Ahad, 19 Mac 2017

Pahang kesuntukan masa menjelang kejohanan di Kedah

ARKIB : 19/12/2001
JIKA anda berasa cukup cergas dan memenuhi kehendak Pahang dalam menghadapi kempen bola sepak Liga Malaysia, buktikannya pada Kejohanan Empat Penjuru di Kedah pada 27 hingga 31 Disember ini.

Mesej tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih, Ahmad Yunus Mohd. Aliff sekalipun menyedari berat badan majoriti anak buahnya bakal meningkat apabila menikmati juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang dan lemang.

Pengambilan banyak makanan berlemak sudah pasti merendahkan tahap kecergasan mereka dalam minggu perayaan itu tetapi Tok Gajah tampak kesuntukan masa untuk berkompromi dengannya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh mendapatkan lesen penyertaan Liga M sementara persaingan Perdana Satu akan bermula pada 26 Januari.

Ini bermakna barang siapa yang tidak mengambil berat tentang kadar berat badan mereka bakal menjejaskan peluang sendiri untuk memperoleh lesen seperti yang ditetapkan oleh FAM itu.

``Kalau mahu beraksi pada Liga M, pemain patut menyedari hakikat ini. Sebagai pengukur awal, mereka dikehendaki membuktikan kecergasan ini di tahap meyakinkan ketika di Kedah nanti,'' katanya di Kuantan.

Yunus yang tetap mengerah 21 pelatih pasukan menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan lalu, mengakui tahap kecergasan mereka sekadar sekitar 60 peratus.

``Tidak banyak yang dapat kita peroleh sepanjang latihan tiga minggu itu,'' katanya sambil menegaskan, kesemua pelatih diarah kembali menyambung latihan mulai esok setelah bercuti raya.

Mengenai kejohanan di Kedah itu, beliau berkata, turut menyertainya ialah juara Piala Malaysia, Terengganu, Kuala Lumpur selain tuan rumah yang akan bersaing pada Perdana Dua.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bq1nMNaI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan