Rabu, 15 Mac 2017

Ujian terbaik Pahang di utara



ARKIB : 15/02/2001
SESUDAH beraksi tanpa kalah dalam tiga perlawanan persahabatan lalu, Pahang mulai berani untuk memperjudikan kemampuannya ke peringkat lebih mencabar dengan menyertai Kejohanan Empat Penjuru pada pertengahan bulan ini.

Ketua jurulatih Pahang, Yunus Alif berkata, kejohanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bermula hari Ahad, dijangka mampu menjadikan anak buahnya lebih yakin dan cekal dalam aksi pertandingan.

Malah kejohanan pemanas badan itu juga bakal menguji ketahanan rekod tanpa kalah Tok Gajah di tempat lawan pula setelah cuma bermain di gelanggang sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Sejak penghujung lalu sehingga Isnin lalu, anak buah Yunus tanpa dua tonggak kebangsaan, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Mohd. Ali Tahar ini menewaskan skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri 4-3, seri dengan Telekom Melaka 1-1 dan menang 1-0 ke atas KL Malay Mail.

Yunus turut berharap kejohanan itu menjadi detik terbaik skuad Tok Gajah membaiki sebarang kelemahan yang masih wujud sebelum turun dalam persaingan sebenar bola sepak Liga Malaysia - Piala FA, bulan depan.

``Pahang akan bersaing pada kejohanan itu dengan tuan rumah, Perlis dan kelab Gombak United dari Singapura,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kuantan, semalam.

Mulai sekarang, anak buah Yunus patut menganggap ketiga- tiga pasukan itu berada setahap lebih baik dan bukannya seperti tiga lawan persahabatan lalu yang cuma bertaraf Perdana Dua dan luar Liga M.

Seperti Pahang, Pulau Pinang dan Perlis merupakan pasukan Perdana Satu dan masing-masing memiliki reputasi pada Piala Malaysia dan Gombak United sendiri tidak terkecuali untuk turut disegani.

``Khabarnya Gombak United mempunyai beberapa pemain asing. Corak persembahan mereka yang tentunya berbeza dianggap satu proses membina skuad Pahang yang rata-ratanya terdiri daripada tenaga muda,'' kata Yunus.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bOy0DFO9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan