Selasa, 14 Mac 2017

Azizul cari jalan selamat

ARKIB : 08/01/2001
Azizul berkata, walaupun hatinya berat untuk memadamkan hasrat itu, dia perlu memilih jalan selamat dengan bersetuju untuk kekal di Pahang asalkan dapat menyertai Liga Malaysia musim ini.

Bekas penyerang kebangsaan ini mengakui, tidak rela kehilangan mata pencariannya itu apabila melihatkan kerenah Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika ini yang masih bertikam lidah.

"Selagi persatuan tidak dapat menyelesaikan urusan penghijrahan, selagi itulah nasib saya sendiri terawang-awang. Lebih membimbangkan saya, akhirnya yang dikendung berciciran, yang dikejar lagi tak dapat.

"Kali ini biarlah saya terus bersama Pahang. Saya tak mahu gembira yang disangka tiba berubah menjadi sebaliknya,'' kata penjaring terbanyak Perdana Satu ini.

Akur bahawa dia sendiri yang akan menjadi mangsa di tengah-tengah sengketa Gajah dan Seladang, Azizul menambah, keadaan semasa turut menuntutnya melakukan sesuatu yang drastik.

Sebuah akhbar berbahasa Ingge-ris kelmarin memetik Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail sebagai berkata, antara sebab Azizul tidak jadi berhijrah ialah dia baru sahaja berkahwin dan mungkin sukar menyesuaikan diri di tempat lain.

Bagaimanapun baru-baru ini, PBNP yang menyedari nilai Azizul, meletakkan harga kurang RM100,000 sebagai yuran perpindahan kepada sebarang pasukan lain untuk mendapatkan khidmatnya se-lain menggesa sijil pelepasan beliau, dipohon secara rasmi terlebih dulu.

Mendapati PBNP cuba mengambil kesempatan sekali pun kontrak Azi-zul sudah berakhir, Timbalan Presiden PAFA yang juga pengurus pasukan Perak, Jamal Nasir Rasdi lalu menyifatkan yuran sebanyak itu sebagai keterlaluan malah belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, Azizul turut menyatakan kesanggupan untuk menerima tawaran gaji lebih rendah daripada PBNP iaitu RM4,500 sebulan yang jauh berbeza dengan pendapatan yang diterimanya pada musim lalu.

"Yang penting ialah saya sudah bertekad untuk berjuang bersama tenaga senior lain seperti Azaruddin Aziz, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Mohd. Ali Tahar bagi mengembalikan maruah Pahang selepas gagal mempertahankan gelaran liga musim lalu.''

Walau bagaimanapun kata Azizul, dia tetap berterima kasih dan tetap menghargai Perak yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya di sebalik kemantapan jentera serangan mereka yang dibarisi V. Saravanan dan Khalid Jamlus.

"Keadaan tidak mengizinkan. Janganlah ada yang memandang serong terhadap pembatalan hasrat itu. Keputusan ini pun diambil setelah saya fikirkan sedalam-dalamnya,'' kata Azizul.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bJbJ36sm © Utusan Melayu (M) Bhd


ARKIB : 07/01/2001

Tiada ulasan:

Catat Ulasan