Isnin, 13 Mac 2017

Azizul, PBNP perlu berunding

ARKIB : 24/12/2000
Pengurus Perak, Jamal Nasir Rasdi berkata, Perak hanya akan berunding dengan bekas pemain kebangsaan itu setelah segala kemelut antaranya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selesai.

"Buat masa ini kita minta Azizul selesaikan dulu masalahnya dengan Pahang. Kemudian barulah dia boleh datang ke Perak untuk berbincang mengenai perpindahannya ke pasukan ini,'' kata Jamal Nasir, semalam.

Jamal Nasir mengulas mengenai kontroversi membabitkan penyerang itu yang dikatakan mahu mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk kempen Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, cadangan penghijrahan Azizul tidak mendapat restu PBNP kerana pemain itu perlu mendapatkan dahulu surat pelepasan daripada persatuan itu.

Dalam masa yang sama, PBNP pula masih mahu menggunakan khidmat Azizul untuk kempen Liga Malaysia musim depan.

PBNP berkata, Azizul tidak boleh mengikat kontrak dengan sebarang pasukan lain selagi tidak mendapat pelepasan.

Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, jika Azizul masih berkeras untuk meneruskan penghijrahan, kontraknya dengan pasukan terbabit akan dianggap tidak sah.

Jamal Nasir mengakui, proses penghijrahan pemain perlu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kita perlu ikut peraturan FAM. Kami di Perak meminta Azizul selesaikan masalahnya terlebih dahulu kerana kami tidak mahu persatuan kami terbabit dalam masalah ini,'' katanya.

Kontrak Azizul dengan Pahang akan berakhir 31 Disember ini. Kelmarin, pemain itu membayangkan jodohnya dengan Pahang yang diwakilinya sejak 1994, akan berakhir kerana PBNP menawarkan gaji yang rendah kepadanya untuk kempen musim ini.

PBNP dikatakan menghadapi masalah kewangan yang membabitkan gaji semua pemain.

Begitu pun, Jamal Nasir tidak mengulas mengenai syor PBNP kelmarin menerusi Naib Presiden 1, Datuk Jamal Nasir Ismail yang berkata, Perak perlu membayar sejumlah wang yuran perpindahan kepada Pahang untuk mendapatkan pemain itu.

Jamal Nasir berkata, PBNP belum tentukan berapa bayaran perpindahan itu tetapi membayangkan sekurang-kurangnya RM250,000.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bEA9kCAx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan