Jumaat, 31 Mac 2017

Prestasi yo-yo resahkan Pahang



ARKIB : 12/06/2003
 
PEMAIN Pahang digesa mempertingkatkan mutu permainan mereka bagi memastikan pasukan bola sepak negeri ini tidak tercicir daripada persaingan liga yang kini telah pun masuk pusingan ke dua, lapor AIZAWATI AHMAD.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, para pemain seharusnya memberi tumpuan 100 peratus kepada permainan dan perlu rajin berusaha bagi memastikan kemenangan menjadi milik Pahang pada baki lapan perlawanan akan datang.

``Saya tidak mahu sikap malas terus dipupuk dalam diri pemain, tahun ini saya perhatikan persembahan Pahang kelihatan terumbang-ambing dan seperti yo-yo,'' katanya selepas selepas majlis makan tengah hari bersama PBNP di Kuantan, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, para pemain perlu pertingkatkan lagi mutu permainan bagi memastikan Pahang kekal berada pada kedudukan tiga pasukan teratas liga.

Tengku Abdullah memberitahu, bagi memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap yang baik, para pemain juga diminta turun ke padang lebih awal daripada waktu latihan sebenar.

``Mereka seharusnya mencontohi pemain-pemain lama yang rajin turun ke padang lebih awal kerana sebagai pemain bola sepak mereka perlu ada kemahiran dan stamina yang tinggi untuk bersaing,'' ujarnya.

Beliau menegaskan, para pemain sepatutnya tidak perlu lagi diberi tunjuk ajar mengenai asas permainan bola sepak kerana pada ketika ini kemahiran teknikal yang seharusnya diberi tumpuan.

Tambahnya, para pemain khususnya pemain muda perlu segera perbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan Pahang tidak pincang apabila enam pemain negeri ini menyarung jersi pasukan kebangsaan.

``Sekurang-kurangnya kita masih ada pilihan untuk menyerapkan pemain-pemain yang selama ini berada dibangku simpanan ke barisan utama skuad Pahang sepanjang ketiadaan enam pemain ini,'' jelasnya lagi.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Ralf Borges Ferreira memberi jaminan pasukan negeri ini akan berada sekurang-kurang pada kedudukan enam pasukan terbaik.

``Saya harap para pemain diberi peluang kerana pasukan Pahang merupakan sebuah pasukan baru yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda,'' katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan liga kebangsaan, Tengku Abdullah yang juga Timbalan Presiden FAM memberitahu, kejohanan tersebut dijangka bakal diadakan pada tahun ini dengan penyertaan pelbagai kelab bola sepak tempatan.

Menurutnya, buat masa ini, liga tersebut mungkin akan dimulakan di Kuala Lumpur dan Shah Alam terlebih dahulu berikutan kemudahan yang ada di sana sudah lengkap.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cygmdBy3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan