Rabu, 15 Mac 2017

Skuad Pahang belum cukup kebal



ARKIB : 17/02/2001
REKOD kebal Pahang selepas tiga perlawanan persahabatan lalu akhirnya lebur ketika bertandang ke gelanggang luar apabila tewas 0-4 kepada Pulau Pinang dalam Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Langkahan kecundang pada kejohanan pemanas badan menjelang persaingan bola sepak Piala FA, bulan depan itu tercatat ekoran penjaga golnya, Azrul Hisyam Yusof diperintah keluar padang pada minit ke-40.

Menurut ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus Alif, Azrul dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana didapati mengasari salah seorang pemain tuan rumah yang dalam percubaan menjaringkan gol.

``Kami terpaksa memasukkan Irewan Sulaiman untuk menggantikan tempatnya dan mengeluarkan salah seorang pemain Pahang lagi,'' kata Yunus ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.

Dengan cuma menggunakan 10 pemain, Pahang tidak punya banyak pilihan selain daripada mengamalkan corak bertahan dan memilih jalan selamat sepanjang baki tempoh 50 minit itu.

``Malangnya perlawanan masih tidak seimbang dan tuan rumah ternyata menggunakan kelebihan seorang pemain dan pengalaman mereka untuk mencipta kemenangan besar tersebut,'' katanya.

Yunus berkata, gol-gol Pulau Pinang itu diperoleh akibat kesilapan pertahanan anak buahnya di samping menerusi serangan satu sama satu oleh penyerang tuan rumah.

``Kami turut cuba membuat empat serangan balas tetapi penyerang, Azizul Kamaluddin dikawal ketat lawan dan gandingannya, Azmani Abdul Kadir pula tampak masih gementar,'' katanya.

Apa pun menurutnya, keputusan itu tidaklah begitu penting kerana beliau lebih melihat perlawanan kelmarin sebagai proses pembinaan dan pengajaran Pahang.

Pahang akan menentang kelab Singapura, Gombak United di gelanggang yang sama hari ini. Sebuah lagi pasukan Perdana Satu Liga Malaysia yang mengambil bahagian ialah Perlis.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bP2qA8mJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan