Selasa, 27 Jun 2017

Pahang, Johor FC kini bertambah selesa



ARKIB : 26/06/2006

KUALA LUMPUR - Pahang mencerahkan laluan untuk mengisi salah satu daripada dua tempat ke Liga Super musim depan selepas menewaskan Sabah 3-2 dalam perlawanan pertama play-off pusingan kedua di Stadium Likas, malam tadi.

Gol Pahang dijaringkan oleh Josiah Seton (m-10), Azizul Kamaluddin (22) dan Indra Putra Mahayuddin (71) manakala Sabah menerusi Mohd. Rithudin (44) dan Silvester Sindih (80).

Di Stadium Petaling Jaya, Johor FC membelasah PKNS 4-1.

Kemenangan itu mencerahkan peluang Johor FC untuk ke Liga Super musim depan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4lCbzbpZg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Brunei kejutkan Pahang



ARKIB : 22/06/2006

KUALA LUMPUR - Sarawak, Selangor, Brunei dan Terengganu mengesahkan kemaraan ke Liga Super musim depan selepas masing-masing melepasi halangan perlawanan play-off kedua, semalam.

Sarawak menewaskan PKNS 3-2 layak dengan agregat 6-2, diikuti Selangor menang 4-2 ke atas Johor FC (7-4), Terengganu pula menang 1-0 ke atas Sabah (2-0) dan Brunei mengalahkan Pahang 2-1 (2-1).

Kejayaan empat pasukan itu menjadikan 12 pasukan layak ke Liga Super musim depan dengan baki dua lagi akan diketahui menerusi persaingan play-off kedua membabitkan PKNS, Pahang, Johor FC dan Sabah

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4lCYhbT7D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Jun 2017

Laluan mudah Selangor, Pahang



ARKIB : 04/06/2006
SEREMBAN - Dua gergasi bola sepak, Selangor dan Pahang merintis laluan paling mudah pada perlawanan playoff ke Liga Super musim depan apabila diundi bertemu dua pasukan berstatus kelab.

Selangor yang menduduki tangga tercorot Liga Super musim ini, diundi berdepan Johor FC apabila saingan pertama playoff bermula 18 Jun ini.

Manakala Pahang yang baru dinobatkan selaku juara Piala FA pula diundi menentang Brunei DPMM.

Atas kertas, Selangor dan Pahang dijangka mudah menyekat dua lawan berstatus kelab buat mencuri tempat untuk beraksi ke Liga Super musim depan.

Berlainan pula nasib buat Sarawak yang diundi bertemu PKNS manakala Terengganu berdepan tugas paling getir menentang Sabah.

Saingan playoff pertama berlangsung pada 18 Jun manakala saingan kedua pula pada 21 Jun.

Daripada lapan pasukan yang mengharungi playoff pertama secara timbal-balik, empat pasukan yang menang akan layak terus ke Liga Super.

Lapan pasukan yang telah layak secara automatik ialah Negeri Sembilan Naza, Telekom Melaka, Perak, Pulau Pinang E&O, MPPJ, Perlis, Melaka dan Kedah.

Bagaimanapun pasukan yang tewas pada saingan pertama playoff masih berpeluang untuk mengisi dua lagi tempat ke Liga Super.

Empat pasukan kalah akan mengharungi satu lagi perlawanan playoff timbal-balik.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lAIqgDH7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang, Selangor kena harungi aksi playoff



ARKIB : 24/05/2006

Penyerang Perlis Phillimon Chiepeta (kiri) dihalang oleh pemain pertahanan Selangor K. Sambagamaran dalam perlawan Liga Super di stadium Utama Kangar, semalam. Perlis menang 3-2. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KUALA LUMPUR - Telekom Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Negeri Sembilan Naza menutup aksi terakhir semalam sebelum kempen Piala Malaysia bermula.

Walaupun Telekom tewas 3-0 kepada MPPJ di gelanggang sendiri, pasukan itu boleh menarik nafas lega apabila pasukan saingan terdekat, Peraktumpas 0-2 kepada juara Liga Super, Negeri Sembilan Naza.

Ketika Telekom meraikan kejayaan manis muncul naib juara, dua pasukan gergasi – Selangor danPahang pula menduduki dua tangga terbawah liga.

Ini bermakna Pahang yang masih segar dengan gelaran juara Piala FA dan Selangor akan mengharungi saingan playoff bulan depan buat menentukan peluang mereka untuk kembali semula ke Liga Super musim 2006/2007.

Di Stadium Hang Jebat, MPPJ terselamat kekal beraksi di Liga Super musim depan selepas menang 3-0 ke atas Telekom Melaka.

Gol-gol MPPJ dijaringkan menerusi Rachid Zmama (m-7, 73) manakala satu gol oleh Juan Manuel Arostegui pada minit ke-40.

Di Stadium Darul Makmur, juara Piala FA, Pahang mencatat kemenangan tipis 2-1 menewaskan Pulau Pinang E&O.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-35 hasil tandukan Hairuddin Omar.

Bagaimanapun pelawat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-41 menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter yang dilakukan oleh Mat Saiful Mohamad.

Josiah Seton muncul hero menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Di Stadium Perak, juara Liga Super Negeri Sembilan mudah menewaskan Perak 2-0.

Pelawat tangkas memecah kebuntuan jaringan gol pada minit ke-43 menerusi bekas pemain Olimpik, Idris Abdul Karim.

Idris meledakkan sepakan daripada jarak 20 meter mengenai palang sebelum bergolek masuk menerjah jaring pada minit ke-43.

Christian Bekamenga menambah gol kedua Negeri Sembilan Naza apabila mencipta jaringan pada minit ke-66.

Di Stadium Utama Kangar, Naib juara Piala FA, Perlis mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan selepas menewaskan Selangor 3-2.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Philimon Chepita (m-2), Mohd. Nazaruddin Md. Zain (28) dan Adrien Jurad Chamrong (70).

Gol Selangor pula menerusi Wan Rohaimi Ismail (30) dan Bambang Pamungkas (49).

KEPUTUSAN LIGA SUPER

Pahang 2 P.Pinang E&O 1

Perak 0 NS Naza 2

Perlis 3 Selangor 2

Telekom 0 MPPJ 3

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6f4PuWR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pahang hadapi satu lagi debaran



ARKIB : 23/05/2006
KUALA LUMPUR - Saingan Liga Super musim 2005/2006 menutup tirai malam ini mengharungi aksi terakhir dengan Negeri Sembilan Naza lebih awal ditabalkan selaku juara.

Empat perlawanan malam ini lebih tertumpu kepada persaingan Telekom Melaka dan Perak memburu tempat selaku naib juara Liga Super.

Manakala persaingan lebih menarik adalah untuk menentukan satu lagi pasukan bakal mengiringi Selangor bermain dalam perlawanan playoff Liga Super musim 2006/2007.

Pahang yang masih segar dengan gelaran Piala FA Sabtu lalu, bakal bersaing bersama-sama Perlis dan MPPJ untuk mengelak daripada mengalami nasib seperti Selangor.

Ketika ini Perlis berada di tangga kelima dengan 27 mata diikuti oleh MPPJ di tempat keenam (26 mata) dan Pahang di tempat ketujuh (24).

Selangor pula masih kekal di tangga terbawah liga. Kemenangan skuad Merah Kuning ke atas MPPJ tidak merubah kedudukan pasukan itu.

Buat ketiga-tiga pasukan itu kemenangan menjadi buruan, jika kalah mereka pasti mengiringi Selangor ke perlawanan playoff yang akan dijalankan bulan depan.

Tugas getir menanti MPPJ apabila berdepan dengan Telekom Melaka yang turut mencari kemenangan bagi memastikan kedudukan selesa selaku naib juara liga di belakang NS Naza.

MPPJ yang diterajui oleh bekas jurulatih MK Land, Khan Hung Meng terpaksa mengerah tenaga untuk menang bagi mengelak menduduki dua tangga terbawah liga.

Begitu juga dengan Pahang yang masih segar selaku juara Piala FA perlu menewaskan Pulau Pinang E&O jika tidak berhasrat untuk mengiringi Selangor.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan terpaksa menangguhkan sambutan kejayaan muncul juara Piala FA buat pertama kali semata-mata mahu memberikan tumpuan perlawanan terakhir liga.

“Pesta meraikan kejayaan Pahang ditangguhkan dan saya mahu pemain memberikan tumpuan penuh untuk memastikan skuad Tok Gajah tidak bermain dalam playoff untuk layak ke Liga Super musim depan,'' ujarnya baru-baru ini.

Mengikut percaturan, Pahang mengharapkan Perlis atau MPPJ tewas sambil skuad Tok Gajah menewaskan Pulau Pinang E&O.

Malah buat Perlis yang kecewa buat kali kedua untuk muncul juara Piala FA tewas 4-2 kepada Pahang, sekurang-kurangnya perlu mencatat keputusan seri berdepan dengan Selangor.

Keputusan seri itu sudah cukup menjamin kedudukan Perlis kekal dalam Liga Super musim depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l6ccsW3P
© Utusan Melayu (M) Bhd