Selasa, 14 Mac 2017

Isu perebutan Azizul tamat



ARKIB : 09/01/2001
Keputusan itu sekali gus menggaibkan impian Perak untuk merasakan sentuhan Azizul musim ini, walaupun pelbagai cara dilakukan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk memenangi hati penyerang kebangsaan ini.

Azizul, 28 hadir pada majlis ringkas di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Stadium Darul Makmur, semalam untuk menyelesaikan kebuntuan dan perebutan dua negeri sejak berminggu-minggu yang lalu. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Ahmad Fuad Daud serta beberapa lagi pegawai persatuan.

Azizul yang juga penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu itu membuat keputusan berkenaan selepas tidak mahu lagi terperangkap dengan konflik Perak-Pahang yang berebut untuk mendapatkan khidmat beliau musim ini.

Terdahulu, Azizul ketika dihubungi pada sebelah pagi, menjelaskan, dia tidak mahu dibebani oleh sebarang masalah sekirnya terus menjadi perebutan antara dua negeri itu.

Ditanya adakah beliau sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk terus bersama Pahang, Azizul cuma berkata, "biarlah saya kekal di sini. Susahlah kalau berhijrah.''

Dengan ini, Azizul akan menyertai 16 pemain Pahang yang lain untuk memulakan sesi latihan yang bermula di Kuantan semalam di bawah bimbingan ketua jurulatih, Yunus Alif.

Kontroversi perebutan untuk mendapatkan khidmat Azizul bermula apabila dia tidak hadir pada majlis menandatangani kontrak pemain Pahang pada 18 Disember lalu. Beliau kemudiannya mengakui 'jodohnya' bersama Pahang sudah berakhir gara-gara masalah kewangan PBNP yang tenat dan hatinya mula cenderung untuk berhijrah.

Bagaimanapun, hasrat Azizul tersekat apabila PBNP meletakkan yuran perpindahan tidak lebih RM100,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya. PAFA menyifatkan yuran PBNP itu sebagai keterlaluan dan masanya belum sampai untuk dilaksanakan oleh mana-mana persatuan.

Kemuncak perebutan khidmat Azizul tiba pada Sabtu lalu, apabila Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail memberitahu, penyerang itu sudah mengubah fikirannya untuk berhijrah dan ingin terus bersama Pahang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bJ50ewh5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan