Rabu, 15 Mac 2017

Pahang nyata terlalu lemah



ARKIB : 21/02/2001
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada sebarang kemenangan dan kutipan mata yang mengiringi kepulangan pasukan Pahang selepas menyertai Kejohanan Empat Penjuru di Pulau Pinang yang berakhir Ahad lalu.

Tiga perlawanan dengan tuan rumah, Gombak United dan Perlis sepanjang kejohanan itu mendedahkan betapa banyak kelemahan perlu digilap oleh Tok Gajah menjelang persaingan bola sepak Piala FA, bulan depan.

Anak buah Yunus Alif ini dibenam 0-4 oleh dua pasukan Perdana Satu, Pulau Pinang dan Perlis selain kalah tipis 0-1 kepada Gombak United, kelab dari Singapura yang turut membariskan lima pemain asing.

Yunus turut mengakui kedudukan tercorot dalam kejohanan empat hari itu membuktikan Pahang perlu bekerja lebih keras dalam sesi latihan pramusim Liga Malaysia selepas ini.

``Pahang masih di peringkat pembinaan pasukan. Kami memerlukan lebih banyak masa. Malah dengan sebilangan besar pemain muda, tiada kejayaan yang boleh dicapai sekelip mata,'' katanya.

Sambil mengakui keputusan itu mencerminkan kelemahan barisan benteng dan ketumpulan penyudah Pahang, Yunus bagaimanapun tetap mempertahankan kemampuan anak buahnya.

``Pulau Pinang dan Perlis bukan calang-calang pasukan. Kedua-duanya mantap kerana gandingan pemain mereka sudah lama terpupuk dan sudah tentu jauh lebih berpengalaman,'' tegasnya di Kuantan, semalam.

``Pahang ke Pulau Pinang untuk menimba pendedahan dan pengalaman tanpa melupakan usaha memupuk persefahaman antara pemain baru dengan yang senior,'' katanya lagi.

Menurut Yunus, selain itu anak buahnya kini didapati telah teruji dari segi ketahanan mental malah pemain muda sendiri turut menunjukkan persembahan yang terpuji.

Beliau merujuk kepada barisan tenaga muda seperti Shahril Faizal Sharifudin, Mohd. Rafeek Moidony, Iskandar Zulkarnain dan Zulkafli Hamid serta Khairul Anuar Karim.

``Shahril dan Rafeek menjalankan tugas dengan berkesan ketika mengawal pergerakan penyerang Gombak United, Merzagua Abderrazak yang juga bekas penyerang import Pulau Pinang.

``Zulkafli, Iskandar dan Khairul juga tidak kurang hebatnya dengan kemampuan melakukan serangan satu sama satu untuk mencari jaringan sekalipun mereka masih baru,'' kata beliau.

Bagaimanapun kata Yunus, sebagai pemain baru, tumpuan mereka juga diakui mudah terjejas apabila kerap kali gagal menyudahkan peluang yang terhidang luas itu.

``Mereka tampak tertekan setelah cubaan sering gagal. Apa pun ketahanan mental beginilah yang saya mahu mereka biasakan sebelum menghadapi persaingan lebih getir pada Piala FA nanti,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bPFE7qBl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan