Isnin, 27 Mac 2017

Pahang tunjuk belang awal

ARKIB : 28/01/2003
Oleh NIZAM ABDUL HAMID
PAHANG muncul juara Pertandingan Bola Sepak Empat Penjuru apabila menewaskan Melaka 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.

Jaringan emas tersebut disempurnakan oleh Rosdi Talib ketika kedua-dua pasukan bermain dalam masa tambahan untuk menentukan juara melalui permainan `sudden death', selepas terikat 0-0.

Kemenangan itu membolehkan Pahang membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai RM10,000 manakala pasukan tuan rumah membolot RM5,000.

Kejayaan Pahang itu melengkapkan rekod tanpa kalah mereka pada pertandingan yang diadakan bersempena ulang tahun ke-79 Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Sebelum mara ke peringkat akhir, Pahang menewaskan pasukan bawah 23 tahun Singapura 2-1, menundukkan Melaka 2-1 dan mengalahkan Brunei 1-0.

Dalam pada itu, babak pertama dan kedua permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan untuk mendapatkan gol permulaan namun tidak ada penyudah yang baik sehingga kedudukan terikat 0-0 sebelum ditentukan dalam masa tambahan.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Md. Shah Norbit ketika ditemui berkata, walaupun tewas beliau berpuas hati dengan peningkatan permainan dan semangat yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

``Barisan pertahanan telah mula menunjukkan peningkatan dan kita akan memperbaiki lagi teknik permainan termasuk mempertajamkan lagi barisan depan supaya dapat melaksanakan penyudah yang baik,'' katanya.

Menurutnya, kecederaan penyerang, Norizam Ali Hassan dan pemain midfield, Rashid Mahmud yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, menjejaskan rentak pasukan.

``Pasukan ini masih dalam pembentukan tetapi kita telah nampak bayangan kesebelasan utama untuk menghadapi saingan Liga Perdana,'' ujarnya.

Melaka katanya, memerlukan lebih banyak perlawanan bagi memantapkan pasukan dan untuk itu, mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab dari Singapura serta skuad kebangsaan Nigeria dalam tempoh terdekat.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cWHK1uRl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan