawanan sebenar nanti."

Perlawanan kelmarin menyaksikan Sri Pahang FC seri 2-2 dengan TFC II menerusi jaringan yang dilakukan oleh Hafiz Ramdan dan penyerang import baharu dari Brazil, Pedro Henrique.

Seterusnya, mereka akan berdepan aksi terakhir menentang pasukan tuan rumah, UiTM FC pada malam ini bagi menentukan pasukan manakah yang berjaya merebut trofi Shah Alam City Cup.Sri Pahang FC hadir ke Shah Alam pada Sabtu lalu bagi menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh pasukan UiTM FC untuk menggantikan Perak FC yang menarik diri pada saat akhir.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:51 PM

Jumaat, 19 Februari 2021

Henrique pelengkap import Sri Pahang

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Penyerang kelahiran Brazil, Pedro Henrique sah menyarung jersi Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, Henrique yang memiliki kerakyatan Timor Leste itu didaftarkan sebagai pemain import Asia Tenggara.

Katanya, pengalaman yang dimiliki pemain berumur 29 tahun itu dalam saingan Liga M diyakini membantu menajamkan jentera serangan pasukan itu.

"Kami harap Henrique dapat menyesuaikan diri dan membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam usaha membantu Sri Pahang melakar kejayaan musim ini," katanya.

Berdasarkan rekod, Henrique pernah bermain bersama PJ City FC pada musim 2019 dan PKNS FC (2015).

Pengalaman penyerang import itu sememangnya ditagih Sri Pahang.

Sehubungan itu, Sri Pahang melengkapkan senarai lima import iaitu Henrique, Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Musim ini, Sri Pahang melantik Thomas Dooley sebagai ketua jurulatih pasukan berkenaan manakala Dollah Salleh bertindak selaku pengurus.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:21 PM


Jumaat, 12 Februari 2021

Rayu atau bayar RM4.9 juta kepada Sumareh




Mohamadou Sumareh

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

7 Februari 2021, 10:30 am

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mempunyai dua pilihan sama ada membayar jumlah yang diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau membuat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Badan induk bola sepak dunia itu mengarahkan PBNP membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan telah menerima salinan keputusan yang dihantar FIFA kepada PBNP dua hari lalu.

Katanya, PBNP perlu menjelaskan bayaran tersebut dalam tempoh 45 hari bagi mengelak dikenakan hukuman tidak boleh mengambil pemain baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Mereka ada 45 hari bukan dari tarikh keputusan, tapi pihak Sumareh kena ­keluarkan notis butiran akaun bank kepada Pahang, selepas itu baru tempoh 45 hari itu bermula.

Sekiranya pasukan Pahang tidak bayar dalam masa 45 hari, automatik transfer ban (tidak boleh ambil pemain baharu) untuk jendela perpindahan akan datang. Mungkin jendela perpindahan kedua tahun ini.

Selepas itu, jika masih tidak bayar perkara itu akan dibawa ke bahagian tatater­tib FIFA.

Saya juga ada baca mengenai hukuman tolak mata, tapi keputusan tolak mata itu hanya selepas ia ke tatatertib.

Tapi pada masa yang sama perkara ini boleh dibuat rayuan mengikut beberapa langkah iaitu dalam tempoh 10 hari daripada notis keputusan, pihak Pahang kena minta terma-terma keputusan.

Selepas itu Pahang boleh buat rayuan ke CAS. Bagaima­napun, jika tidak meminta grounds of decision, FIFA meng­anggap PBNP setuju dengan keputusan dan tidak boleh membuat ra­yuan selepas itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

STUART RAMALINGAM

Difahamkan, keputusan tersebut dibuat setelah Sumareh mengemukakan aduan kepada FIFA mengenai gaji yang tidak dibayar.

Pemain naturalisasi Malaysia pertama itu meninggalkan Pahang pada Ogos tahun lalu setelah mendakwa PBNP gagal membayar gajinya mengikut kontrak.Mengikut kontrak, Sumareh sepatutnya menikmati kenaikan AS$5,000 (RM20,350) setahun selepas tahun kedua bersama Tok Gajah.

Begitupun pemain kelahiran Gambia itu mendakwa gajinya tidak stabil setelah menyertai mereka pada 2017.

AS$1.2 juta yang diumumkan FIFA adalah jumlah kenaikan tahunan terkumpul yang tidak dibayar dengan pelanggaran kontrak untuk tahun 2020 dan 2021, sekali gus menjadi jumlah terbesar yang dimenangi pemain di Liga Malaysia (Liga M).

Pemain naturalisasi pertama negara itu turut mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya yang menyaksikan dia boleh meninggalkan Pahang dan menyertai pasukan lain.SUMBER-UM ONLINE