Khamis, 16 Mac 2017

Shaharuddin dalam perhatian Yunus



ARKIB : 17/03/2001
PERANTARA Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi hanya akan dialih ke posisi penyerang sekali gus bergandingan dengan Azizul Kamaluddin apabila Yunus Alif menemui masa yang sesuai untuk berbuat begitu.

Serentak itu ketua jurulatih Tok Gajah ini berpendapat, Shaharuddin akan kekal sebagai perantara sekurang-kurangnya selagi pasukan tidak mengalami masalah ketumpulan penyudah yang ketara.

Menurut Yunus di Kuantan, semalam, dia juga perlu mengkaji persembahan semasa pasukan sebelum mengambil sebarang keputusan drastik untuk mengubah posisi mana-mana anak buahnya.

``Shaharuddin tak boleh dijadikan penyerang lagi. Dia lebih berperanan di bahagian tengah tapi kita kena tengok situasi permainan. Kalau ada, kita boleh tempatkannya sebagai penyerang,'' katanya.

Yunus mengulas menjelang pertemuan kedua dengan NS Chempaka pada pusingan pertama bola sepak Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini. Sesudah menang 2-0 di Kuantan, Pahang kini cuma perlu seri untuk mara ke pusingan kedua.

Shaharuddin dibenarkan kembali menyertai Pahang sempena Piala FA setelah digugurkan daripada skuad negara ke pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Hong Kong dan Qatar, bulan ini.

Turut digugurkan daripada skuad itu ialah benteng Tok Gajah, Mohd. Ali Tahar yang kurang memberangsangkan Yunus ketika pasukannya mengutip modal pendahuluan menerusi jaringan Khairul Nizam Man dan Azizul, Selasa lalu.

Yunus juga tidak menolak kemungkinan untuk terus mempertaruhkan kembar A atau Double Aces - Azizul dan Azmani Kadir selaku penyerang apatah lagi persembahan mereka terbukti meningkat, Selasa lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bUTwTtkB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan