Selasa, 14 Mac 2017

Shaharuddin bakal beralih sebagai penyerang



ARKIB : 21/01/2001
Ketua jurulatih, Yunus Alif berkata, cadangan untuk menukar posisi tetap Shaharuddin dari bahagian tengah ialah sebagai salah satu usaha untuk memperkasa semula jentera serangan Tok Gajah.

"Saya mungkin mencuba Shaharuddin sebagai penyerang untuk digandingkan dengan Azizul,'' kata Yunus ketika dihubungi Sukan Utusan selepas mengendalikan sesi latihan pramusim minggu kedua Pahang di Kuantan, semalam.

Menurutnya, perubahan peranan Shaharuddin itu bagaimanapun masih di peringkat cadangan apatah lagi dia masih belum diuji dalam sesi latihan Pahang kerana menyertai persiapan skuad negara menghadapi kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

"Keserasian Shaharuddin dengan peranan barunya itu akan dapat kita tentukan apabila dia menyertai latihan Pahang sekembalinya daripada tugasan negara di Qatar dan Hong Kong itu,'' kata beliau.

Shaharuddin bersama dua lagi pemain Pahang, Mohd. Ali Tahar dan Hairul Nizam Hanif kini menjalani latihan skuad kebangsaan dan Bawah 23 Tahun di bawah bimbingan jurulatih baru negara, Allan J. Harris.

Skuad Bawah 23 Tahun negara pula akan menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur pada September depan.

Mereka bertiga merupakan antara 10 pemain musim lalu yang masih menjadi sandaran Tok Gajah sekalipun terpaksa menerima tawaran gaji lebih rendah akibat kegawatan tabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Selain menjadi tonggak jentera tengah yang membantu skuad negara menduduki tempat ketiga Piala Tiger di Thailand, November lalu, Shaharuddin turut mampu menggegar gawang menerusi sepakan percuma.

Kehadirannya sebagai penyerang juga merupakan jawapan tepat buat percaturan Yunus yang mahu menampilkan formasi 4- 4-2 pada skuad Tok Gajah kali ini berbanding 4-3-3 seperti amalan jurulatih musim lalu, Fuzzeimi Ibrahim.

Pahang kini cuma berharapkan sentuhan dua penyerang dalam tempoh 90 minit permainan setelah menggugurkan tiga pemain luar di posisi itu musim lalu seperti Wan Rohaimi Ismail, Wan Ahmad Ridzuan Hussin dan Shahrin Majid.

Sentuhan serampang tiga musim lalu cuma menghadiahkan Kasut Emas kepada Shahrin dan Azizul selaku penjaring terbanyak Perdana Satu tetapi gagal membawa Tok Gajah mara ke suku akhir Piala Malaysia selain terdaya di tangga ketujuh liga.

Selain Shaharuddin, Yunus berkata, dia juga masih mengkaji kemampuan tiga lagi muka baru musim ini yang mampu bertindak sebagai penyerang atau gandingan baru Azizul.

"Mereka terdiri daripada Ahmad Wahid, Mohd. Azmani Abdul Kadir dan Iskandar Zulkarnain yang boleh bertindak sebagai penyerang bantuan atau perantara,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4bMb7eXzD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan