Khamis, 23 Mac 2017

Tuah tidak bersama Pahang



ARKIB : 04/07/2002
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
ENAM peluang terbaik Pahang untuk menembusi gol Selangor dan menggapai tiga mata begitu mudah terlepas hanya kerana tuah enggan menemani tuan rumah dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu, kelmarin.

Tiga cubaan Viatcheslav Melnikov selain masing-masing satu daripada Ahmad Shaharuddin Rosdi, Shahrulnizam Sahat dan Azmani Abdul Kadir ternyata tumpul untuk merubah keputusan 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Ahmad Yunus Mohd. Aliff berkata, Melnikov terutamanya sentiasa dirundung malang selain terjejas akibat kecederaan lama buku lalinya sehingga gagal menyudahi sepakan penalti pada minit ke-31.

``Dengan sekian banyak peluang Pahang, nasib masih tidak menyebelahi kami,'' katanya yang kali ini menggandingkan penyerang dari Rusia itu dengan Azmani Abdul Kadir dan menurunkan Azizul Kamaluddin di tengah.

Turut diubah posisi ialah Jalaluddin Jaafar yang sebelum ini bermain di posisi perantara kanan tetapi kelmarin melakukan tugas barunya sebagai benteng kanan.

``Apa pun komitmen pemain kami dan peningkatan itu tampak menyerlah. Benteng kami yang kehilangan Ambassa Guy Gerard juga tetap utuh walaupun ketinggalan pada mulanya,'' katanya.

Menurut Ahmad Yunus, ketiadaan benteng import dari Cameroon itu setelah dikeluarkan kerana tercedera pada pinggangnya berjaya ditampung dengan baik oleh Hairul Nizam Haniff.

Katanya, beberapa pemain lain turut tercedera yang sekali gus mungkin menjejaskan sedikit perancangan pasukan menjelang persaingan Piala Malaysia pada 27 Julai ini.

``Selepas ini kita hanya akan menentang Perak dalam perlawanan terakhir liga. Saya tak mahu ambil risiko sekiranya mereka tercedera kerana pemulihan perlu masa yang panjang,'' jelasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cDZrOlAa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan