Selasa, 7 Mac 2017

Tok Gajah mahu pulih imej

Dollah dalam dilema pilih pemain. FOTO tokgajah.com
BERNAMA
Kuantan: Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata kemenangan ke atas Melaka United dalam saingan Piala FA pada Sabtu ini mampu memulihkan kembali semangat dan moral pemainnya.

Beliau berkata ia juga secara langsung akan memperbaiki imej skuad Tok Gajah yang tercalar selepas tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

"Saya tidak sabar menunggu perlawanan ini berlangsung di Stadium Darul Makmur. Ini kerana aksi itu mampu memulihkan kembali imej pasukan, semangat dan moral pemain kami.


"Walaupun prestasi Melaka United sejak kebelakangan ini tidak begitu menjadi, kita tidak boleh menganggap mudah dengan cabaran mereka kerana mana-mana pasukan bermain dalam Liga Super adalah yang terbaik," katanya.

Dollah berkata pemain skuadnya bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama hingga menyebabkannya kadang kala dalam dilema untuk memilih pemain bakal diturunkan pada setiap perlawanan.

"Ramai boleh beraksi sehingga ada dalam kalangan pemain utama kami yang bimbang mendapat kecederaan kerana enggan tempat mereka diambil rakan lain. Cuma saya risau mereka rasa hampa jika tidak diturunkan dan ini boleh menjejaskan moral mereka.

"Nasihat saya adalah agar mereka tidak rasa kecil hati dan terus mempamer prestasi (cemerlang) kerana ruang untuk mereka beraksi sentiasa terbuka," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 12:45 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan