Khamis, 31 Januari 2019

ARKIB : 12/05/2011 Pahang perlu menang besar di laman sendiri


ARKIB : 12/05/2011
 
AKsi penyerang Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (kanan) ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 19 April lalu.

KUANTAN - Pahang tiada pilihan selain daripada mencatat kemenangan besar apabila bertemu Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini esok.

Hanya bekalan gol selesa akan memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah untuk mara ke final apabila mengharungi perlawanan kedua di padang lawan pada 16 Mei ini.

Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Dr. Omar Othman berkata, pemain tidak seharusnya mempersia-siakan peluang bermain di halaman sendiri dengan menghasilkan sebanyak mungkin gol.

"Dalam perlawanan di tempat sendiri, kita harus menang besar, hanya itu pilihan yang kita ada," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Untuk pertembungan esok, Omar memberitahu, tiket perlawanan akan dijual mulai pukul 4 petang hari ini.

Menurut beliau, para penyokong boleh mendapatkan tiket tempat duduk berbumbung pada harga RM25 bagi dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak di kaunter penjualan tiket stadium.

Harga tiket tempat duduk terbuka bagi dewasa pula ialah RM12 manakala RM6 untuk kanak-kanak.

"Pada hari perlawanan, penyokong Terengganu boleh mendapatkan tiket di Kaunter 8A dan 8B manakala penyokong Pahang di kaunter 10A dan 10B bermula pukul 10 pagi.

"Penyokong kedua-dua pasukan akan diasingkan tempat duduk dan ia bermula daripada pintu masuk iaitu Pintu 7 bagi penyokong Terengganu dan Pintu 11 bagi penyokong Pahang," ujarnya.

Omar menambah, para penyokong kedua-dua pasukan akan diasing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perlawanan hari ini memutuskan untuk mengambil langkah keselamatan dengan mengasingkan penyokong bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.

"Seramai 85 anggota polis dan 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan mengawal keselamatan pada hari perlawanan untuk memastikan ia berjalan lancar," katanya yang menjangkakan lebih 5,000 penyokong kedua-dua pasukan akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

"Penyokong Pahang digalakkan memakai baju atau jersi kuning," katanya



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eCN4doaB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 Januari 2019

Tok Gajah buntu serangan tumpul

ARKIB : 14/04/2011
 
Pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (depan) diasak pemain Johor FC, Mohd. Hamzani Omar dalam aksi Liga Super di Kuantan, kelmarin. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

KUANTAN - Skuad Pahang masih mencari pemain yang mampu merobek gawang lawan ekoran seri tanpa jaringan menentang Johor FC, kelmarin.

Walaupun menguasai perlawanan, beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan mendapat tiga mata malah, Pahang buntu mendapatkan gol.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh sukar menerima kenyataan bahawa prestasi pemain terutama rangkaian serangan masih belum berupaya menunjukkan prestasi sebenar.

"Saya melihat prestasi Pahang agak merosot dan kecewa apabila pemain beraksi di bawah tahap sebenar terutama bahagian hadapan yang masih gagal mendapatkan gol dalam dua pertemuan terakhir Pahang," katanya di sini, semalam.

Walaupun mengakui ketiadaan penyerang, R. Surendran dan Mohd. Faizol Hussin yang cedera merencat perancangan Dollah Salleh tetapi pengurus skuad Tok Gajah itu tidak mahu ia dijadikan alasan untuk menidakkan gol.

Sementara itu, Dollah mengakui anak-anak buahnya masih ketandusan jaringan kerana tidak mempunyai penyerang yang berupaya menjaringkan gol lawan.

"Ketika menentang Johor FC, skuad Pahang tidak mempunyai masalah di posisi lain kecuali jentera serangan walaupun saya sudah mencuba beberapa gandingan tetapi belum menunjukkan hasil,'' jelasnya.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz5e4jt5fnf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 Januari 2019

Tok Gajah perkenal pemain, lancar jersi


 BARISAN skuad Tok Gajah yang memperagakan jersi baharu pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia 2019
BARISAN skuad Tok Gajah yang memperagakan jersi baharu pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia 2019 di Dewan Tun Razak di Temerloh, Pahang hari ini. - UTUSAN ONLINE
M. RIZAL NOR

27 Januari 2019 4:22 PM
TEMERLOH 27 Jan. - Pasukan Pahang hari ini memperkenalkan pemain pasukan Liga Malaysia 2019 dan melancarkan jersi baharu di Dewan Tun Razak, di sini.

Para penyokong memberikan sorakan bergemuruh apabila para pemain berjalan menuju ke pentas utama dengan mengenakan jersi baharu jenama Umbro tajaan Al-Ikhsan Sport.

Skuad Tok Gajah yang dikendalikan oleh Dollah Salleh masih mengekalkan barisan pemain tempatan musim lalu namun tampil dengan empat pemain import baharu.

Tiga pemain import baharu akan memperkuatkan jentera serangan iaitu, pemain dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, Ze Love (Brazil) dan Saddil Ramdani (Indonesia) dan manakala Herold Goulun dari Perancis akan beraksi di posisi pertahanan.

Pahang ternyata bertuah apabila pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh diberi kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Program hari ini bermula seawal pukul 9 pagi dengan beberapa aktiviti sampingan termasuk bola sepak jalanan, timbang bola, permainan E-Sport dan Panna Ko. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-perkenal-pemain-lancar-jersi-1.830423#ixzz5douXEpH6
© Utusan Melayu (M) Bhd


Jumaat, 11 Januari 2019

Tok Gajah 'bangun pijak' Chonburi

MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KUANTAN: Pahang meraih kemenangan pertama dalam dua aksi pramusim apabila membenam kelab Thailand, Chonburi FC 2-1, pada perlawanan kedua di Stadium Chonburi, Bangkok, semalam.

Kemenangan skuad kendalian Dollah Salleh itu diraih selepas tewas 1-3 kepada kelab Divisyen 1 Kemboja, Visakha FC, pada aksi pertama kempen pramusim, Selasa lalu.

Kejayaan itu bukan saja melonjakkan semangat pemain yang mula mempamerkan peningkatan, tetapi cukup penting buat pemain muda Tok Gajah, Zuhair Aizat Nazri yang diberi peluang beraksi dan berjaya meledak satu gol.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan dalam dua perlawanan berdepan Chonburi dan Visakha.

"Biarpun diberi peluang beraksi pada babak kedua selama 20 minit, ia pengalaman berharga untuk memastikan saya bersedia, bukan sahaja daripada segi persembahan permainan, malah kekuatan mental,” katanya.

Baginya, aksi menentang pasukan utama Liga 1 Thailand itu memang sukar, namun selepas berjaya menjaringkan gol, tahap keyakinannya semakin meningkat.

Selepas mencuri perhatian Dollah, Zuhair Aizat yang berperanan sebagai arkitek pasukann mahu terus menyakinkan pengendali berpengalaman itu untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, menjelang Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Esok, skuad Tok Gajah akan menamatkan siri Jelajah Thailand bertemu Army United FC yang beraksi dalam Liga 2 Thailand.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:28 PM


Selasa, 8 Januari 2019

Status Sumareh masih jadi tanda tanya


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KUANTAN: Skuad Pahang akan menyenaraikan empat pemain import baharu biarpun status Mohamadou Sumareh selaku pemain tempatan belum disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Setakat ini, skuad kendalian Dollah Salleh itu mengekalkan pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Namun, status Sumareh menjadi tanda tanya kerana MFL sebelum ini  memutuskan pemain kelahiran Gambia itu kekal selaku pemain import sehingga Mac ini.

Bagaimanapun, Sumareh sudah menyarung jersi kebangsaan ketika membantu skuad Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala AFF Disember lalu.

Bagi pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad itu akan menyenaraikan empat pemain import baharu kerana yakin Sumareh sah sebagai pemain tempatan.

"Kita harap MFL membenarkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan kerana dia juga pemain naturalisasi yang beraksi pada Piala AFF lalu.

"Mengikut  perancangan, Pahang akan menyenaraikan dua penyerang import dan masing-masing seorang di posisi tengah dan pertahanan," katanya.

November lalu, Pahang membuat rayuan kepada MFL untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga M musim 2019.

Sebelum ini,  MFL mengesahkan Pahang yang juga juara Piala FA boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim 2019.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:54 PM

Mat Don sarung jersi Tok Gajah?


PEMAIN Kedah menjalani latihan menjelang perlawanan Sumbangsih
PEMAIN Kedah menjalani latihan menjelang perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai hari ini. - UTUSAN/AISYAH MAZALAN
09 Januari 2019 3:00 AM

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Tindakan bekas bintang import sensasi Kedah, Liridon Krasniqi menolak tawaran untuk beraksi bersama Perlis me­nguatkan spekulasi dia bakal menyarung jersi Pahang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain tengah kelahiran Kosovo itu mengakui, dia tidak dapat menerima tawaran Singa Utara ke­rana mahu me­nyertai pasukan lain dalam Liga M, dan desas-desus mengenai perpindahan pemain itu ke Pahang timbul selepas dia memuat naik gambar seekor gajah dalam Instagram.


“Kami menghubungi Liridon, malangnya dia sudah menyatakan persetujuan untuk bersama pasukan lain di dalam Malaysia, tapi bukan Per­lis. Jadi, kita terpaksa melupakan hajat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Masa semakin terhad untuk memilih import dan kami menggunakan saranan daripada penyokong supaya mengambil pemain import yang pernah bermain di Liga M,” kata Pre­siden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dalam sidang akhbar mengumumkan Matt Holland sebagai pengarah bola sepak Perlis di sini, hari ini.

Seandainya Liridon meneruskan karier di Malaysia, ia pasti menghidupkan harapan peminat bola sepak tanah air untuk melihat bintang yang terkenal dengan julukan Mat Don itu menjadi pemain naturalisasi kedua negara kerana melengkapkan syarat lima tahun beraksi di Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, PFA masih berusaha mencari pemain import lain dengan empat atau lima calon sudah disenarai pendek dan akan ditandatangani sebelum berakhirnya tempoh pendaftaran pada 20 ­Februari ini
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mat-don-sarung-8232-jersi-tok-gajah-1.818704#ixzz5c5CVstX9
© Utusan Melayu (M) Bhd